|
ALIA Husna berazam mengutip pingat emas di Vietnam. FOTO ihsan ALIA HUSNA BUDRUDDIN
Seremban: Biarpun terpilih ke temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam bagi Kategori B, penembak muda, Alia Husna Budruddin bertekad untuk membuktikan prestasi terbaiknya dengan sasaran meraih pingat emas buat kontinjen negara.
Penembak berusia 21 tahun itu kini semakin yakin dengan tahap persediaannya untuk bersaing pada temasya sukan terbesar rantau ini, bermula 12 hingga 23 Mei depan.
Menurutnya, walaupun kali pertama beraksi di pentas Sukan Sea, dia yakin akan dapat memperagakan aksi terbaik dalam acara 50 meter (m) rifle tiga posisi yang akan disertainya kelak.
Katanya, selain latihan intensif, penyertaan dan pencapaian memberangsangkan dalam beberapa kejohanan tempatan, menambah lagi keyakinan dirinya dan pemilihan mengikut Kategori B itu tidak meletakkan dirinya dalam tekanan.
"Walaupun pertama kali bertanding di Sukan Sea, saya tetap menyasarkan pingat emas, biarpun bakal berhadapan pencabar hebat antaranya dari Singapura dan Thailand.
"Pengalaman meraih emas pada Kejohanan Asia Tenggara 2019 (SEASA 2019) di Jakarta, diharap dapat diulangi lagi di Vietnam nanti," kata atlet Negeri Sembilan itu, hari ini.
Alia Husna berkata, persiapan latihannya berjalan lancar di bawah bimbingan jurulatih, Yusri Yusof dan kini fokus diberikan kepada usaha memantapkan lagi prestasi.
Menurutnya, dia mengikuti kem latihan pusat selama dua minggu di Johor Bahru, berakhir 19 Mac lalu dan menamatkan cabaran pada Kejohanan Menembak Kebangsaan 2022 di Subang, pada 27 Mac lalu.
Katanya, dia meraih enam pingat emas menerusi penyertaan dalam tiga acara termasuk 50m rifle tiga posisi pada kejohanan terbabit.
"Pencapaian di kejohanan kebangsaan itu menambahkan lagi keyakinan diri dan menjadi satu motivasi kepada saya untuk beraksi cemerlang di Vietnam nanti.
"Saya dijadual berlepas ke Hanoi pada 14 Mei depan sebelum memulakan saingan, dua hari kemudian," kata penuntut tahun pertama Ijazah Sains Taman dan Rekreasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Penembak muda itu antara 30 penembak pelapis berjaya dilahirkan Persatuan Menembak Negeri Sembilan (PMNS) menerusi program pembangunan dilaksanakan dan dilihat lebih menyerlah di pentas antarabangsa.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... dik-emas-di-vietnam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|