View: 375|Reply: 0
|
Malaysia, Zimbabwe tentukan tempat ke-11/12
[Copy link]
|
|
Pemain negara meraikan jaringan Nuramirah ketika menentang Ireland malam tadi.
KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara akan bertemu Zimbabwe pada aksi penentuan tempat ke-11/12 Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan, esok.
Justeru, pengendali pasukan, Nasihin Nubli Ibrahim mengharapkan anak didiknya kembali bangkit selepas mereka tewas 1-2 di tangan Ireland pada aksi perlawanan klasifikasi kesembilan hingga ke-12, malam tadi.
"Pemain sudah memberikan tentangan yang terbaik kepada pasukan Ireland sehingga wisel penamat dan saya berbangga dengan apa yang ditunjukkan pemain saya," kata Nasihin ketika mengulas mengenai perlawanan menentang Ireland.
"Mereka beraksi dengan baik dan dengan persiapan yang singkat untuk bertemu Ireland, mereka mampu memberikan tentangan. Beberapa pemain kami mengalami kecederaan sewaktu dalam permainan dan ia sedikit sebanyak memberikan kesukaran kepada kami untuk melakukan pertukaran pemain.
"Kini kami mengalihkan tumpuan dan persediaan kepada perlawanan seterusnya. Pemain perlu bangkit sebaik mungkin bertemu Zimbabwe bagi perlawanan tempat ke-11 dan ke-12."
Pada aksi semalam, Ireland terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Rachel Kelly dan kedudukan 1-0 berkenaan kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, gol penyamaan perlawanan hadir menerusi penyerang negara, Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-47 sekali gus memberi harapan untuk menyaksikan permainan diheret ke penentuan shoot out.
Bagaimanapun, Ireland yang mendapat pukulan sudut penalti pada minit ke-60 menggunakan sebaiknya peluang itu apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi Caoimhe Perdue.
Ireland dijadual beraksi dalam penentuan tempat kesembilan dan ke-10 bertemu Austria, juga pada esok.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ukan-tempat-ke-1112 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|