Cluster77 Publish time 2-12-2014 07:47 PM

Kata-kata Pemenang Road to Guakustika 2014

Showcase GUAkustika 2014 yang diadakan pada Ahad (23 November) berlangsung dengan lancar dengan persembahan hebat daripada barisan artis terlibat. Showcase yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke tujuh gua.com.my ini diadakan di Rasta, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dengan menampilkan kelainan apabila beberapa bakat baru turut diberi peluang beraksi di pentas yang sama dengan penyanyi-penyanyi arus perdana.

Kumpulan Happy Sibling telah dinobatkan sebagai juara kempen 'Road To Guakustika 2014'. Tempat kedua diraih oleh Muhammad Danial Mahamud dan tempat ketiga dimenangi oleh Safwan Ramlan. Kesemua peserta ini membawa pulang hadiah wang tunai RM500, RM300 dan RM200 sumbangan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd, barangan penjagaan diri daripada Wi-pro Unza Malaysia dan juga canvas gambar daripada Elprint Studio.

Sebaik sahaja acara berakhir, GUA sempat menemubual ketiga-tiga perserta ini bagi berkongsi pengalaman. Menurut kumpulan Happy Siblings, mereka berbangga dapat beraksi di pentas Guakustika bagi memperkenalkan lagu-lagu baru ciptaan mereka kepada orang ramai.
“Kami sejujurnya teruja kerana dapat memperkenalkan lagu kami kepada penonton- penonton yang hadir. Namun sayang sekali kerana salah seorang ahli kumpulan kami dijangkiti demam denggi dan tidak dapat beraksi bersama-sama kami pada hari ini.

Bagi kami, Guakustika ini perlu diteruskan kerana ia merupakan platform kepada bakat-bakat baru seperti kami untuk mengenegahkan muzik yang diperjuangkan oleh kami. Malah wang hadiah yang diberikan kepada kami akan digunakan untuk projek menghasilkan lagu kami nanti,” ujar Eman mewakili kumpulan tersebut.

Bagi Muhammad Danial Mahamud yang berasal dari Kedah, dia berbangga kerana terpilih untuk melakukan persembahan bersama barisan penyanyi yang sudah punya nama dalam industri hiburan Malaysia

“Saya begitu berbangga kerana ini merupakan kali pertama saya diberikan kesempatan bersama artis- artis yang sudah dikenali. Saya sama sekali tak sangka akan dapat peluang begini," ujar Danial yang memilih lagu Fyn Jamal, 'Terbang Tunduk' untuk dipersembahkan.
Bagi pemenang tempat ketiga, Safwan Ramlan pula dia sangat gembira dengan peluang yang diberikan memandangkan dia sama sekali tidak menyangka akan berjaya ke Guakustika. Namun begitu, Safwan memberitahu dia kurang berpuas hati kerana suaranya masih belum pulih sepenuhnya kerana mempunyai masalah tekak dan tidak dapat memberikan yang terbaik.

“Hari ini saya tiba agak lewat untuk membuat persembahan memandangkan saya perlu menghadiri majlis konvokesyen pada sebelah pagi tadi. Saya memang amat bimbang jika tidak sempat buat persembahan. Bagi saya majlis konvokesyen dan Guakustika adalah sangat penting untuk saya. Konvokesyen adalah untuk meraikan yang saya kini sudah tamat pengajian dalam bidang fisioterapi, manakala Guakustika adalah platform untuk saya mengembangkan bakat saya. Mujur saya dapat sampai juga.

Bagaimanapun, saya kurang berpuas hati dengan persembahan saya kerana belum pulih sepenuhnya dari sakit tekak dan saya memilih lagu yang menggunakan key yang rendah. Ini juga merupakan pertama kali saya membuat persembahan menggunakan gitar kerana saya belum begitu mahir lagi bermain gitar,” ujar Safwan.
Kempen 'Road To Guakustika 2014' telah bermula pada September lalu dan 10 peserta terpilih telah menjalani satu ujibakat yang diadakan pada 8 November lalu. Melalui ujibakat yang diadili oleh Tam Spider, Pojie Samad (wakil syarikat pengurusan artis) dan Shah Shamshiri (penulis lirik), Happy Siblings, Muhammad Danial Mahamud dan Safwan Ramlan telah menduduki tempat tiga teratas.

Cluster77 Publish time 2-12-2014 07:47 PM

Mod, sesuai tak thread ni kat sini. LOL
Pages: [1]
View full version: Kata-kata Pemenang Road to Guakustika 2014


ADVERTISEMENT