SEORANG rakyat India melihat ucapan Perdana Menteri India, Narendra Modi. - Foto AFP
NEW DELHI: India memusnahkan salah satu satelitnya di angkasa, ketika ujian peluru berpandu anti satelit dilancarkan negara itu, hari ini.
Perdana Menteri, Narendra Modi memuji ujian pertama teknologi oleh negara itu dan menganggap ia sebagai satu kejayaan besar, sekali gus menjadikan ia sebagai salah satu kuasa dalam bidang angkasa.
“India adalah negara keempat menggunakan senjata anti-satelit selepas Amerika Syarikat, Russia dan China,”
“Saintis kami, menembak jatuh satelit terletak 300 kilometer di ruang angkasa, dalam orbit hampir dengan Bumi.
“India melakukan pencapaian tidak pernah berlaku sebelum ini. India sudah menjadi kuasa angkasa lepas,” kata Modi dalam ucapan kepada rakyat India yang disiarkan menerusi televisyen.
Kemampuan seperti itu meningkatkan kebimbangan mengenai usaha persenjataan di angkasa dan menimbulkan persaingan antara seteru.
Kementerian Luar China berkata, ia berharap semua negara ‘boleh bersungguh-sungguh melindungi kedamaian dan keamanan berpanjangan di angkasa’.
Sementara AS dan Russia enggan memberi sebarang ulasan. Pakistan juga tidak memberi kenyataan.
Senjata anti-satelit membolehkan serangan dilancarkan ke atas satelit negara musuh, merosakkan atau mengganggu komunikasi, selain memberikan asas teknologi bagi memintas peluru berpandu balistik. - Reuters
|