|
Seorang wanita memaklumkan anaknya berada dalam keadaan separa kritikal selepas makan ubat demam.
Kanka-kanak itu memberi tindak balas negatif selepas dia mengambil ubat yang sudah tamat tempoh.
Menurut pemilik akaun msrs, situasi cemas itu bermula selepas anaknya pulang dari sekolah dan mengadu mengalami demam.
Gambar Hiasan
“Saya suruh dia makan ubat paracetamol... dia ni jenis susah makan ubat.
“Jadi apabila nak makan ubat tu... dia punya drama tak mahu makan ubat, jangan cakaplah. Memang stres, tapi dia makan juga apabila dipaksa,” luahnya menerusi TikTok.
Namun selepas pengambilan ubat tersebut, anaknya mengadu pula diserang sakit dada dan ingin muntah.
Malah anaknya turut menjerit kerana mendakwa seluruh badannya terasa gatal.
Bagaimanapun si ibu seperti tidak mengendahkan simptom yang ditunjukkan kerana menyangka anak perempuannya itu sengaja berkelakuan begitu bagi mendapatkan perhatian.
“Saya ingat dia overreacted and just nak perhatian, jadi saya ignore.
“Kemudian dia jerit pula, mulut sakit. Apabila saya tengok, mulut dia dah bengkak... muka penuh ruam.
“Dia lembik, tak larat dan terus tumbang. Saya angkat dia ke katil dan terus muntah... banyak,” ujarnya.
“Lepas tu dia batuk dan keluar buih penuh kat mulut. Saya panggil dia, tepuk-tepuk muka dia... tapi dia tak sedar, pengsan.
“Nasib masa tu suami baru balik. Terus dukung bawa ke bahagian kecemasan hospital,” tambahnya.
Di bersyukur kerana jirannya yang merupakan pembantu pegawai perubatan membantu memudahkan urusan.
Malah katanya, setiba di hospital, doktor menyatakan tahap oksigen telah turun.
“Tak dapat bayangkan kalau kami lambat ke hospital. Selepas kakak sedar, terus minta maaf sebab tak percaya dia sakit masa tu.
“Kakak warded satu malam dan sembuh macam biasa. Terima kasih Hospital Batu Gajah,” luahnya yang tinggal di Ipoh, Perak.
Susulan insiden yang dialami, dia mula membuang ubat-ubatan yang tamat tempoh.
Di ruangan komen, warga maya meluahkan kebimbangan kerana mengakui mereka juga tidak memberi perhatian tentang risiko mengambil ubat-ubatan yang tamat tempoh.
“Lepas baca ni, aku pergi buang ubat yang dah berbulan-bulan simpan dalam peti ais.
“Stok ubat dalam peti ais kena rajin check at least three to six months dan apabila nak bagi anak makan pun semak semula tentang tarikh tamat.
“Disebabkan itulah saya akan buang ubat yang dibuka selepas dua minggu. Takut kalau anak-anak makan ubat yang dah tamat tempoh ni... bahaya,” ujar beberapa netizen lagi.
Tidak kurang juga yang meminta supaya dia membuat ujian alergik ke atas anak perempuannya kerana mendapati simptom yang ditunjukkan lebih kepada masalah alergik. -CARI
Sumber: mStar |
|