GORDON menjaringkan gol kemenangan Everton. FOTO Reuters
Manchester United terus berdepan musim mengecewakan selepas tewas 0-1 kepada Everton di Goodison Park dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Selepas tersingkir daripada semua kejohanan menawarkan piala, United memburu kemenangan penting untuk menyamakan kedudukan mata dengan Tottenham Hotspur di tangga keempat.
Tetapi tugas mereka tampak sukar apabila Anthony Gordon meletakkan Everton di depan pada babak pertama.
Toffees yang pastinya lega selepas melepasi zon penyingkiran gagal mengekalkan momentum pada babak kedua namun United gagal memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan.
Peluang terbaik pada lewat permainan gagal disempurnakan Cristiano Ronaldo sekali gus United jatuh ke tangga ketujuh, tiga mata di belakang Spurs yang akan menentang Aston Villa awal pagi ini.
Everton cekal bertahan dan kemenangan berharga itu membolehkan mereka empat mata di atas pasukan di tangga ke-18 Burnley yang akan berkunjung ke Norwich City esok.
"Kami gagal jaringkan gol malah gagal mencipta peluang terbaik, " kata penjaga gol United, David de Gea kepada Sky Sports. "Saya tak tahu nak kata apa, secara jujurnya.
"Kami tidak cukup bagus, itu yang pasti. Kedudukan kami semakin sukar untuk menduduki empat teratas. Sangat kecewa tewas hari ini."
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2022/04/830278/everton-buat-united-sengsara Disiarkan pada: April 9, 2022 @ 11:20pm |