Peminat industri seni di Indonesia pasti tahu Raffi Ahmad cukup terkenal dengan gelaran sultan kerana memiliki perniagaan dan kekayaan yang tidak akan habis hingga tujuh keturunan sekali pun. Namun, Raffi juga dikenali sebagai individu yang murah hati dan sering menghulurkan bantuan kepada individu memerlukan.
Berdasarkan laporan Kapan Lagi, Raffi baru-baru ini mengagihkan air mineral kepada semua jirannya yang tinggal di kawasan Andara. Tindakannya itu adalah agar tetangganya juga dapat menikmati air mineral yang bersih dan sihat sama seperti keluarganya.
"Walaupun dalam situasi endemik tetapi apabila bercakap mengenai kebersihan dan kesihatan, ia harus tetap dijaga," kata Raffi.
Menerusi saluran YouTube RANS Entertainment, isteri Raffi iaitu Nagita memaklumkan mereka kehabisan stok air mineral. Raffi kemudian terus memesan air mineral berkenaan dalam kuantiti banyak dan dihantar oleh lori sedangkan isterinya hanya memerlukan 10 botol air mineral bersaiz besar sahaja.
Tidak mahu membazir, Nagita meminta Raffi untuk mengagihkan lebihan air mineral kepada jiran mereka. Tanpa membuang masa, Raffi kemudian membuat agihan itu sendiri tanpa pembantu. -CARI
|