|
Seorang budak lelaki berusia dua tahun, Haruto Mese maut selepas ditinggalkan di dalam kereta selama kira-kira sembilan jam dalam cuaca panas di Jepun.
Susulan itu neneknya, Setsuko Shibata, 53, ditahan kerana disyaki melakukan pembunuhan tanpa sengaja.
Shibata memberitahu polis dia terlupa bahawa cucunya berada di dalam kereta.
Gambar Hiasan
Menurut polis, The Yomiuri Shimbun melaporkan bahawa warga emas itu berkata, dia terlupa menghantar budak lelaki itu ke pusat jagaan.
Difahamkan budak lelaki itu ditinggalkan di dalam kereta antara 8.15 pagi hingga 5.40 petang waktu tempatan.
Kereta itu diletakkan di hospital tempat Shibata bekerja, tambahnya.
The Yomiuri Shimbun turut memetik Agensi Meteorologi Jepun yang memaklumkan suhu di bandar itu pada hari itu mencecah 31.7 darjah Celsius.
Pada hari itu, Shibata dilaporkan sepatutnya membawa cucunya ke pusat jagaan anak perempuannya, yang tinggal di kawasan kejiranan yang sama.
Bagaimanapun, selepas Shibata menjemput Mese dari rumah anak perempuannya, dia sebaliknya pergi ke hospital dan tidak menuju ke pusat jagaan, lapor media tempatan.
Shibata hanya tersedar bahawa budak lelaki itu telah ditinggalkan di tempat duduk belakang keretanya selepas dia tamat bekerja.
Mese ditemui neneknya ketika dia sudah tidak sedarkan diri.
Dia ditemui bersandar di kerusi kanak-kanak dengan memakai tali pinggang keledar, lapor The Yomiuri Shimbun.
Shibata kemudian meminta rakan sekerja untuk membuat panggilan kecemasan.
Mese kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Polis percaya budak lelaki itu mengalami strok haba kerana dia tidak mengalami kecederaan luaran yang ketara, lapor The Yomiuri Shimbun lagi.
Bedah siasat akan dijalankan tidak lama lagi untuk menentukan punca kematiannya, tambah laporan itu.
Terdahulu pada bulan September, Agensi Meteorologi Jepun berkata negara itu mengalami musim panas paling panas sejak rekod bermula pada 1898.
Dari Jun hingga Ogos, suhu adalah jauh lebih tinggi daripada purata di seluruh utara, timur dan barat negara itu, kata agensi cuaca berkenaan. —CARI
Sumber: Majoriti |
|