|
Muar: Seorang lelaki warga emas menangis selepas dibawa ke penjara kerana gagal melunaskan ikat jamin RM10,000 yang dikenakan terhadapnya atas pertuduhan mencabul kanak-kanak, minggu lalu.
Tertuduh, Jamil Shuib, 65, yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dekat kompleks perniagaan Ulu Belitong, Kluang antara jam 8 hingga 8.30 malam, 13 Oktober lalu.
Gambar Hiasan
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga pelanggan tetap bertandang ke kedai runcit milik ibu mangsa sebelum berbual dengan kanak-kanak itu.
Kejadian berlaku ketika ibu mangsa sibuk melayan dan menyusun barang dalam kedai dengan tertuduh mengambil kesempatan mencabul kanak-kanak itu.
Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya lalu membuat laporan polis pada hari sama.
Di mahkamah sama, seorang remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol kenalan di sebuah taman permainan dekat Ayer Hitam, Batu Pahat, jam 10.30 malam, Jun tahun lalu.
Muhammad Helmi Hakimi Mohd Zaki membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 November ini bagi sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. -CARI
Sumber: Harian Metro |
|