abgsedapmalam Publish time 4-9-2013 07:57 AM

Sosialis macam Pak Sako: Mendalami novel-novel terpilih

Sosialis macam Pak Sako: Mendalami novel-novel terpilihFAISAL TEHRANI SEPTEMBER 3, 2013
http://www.projekdialog.com/wp-content/uploads/2013/09/DSC00832-400x250.jpg
Siapa Pak Sako?Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako dilahirkan pada 24 September 1909 di Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang. Nama asal beliau adalah Awang Ahmad Haji Muhammad. Dalam tahun 1924 beliau telah diterima masuk ke Sekolah Inggeris, Clifford School di Kuala Lipis dan lulus cemerlang pada tahun 1929. Pak Sako pernah menempuh karier antara lain sebagai pegawai pentadbir pada tahun 1931, majistret pada tahun 1933, peguam pada tahun 1936, wartawan Utusan Melayu pada tahun 1939, dan terlibat dalam politik mulai tahun 1959. Ketika itu Pak Sako terlibat dalam Parti Buruh Malaya dan pernah ditahan pemerintah kerana kegiatan politiknya antara tahun 1965-1966. Sewaktu inilah Pak Sako menghasilkan novel antara lain Yang Miskin dan Yang Mewah, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, serta Tijah Tukang Chukor. Novel Budak Beca yang turut dibincangkan dalam kertas ini ditulis lebih awal dari itu, iaitu pada tahun 1956 dan diterbitkan pada tahun Malaya menerima kemerdekaan. Dalam bidang sastera, Pak Sako pernah menerima anugerah Pejuang Sastera daripada kerajaan Malaysia pada 29 Mei 1976. Beliau juga pernah menerima Anugerah Budayawan GAPENA pada tahun 1987 tetapi menolaknya. Pada 29 Jun 1973 beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan oleh Universiti Malaya. Selain itu, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako turut menerima anugerah Bintang Setia Mahkota Pahang oleh DYMM Sultan Pahang (Pak Sako 1987: iv).Pak Sako adalah seorang jurnalis-pengarang yang dihormati pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai seorang ahli politik dari Barisan Sosialis tidaklah menghairankan Pak Sako misalnya lebih diperakukan oleh pendokong parti pembangkang khususnya untuk pengorbanan yang telah beliau berikan sepanjang perjuangannya untuk kemerdekaan Malaysia:I support the proposal that the government give and privileges to Pak Sako for his contribution to the struggle for independence, literature and journalism of Malaysia, as recognition by the nation for Pak Sako’s sacrifice, dedication and contribution to the well-being of Malaysia. I suggest that a special recognition be created by an Act of Parliament whereby the nation accord recognition to illustrious sons and daughters of Malaysia who had rendered distinguished life-long service to the people nation, but who may be out of the mainstream of official recognition, like Pak Sako (Lim Kit Siang 1987).Mereka itulah pejuang-pejuang kemerdekaan. Tetapi tidak…… jarang disebut Dr. Burhanuddin, jarang disebut Pak Sako (Ishak Haji Muhammad). Jarang disebut Ibrahim Yaakob. Jarang disebut Shamsiah Fakeh. Jarang disebut mereka yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dan merengkok dalam tahanan (Mohamad Sabu 2003: 94).Salah satu sebab mengapa Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako mendapat perhatian dan penghargaan yang besar dari kumpulan oposisi dan golongan kiri ialah kerana ‘personalitinya yang memandang berat kepada hal ehwal masyarakat’, dan latar belakang beliau yang ‘datang dari keluarga petani (kelas bawahan)’. Selain itu Pak Sako juga dikaitkan dengan politik kepembangkangan kerana sering menyuarakan kritikan keras terhadap pihak berkuasa. Lantaran itu beliau dilihat sebagai ‘pengorak langkah’ yang ‘mendahului zamannya’ dalam ‘menentang ketidakadilan pemerintah dan masyarakat melalui penanya terutama karya-karya sasteranya’ (Abdul Latiff Abu Bakar 1988: 92-95).Novel SosialisTerdapat beberapa buah novel Pak Sako yang kurang diberi perhatian. Antara lain adalah Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor. Novel-novel yang disebutkan ini kurang dikenali pengikut sastera kerana pertamanya, diterbitkan oleh penerbit yang kurang dikenali. Selain novel Yang Miskin dan Yang Mewah, penerbit untuk novel-novel Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor adalah Penerbit Marang. Dalam prakata novel Tijah Tukang Chukor, H.C Mohamad A. Rahman (1967: 8) pemilik Penerbit Marang menyatakan beliau tidak membayar Pak Sako royalti yang tinggi sebab tidak berkemampuan dan berterima kasih kepada Pak Sako kerana sengaja memilih Penerbit Marang. Pak Sako dinyatakan ‘suka menolong penerbit2 kechil seperti saya supaya boleh maju’. Penerbit juga menjelaskan lantaran itu karya-karya Pak Sako ini sukar dikerjakan kerana selain harus dicetak di Singapura, ia juga ‘dijual dengan menjelajah seluroh Malaysia Barat dan Singapura pada tiap2 bulan’.Keduanya, sebagai satu andaian awal, karya-karya ini ditulis dalam bentuk wacana. Ketika tahun 1950 sehingga 1960an, karya-karya bersifat wacana masih belum banyak. Terdapat banyak wacana yang telah diketengah dan dibincangkan oleh Pak Sako. Namun esei ini hanya akan memberi perhatian kepada wacana masyarakat sivil dan juga kritikan beliau terhadap politik tiada etika. Sebelum idea-idea Pak Sako diketengahkan, sinopsis novel-novel yang didalami diturunkan di bawah ini.Novel Yang Miskin dan Yang Mewah diterbitkan oleh Pustaka Melayu Baru pada tahun 1966. Pak Sako menulis novel ini ketika ditahan di bawah Internal Security Act pada tahun 1965. Menurut beliau, novel ini selesai dikarang ‘di Kemah Tahanan Kuala Lumpur di bilek khas No. 65’ dan draf manuskripnya disunting ketika berada ‘di Kemah Tahanan Khas Batu Gajah Perak’ (Pak Sako 1966: 120). Yang Miskin dan Yang Mewah adalah sebuah novel tipis (novelet) yang mengisahkan secebis pengalaman Zarina Zainab Ghafoor. Zarina yang digelar Za Za Gabor ini merupakan setiausaha peribadi Profesor Ali Ahmad, seorang ilmuan dalam bidang kemasyarakatan. Harus dinyatakan di sini novel Yang Miskin dan Yang Mewah ini tidak mempunyai plot yang berkesinambungan. Naratif diikat sebab dan akibatnya antara lain menerusi surat-surat Zarina Zainab Ghafoor kepada kakak angkatnya, Siti Shamsinar. Selain itu ditampilkan perbicaraan akademik antara Abu Bakar dan Masiran, iaitu dua orang pensyarah universiti mengenai sebuah forum yang bakal dianjurkan oleh Profesor Ali Ahmad berjudul – Yang Miskin dan Yang Mewah. Kemuncak novel ini ialah penganjuran forum itu sendiri yang dipengerusikan oleh Dato Osman Lailatulkadar. Perbincangan mengenai taraf hidup orang Melayu, hala tuju negara, propaganda pihak kerajaan, kemiskinan yang semakin melarat dalam kalangan kaum bawahan dan kebejatan moral menjadi inti pati forum ini. Novel seterusnya memperlihatkan Profesor Ali Ahmad dan temannya Profesor Kudus mengupah seorang pemuda kampung yang cerdas bernama Shamsuddin untuk mengkaji dan menyiasat keadaan orang Melayu di pedalaman. Shamsuddin yang diminati oleh Zarina Zainab Ghafoor adalah adik Siti Shamsinar. Ketiga-tiganya iaitu Zarina Zainab Ghafoor, Shamsuddin dan Siti Shamsinar turut hadir di acara forum tersebut. Selepas satu tempoh menjadi pembantu penyelidik kepada Profesor Ali Ahmad, Shamsuddin pulang dan menikahi Zarina Zainab Ghafoor yang baru menjanda. Pada malam Jumaat, ketika perkahwinan mereka masih lagi baharu, novel ini ditamatkan dengan perbualan antaraZarina Zainab Ghafoor dan suaminya mengenai nasib orang Melayu khususnya kaum wanita yang terdesak sehingga menjadi pelacur. Perbincangan pengantin baharu tersebut disulam dengan adegan urut mengurut, geletek menggeletek dan usik mengusik antara pasangan tersebut. Pak Sako menyatakan beliau menulis novel Yang Miskin dan Yang Mewah ini untuk memberi kritikan yang membina, dan mensasarkan gagasan keadilan masyarakat dan ekonomi. Beliau seterusnya menyebut karya ini terilham dari kisah perjuangan kaum minoriti di Amerika syarikat, Afrika Selatan dan Rhodesia (Pak Sako 1966: ii).Sementara itu, novel Budak Beca pertama kali diterbitkan dalam tahun 1957 dan dicetak kembali oleh Marwillis Publisher pada tahun 1992. Makalah ini akan merujuk kepada edisi tahun 1992. Novel Budak Beca berlatar belakang Trengganu dan Kelantan ketika Malaya di ambang kemerdekaan. Seperti Yang Miskin dan Yang Mewah, novel Budak Beca juga tidak mempunyai satu cerita yang utuh. Ini adalah kerana Pak Sako turut mengabaikan prinsip sebab dan akibat atau plot, sebaliknya memberi keutamaan kepada pemikiran, idea-idea beliau sekitar nasib kaum Melayu di pedalaman. Budak Beca mengisahkan pengalaman Mamat, seorang bekas mata-mata khas (Special Branch Police) yang baru sahaja bersara dari tugasnya dan diberikan imbuhan besar dalam bentuk wang. Dalam keadaan mewah, Mamat terleka dan menghabiskan wang yang ada dengan berpoya-poya dan sentiasa berjoli. Ketika Mamat dalam keadaan lupa tersebut, Pak Sako sengaja menampilkan watak seperti Embong, seorang pengayuh beca yang sering memberikan nasihat-nasihat keagamaan dan sedikit sebanyak kritikal terhadap golongan politikus. Mamat dinyatakan menghidap penyakit kelamin ekoran kegemarannya melanggani pelacur. Tanpa memanjangkan nasib Embong, Pak Sako membuka sub-plot baharu dengan memperkenalkan watak Mustapha, seorang petugas masyarakat sivil (anggota badan bukan kerajaan) dari Persatuan Pengisi Kemerdekaan atau PPK. Mustapha hadir di Trengganu untuk menyiasat keadaan golongan miskin dan pedalaman bagi membolehkan kerja-kerja pengupayaan (empowerment) dijalankan kelak. Mamat yang kehabisan wang dan dalam keadaan sakit kini terdesak melakukan kerja seperti Embong iaitu menjadi pengayuh beca. Mustapha berkenalan dengan Mamat dan sering meminta bantuan becanya sebagai pengangkutan utama untuk ke mana-mana. Perkenalan itu menjadi lebih kukuh sehingga mereka duduk serumah. Mustapha sering memberi pandangan politik dan kritis dengan isu semasa. Beliau mendorong Mamat untuk berubat, menyambung pelajaran dan membaiki taraf kehidupan. Menerusi watak Mustapha ini idea, wacana dan juga kritikan terhadap masyarakat diketengahkan. Mustapha juga sering mengutus laporan kepada setiausaha agung persatuannya mengenai sosio-politik orang Melayu di Pantai Timur. Pak Sako turut menampilkan beberapa watak wanita tetapi keberadaan mereka di dalam novel Budak Beca ini tidak signifikan. Watak Mamat berusaha keras untuk belajar dengan bantuan Mustapha kemudiannya telah boleh menulis dan membaca buku-buku falsafah. Di akhir novel Budak Beca, Mustapha dan Mamat memutuskan untuk membeli traktor, meneroka tanah baharu dan berhasrat untuk menjadi ‘kaum tani yang berjaya dan berjasa’ (Pak Sako 1992: 156).Novel ketiga dalam sorotan makalah ini adalah Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Novel ini diterbitkan pada tahun 1966 oleh Penerbit Marang. Novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam dibuka naratifnya dengan hasrat Norita, seorang janda kaya yang bersiap meninggalkan pekan Kluang untuk ke Kuala Lumpur. Norita memberi pesan kepada Abang Leh (Salleh) untuk melihat-lihat keadaan rumah besarnya serta memastikan Minah, orang gajinya cukup wang saraan yang telah siap diagihkan. Plot seterusnya bergerak ke Kuala Lumpur di mana Norita diberi gambaran berperanan sebagai ‘kuching hitam’ yang menggajikan seorang gadis muda bernama Rose. Selain memperdagangkan Rose, watak Noriman, seorang pemuda lupa daratan yang suka berjudi dan berpoya-poya telah hadir di kamar penginapan Norita dalam keadaan mabuk. Norita telah mencuri tiket loteri milik Noriman. Oleh kerana bimbang pekerjaannya melacurkan Rose dihidu pihak berkuasa, dan Noriman mencarinya, Norita telah membawa Rose untuk berpindah ke pekan kecil di Pahang. Di Kuala Lipis, Norita dan Rose cuba menjerat sekumpulan penduduk kampung yang merupakan pelombong bijih dan emas. Mereka berdua menyamar sebagai peniaga batu dan kain batik yang berjaya. Rose telah ditugaskan untuk menggoda Pak Kassim dan mencuri hasil bijih atau emas milik Pak Kassim. Walaubagaimanapun Pak Kassim dan kawan-kawannya tidak berjaya diperdayakan. Akibatnya Norita dan Rose terus menjadi pelarian. Sebagaimana novel Yang Miskin dan Yang Mewah, dan Budak Beca, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam ini tidak mempunyai plot yang kukuh. Selain berlatar belakangkan Kluang, Kuala Lumpur dan Pahang, novel ini diberi latar masa ketika berlakunya konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia. Berbanding Yang Miskin dan Yang Mewah, dan Budak Beca, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam bagaimanapun lebih menekankan persoalan pelacuran, dan pemerdagangan manusia sambil menyelitkan kritikan dan idea politik Pak Sako terhadap politikus. Novel ini turut mengabaikan prinsip sebab dan akibat serta menyampaikan idea-idea Pak Sako mengenai kebejatan moral orang Melayu menerusi keratan akhbar, perbualan pelombong bijih dan emas serta tanggapan-tanggapan pelacur dan ibu ayam terhadap isu semasa pada waktu itu.Novel terakhir yang diketengahkan dalam esei ini adalah berjudul Tijah Tukang Chukor. Novel Tijah Tukang Chukor ini juga diterbitkan pada tahun 1967 oleh Penerbit Marang. Novel ini diawali dengan watak Tok Seman atau Osman yang berusaha menyelaraskan dusun durian orang kampung dengan mewujudkan ‘Tabong Bimbingan Belia’ yang bertujuan untuk memberi latihan berniaga. Tabung ini bertujuan menghimpunkan wang supaya dapat membeli alat muzik untuk pasukan pancaragam kampung dan menganjurkan pelbagai acara lokal. Salah seorang teman Osman adalah kadir yang sering ke Kuala Lumpur dan menceritakan perihal sebuah kedai gunting rambut yang dimiliki oleh seorang wanita Melayu. Wanita ini diberi gelaran ‘Tijah tukang chukor’ dan memberi perkhidmatan menggunting, mencukur dan mendandan pelanggan dengan baik. Pekerjaan seorang perempuan Melayu sebagai tukang gunting pada waktu itu sangat langka. Ketika Tijah memberikan perkhidmatan menggunting rambut dan mencukur misai atau janggut pelanggannya, Tijah akan berbual-bual dengan mereka sambil membincangkan pelbagai isu semasa antara lain ialah bagaimana untuk mengatasi persaingan dalam perniagaan. Salah seorang pelanggan setia Tijah ialah Samsuri. Teman baik Samsuri pula adalah Dollah. Plot novel bergerak apabila Samsuri mengikut Dollah ke rumah Pak Ngahnya. Di tengah-tengah novel ini tersela adegan Tijah dan Samsuri berkelah serta cerpen karangan Nuraini yang dibaca oleh Tijah. Ketika perniagaan Tijah semakin merosot, salah seorang pelanggan Tijah bernama Murad yang diberi gambaran sebagai seorang yang kaya dan gemuk telah meminang Tijah. Ibu bapa Tijah membuat keputusan untuk mengahwinkan Tijah dengan Murad meski diketahui keperibadian Murad sangat tidak bermoral. Isteri pertama Murad pula seorang tahi judi dan anaknya, Salleh pula mengalami kemurungan. Walaubagaimanapun Tijah berkeras menolak lamaran Murad. Tijah malah nekad sehingga sengaja membiar diri ditangkap basah dengan Dollah. Novel diakhiri dengan perkahwinan Tijah dan Dollah dan hasrat kedua-duanya untuk membesarkan perniagaan Tijah menjadi ‘Persolekan Tijah dan Dollah’. Seperti mana Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, dan Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, novel Tijah Tukang Chukor juga mengabaikan aspek cerita yang kukuh dan lebih memberi penekanan kepada idea dan kritikan-kritikan Pak Sako terhadap masyarakat khususnya tingkah laku orang Melayu.Sebelum mendalami wacana yang dibentangkan dalam novel-novel terpilih ini, adalah jelas berdasarkan paparan di atas, Pak Sako berusaha mempersembahkan karya beliaudengan gaya kewacanaan. Keempat-empat novel yang dikemukakan dalam kertas ini iaitu Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor ternyata mengabaikan komponen cerita. Pak Sako tidak memberi perhatian kepada aspek konvensional sebuah karya sastera seperti pendahuluan, klimaks dan pengakhiran cerita. NovelYang Miskin dan Yang Mewah misalnya digubah secara anti-plot. Malahan kemuncak novel ini adalah penganjuran forum mengenai kelas sosial dalam masyarakat yang turut dijadikan judul novel ini.Watak-watak yang diketengahkan juga tidak jelas latar belakangnya, dimatikan begitu sahaja tanpa kesan; dan hanya berguna untuk menggerakkan idea atau wacana dan pemikiran beliau tentang bermacam-macam isu dan persoalan. Dalam novel Budak Beca sebagai misalan, watak pengayuh beca bernama Embong dan Mamat hanya diperalatkan untuk menyampaikan pandangan-pandangan Pak Sako mengenai Malaya di ambang kemerdekaan. Malahan di tengah naratif, watak Embong hilang begitu sahaja dan tidak diperihalkan lebih lanjut. Namun begitu, watak-watak yang ditampilkan oleh Pak Sako dalam karya-karya di atas adalah watak-watak yang selalunya tidak bermoral, iaitu antara lain adalah pelacur, pemaksiat yang akhirnya akan insaf, penjudi, dan pemabuk. Watak beragama seperti Pak Abbas, bapa Tijah dalam novel Tijah Tukang Chukor diberi peranan kecil. Walaupun sedemikian, perlakuan maksiat dan batil watak-watak ini tidak dibesar-besarkan dan diketengahkan secara terkawal. Malahan adegan yang sepatutnya erotis antara suami isteri tidak diberi porsi yang besar dan hanya ditampilkan untuk memancing minat pembaca kepada idea-idea lain. Sering kali juga gurau senda suami isteri, pasangan kekasih atau gandingan pelacur pelanggan tersebut ditamatkan begitu sahaja dan tidak ditokok secara keterlaluan. Dalam karya Norita dan Kesah2 Kuching Hitam misalnya, usaha Rose untuk memancing, menggoda dan memperdaya Pak Kassim lebih disarati dengan jual beli pantun berbanding adegan seksual yang memberahikan. Oleh demikian, karya Pak Sako di atas dapat dikatakan menuju kepada ciri gagasan Persuratan Baru yang memilih untuk mengangkat daya kreatif yang tinggi, terkawal dan beradab’. Dalam erti kata lain seks atau erotisme tidak menjadi komponen wajib dan tidak dijadikan elemen sensasi untuk melicin dan melincirkan cerita. Rumusnya, kesempatan tertentu yang ada ketika berkarya tidak membuatkan Pak Sako memilih untuk menghuraikan adegan seks dan erotisme. Watak-watak dalam gelora seks tersebut akan sebaliknya memilih untuk berhujah idea. Pembentangan wacana tampak mendadak atau spontan justeru tidak disusun atur, atau disaring dan dianalisis secara mendalam.


abgsedapmalam Publish time 4-9-2013 07:59 AM

Dalam novel-novel di atas, watak-watak seperti setiausaha peribadi seorang profesor, pengayuh beca, petugas masyarakat sivil, tukang gunting rambut malah ibu ayam ikut menyatakan idea kritis tentang masyarakat. Ini dapat dikatakan sengaja dilakukan oleh Pak Sako memandangkan beliau masih boleh memilih watak ilmuan seperti yang dihadapkan dalam novel Yang Miskin dan Yang Mewah. Sungguh pun wacananya tidak dibahaskan dengan bersungguh-sungguh, kritikan dan idea yang diketengahkan oleh Pak Sako, meski tidak begitu mendalam, dapat dikatakan segar dan elok dikaji.Wacana Masyarakat SivilSejak ‘The Universal Declaration of Human Rights’ diperkenalkan pada 10 Disember 1948, kewujudan dan pemerkasaan masyarakat sivil telah diberi perhatian yang besar. Malah deklarasi hak asasi manusia di peringkat global tersebut menegaskan hak asasi manusia sesebuah negara hanya dapat diukur sakit sihatnya menerusi dialog hak asasi manusia yang bertunjangkan keberadaan dan keberkesanan masyarakat sivil (Swiss Federal Department of Foreign Affairs 2008: 31). Dalam hal ini aktor atau watak masyarakat sivil adalah aktivis hak asasi manusia, badan-badan bukan kerajaan yang berperanan untuk mengupayakan kumpulan tertindas, organisasi yang memperjuangkan isu-isu kebajikan masyarakat lokal, gerakan sosial, institusi awam seperti universiti dan golongan profesional yang terlibat dengan hak asasi manusia seperti peguam, doktor perubatan, sarjana dan petugas kemanusiaan (United Nations Human Rights 2008: vii-viii).Keberadaan watak Mustapha di dalam novel Budak Beca selaku seorang penyelidik dan petugas dari sebuah badan bukan kerajaan menjelaskan pandangan Pak Sako mengenai masyarakat sivil. Pengarang memberikan isyarat jelas bahawa parti-parti politik belum tentu dapat dipercayai berbanding masyarakat sivil yang berperanan untuk mengupayakan masyarakat dari pelbagai aspek:Pernah Mamat bertanya dari mana Mustapha dapat wang.“Dari persatuan saya,” jawab Mustapha.“Umno atau negara?” Mamat bertanya. Nama parti-parti politik yang sentiasa bergaduh itu memang Mamat tahu, tetapi dia tidak masuk salah satu dari dua parti itu.“Bukan. Persatuan yang menghantar saya ke mari tidak bertujuan politik, tetapi sebuah persatuan kebajikan yang bertujuan memberikan jasanya kepada orang ramai, kepada masyarakat, yang bertujuan membimbing rakyat jelata kehidupan yang lebih baik, yang bersih dan jujur, berbudi kepada orang ramai.”“Saya tidak faham,” kata Mamat. “Yang saya tahu ialah sekarang orang-orang dalam negeri ini sedang sibuk dan menyebut soal-soal politik. Perkara pilihanraya.” (Pak Sako 1992: 37).Selain itu Pak Sako juga memberi peringatan kepada masyarakat atau pembacanya perihal tipu muslihat ahli politik. Ini berbeza dengan peranan masyarakat sivil yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam akan hak-hak sebenar yang dimiliki oleh mereka. Dialog dalam petikan di bawah ditutur oleh Mamat kepada watak Embung:“Mereka jadi Yang Berhormat ialah kerana kita, sebab kita yang memilih mereka itu dan yang memakmurkan negara kita ini kita juga. Kita yang menanam padi, kita yang mencangkul jalan, kita yang menggali tali air dan saya umpamanya. Sudah tujuh tahun berjuang untuk kepentingan tanahair. Negeri ini boleh jadi merdeka ialah sebab kita semua. Orang-orang yang jadi Berhormat itu ialah kerana tipu muslihatnya, kerana pujuk rayu dan kecek temberangnya. Hidup mereka itu yang sebenarnya tidaklah ada bezanya dengan kita semua.” (Pak Sako 1992: 5).Novel Budak Beca turut membenihkan saranan supaya masyarakat sivil menjana laba menerusi perniagaan dan penerokaan tanah untuk mengupayakan golongan tertindas. Antara lain, bentuk pengupayaan yang difikirkan oleh watak Mustapha sebagai berkesan adalah dengan menanggung pendidikan kaum miskin ini, atau dalam erti kata lain memberikan pendidikan percuma:Jikalau belanja mendidik seorang pemuda di sebuah universiti berjumlah tiga ribu ringgit setahun, dan belanja mendidik ahli-ahli kita hanya seribu ringgit sahaja setahun dalam satu rancangan seperti yang saya syorkan itu maka faedahnya kepada masyarakat boleh dikatakan serupa sahaja sebab nilai tujuannya serupa iaitu menjadikan pemuda-pemuda itu rakyat yang baik, berguna sepenuh hidupnya kepada tanah air dan bangsa (Pak Sako 1992: 92).Surat-surat atau laporan rasmi Mustapha hasil penyelidikannya mengenai mentaliti orang kampung dan miskin di Pantai Timur seperti yang diajukan kepada setiausaha agung persatuannya di Kuala Lumpur berfungsi untuk menjelaskan idea-idea Pak Sako. Idea-idea tersebut adalah untuk memperkasakan masyarakat sivil demi kesejahteraan orang awam atau rakyat. Ini dilakukan, memandangkan parti politik penuh dengan tipu muslihat dan gagal melihat keutamaan atau kepentingan kaum tertindas. Ini dapat dikesani dalam bab yang diberi judul ‘Laporan’ (Pak sako 1992: 86-99) dan bab ‘Mamat Mengarang’ (Pak Sako 1992: 111-125).Dalam pada itu novel Yang Miskin dan Yang Mewah menampilkan watak Profesor Ali Ahmad dan Profesor Kudus dari Universiti Hang Jebat yang mengupah khidmat Shamsuddin untuk melakukan penyelidikan mengenai keadaan masyarakat Melayu di pedalaman dan bagaimana kaum miskin dan melarat ini ditindas dan terkebelakang oleh polisi dan dasar yang diletakkan oleh pemerintah ketika itu. Penganjuran forum berjudul ‘Yang Miskin dan Yang Mewah’ menyediakan platform untuk aktor masyarakat sivil berbahas pro dan kontra mengenai dasar-dasar kerajaan. Forum itu juga menjadi ruang untuk kritikan-kritikan terhadap kerajaan dibentangkan. Sebagai contoh, dalam novel ini, watak Anton Zailani seorang mahasiswa dari Universiti Malaya telah dihadirkan untuk mengkritik dasar kerajaan yang sendeng dan berpihak kepada kaum pemodal:Dato’ Pengerusi yang terhormat. Pada pengajian saya masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh selesai dengan mengadakan beberapa orang kapitalis Melayu sebab pada dasar-nya penindasan kaum kapitalis itu tidak memileh kaum atau bangsa. Kapitalis Melayu akan menindas buroh2 Melayu atau buroh2 daripada apa bangsa juga pun asalkan mereka itu boleh mendapat keuntongan. Sa-bagai chontoh yang kechil dan mudah, mari-lah kita lihat dan saksikan sa-orang pekedai Melayu yang berniaga dalam kampong sabuah Melayu. Adakah si pekedai itu akan menjual barang2 lebeh murah daripada sa-buah kedai yang lain dalam kampong itu juga yang dipunyai oleh seorang Malbari? Tentu tidak! Sebab-nya mudah benar. Kalau oleh dia saorang Melayu dan pelanggan2nya semau-nya Melaya maka dia menjual barang2nya lebeh murah kepada orang2 Melayu maka dalam sadikit masa sahaja dia akan bengkerap, kedai-nya tutop dan orang Malbari itu akan maju dan beruntong. Jadi, saya ulangi bahawa masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh hapus atau selesai degan mengadakan beberapa orang kapitalis2 Melayu, pemborong2 Melayu. Inilah yang di-sebut orang teori kachang goreng (Pak Sako 1966: 50).Seperti mana surat-surat yang ditulis oleh Mustapha kepada pimpinan persatuannya dalam novel Budak Beca, surat-surat Zarina Zainab Ghafoor kepada kakaknya Siti Shamsinar dalam novel Yang Miskin dan Yang Mewah turut berisi kritikan terhadap orang Melayu yang belum boleh bersatu merubah nasib mereka sendiri sebaliknya terus terpengaruh dengan hal-hal karut dan khayal. Zarina menegaskan orang Melayu masih di takuk kemiskinan kerana tidak sedar kepada jurang kelas yang semakin lebar. Ini ekoran orang Melayu sentiasa berhibur dan tertutup oleh perkembangan isu semasa (Pak Sako 1966: 9-19).Selain itu watak Osman dalam novel Tijah Tukang Chukor dihadapkan kepada pembaca sebagai berusaha untuk menyelia urus keuntungan yang diperolehi oleh orang kampung Buloh Gading ekoran jualan laris durian (Pak Sako 1967: 10-12). Dalam karya Pak Sako ini, musuh masyarakat sivil diwakili oleh kaum pemodal-hartawan. Kemajuan perniagaan dan kecekalan Tijah menolak lamarannya membuatkan Murad marah dan mengugut untuk menjatuh dan menindas Tijah:“Ooh baru jadi tukang chukor sudah sombong, ya? Nanti saya upah samseng2 jahanamkan tempat anak awak itu”. Inche Murad mengugut lagi.“Tolong-lah tuan. Janganlah tuan buat apa2 padanya, tuan. Kesihan-lah pada kami orang2 miskin. Tuan orang Melayu, saya orang Melayu. Tuan orang Islam, saya pun orang Islam”, Pak Abbas merayu.“Duit saya tidak kenal Melayu dan tidak kenal Islam”, sahut Inche’ Murad dengan takbur dan bongkak (Pak Sako 1967: 162).Tijah juga menyelar sikap ibu-bapanya yang sanggup menjodohkannya dengan Murad atau anaknya Salleh semata-mata kerana Murad berkedudukan tinggi. Secara terang Tijah membantah dan menyifatkan tindakan bapanya tersebut sebagai satu bentuk korupsi:“Ayah dan emak sudah korapsi”, kata Tijah dengan muka masam. “Rumah tangga boleh runtoh apabila sa-orang ayah dan sa-orang emak korapsi, bila makan suap. Kerajaan pun boleh runtoh dan jatoh apabila para menteri dan pemimpin2 kerajaan itu korapsi. Ayah dan emak nak jual saya, ya?’ Tijah menyoal dengan chara marah (Pak Sako 1967: 153).Meskipun idea-idea Pak Sako tentang masyarakat sivil ini diajukan dalam bentuk surat, forum, dan perbualan orang biasa (tidak terpelajar), ia masih memberi keterangan yang memadai untuk persoalan yang ingin disampaikan oleh Pak Sako.Kritikan Terhadap Politik Tiada EtikaAntara keempat-empat novel terpilih yang dibincangkan dalam esei ini, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam sarat memuatkan kritikan terhadap politik liar atau politik tiada etika. Apa yang dimaksudkan dengan politik tiada etika di sini adalah politik kotor yang korup, penyelewengan kuasa, keganasan politik dan budaya politik lucah tanpa integriti. Tersebarluasnya politik korup, batil dan tiada etika ini menyebabkan rakyat atau orang awam kehilangan kepercayaan kepada pemerintah serta memilih untuk cenderung kepada masyarakat sivil yang lebih hampir dengannya:What happens when political leaders behave unethically? The public becomes cynical and suspicious, people morale suffers, and confidence in government is shattered. To combat this cynicism, the political leaders must exhibit the old-fashioned virtues of honesty, respect, integrity, professionalism, accountability, fairness, competence, and responsibility (Chinda Tejavanija 2007: 8).K Ramanathan (1989: 319) misalnya menyebutkan salah satu ciri politik tiada etika adalah apabila terdapatnya ciri-ciri totalitarian. Antara ciri totalitarian ini adalah apabila ‘hanya satu parti politik sahaja yang wujud meliputi peratusan yang kecil daripada jumlah penduduk keseluruhannya’. Beliau seterusnya menyatakan pemonopolian media massa dan pengawasan semua aspek kehidupan dengan pengawalan dan pemantauan terhadap semua lapisan masyarakat merupakan salah satu ciri politik rejim atau politik yang mengikat.Suatu hal yang wajar disentuh ialah politik tidak bermoral menjadi tema khusus dalam Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Persoalan ini ditampilkan menerusi watak Norita dan Rose, dua watak yang tidak bermoral iaitu ibu ayam dan pelacur (tukang urut). Pak Sako kelihatannya ingin menegaskan ketidaksenangan beliau terhadap gaya politik biadab yang berleluasa dalam politik negara ketika itu. Terdapat kemungkinan Pak Sako sengaja memilih watak yang tidak bermoral seperti ibu ayam dan pelacur untuk menjelaskan persoalan keruntuhan moral ahli politik.Sebagai contoh, watak Norita (seorang ibu ayam) membacakan kepada Rose keratan akhbar mengenai niat dan azam ahli politik wanita dari parti UMNO untuk membela nasib kaum perempuan. Dapat diandaikan di sini, bahawa watak pelacur yang bercakap mengenai hasrat seorang pemimpin wanita untuk membela kaum wanita adalah satu sindiran pedas terhadap parti tersebut:Aku bersukachita bahwa sekarang sudah ada tindakan2 atau sa-kurang-kurangnya suara2 daripada pemimpin2 kaum wanita untok menjaga maruah, kehormatan dan kepentingan kita kaum wanita seluroh-nya” – sambong Norita yang kemudian membachakan satu berita dari Batu Pahat yang tersiar dalam Utusan Melayu……Norita meletakkan kertas-khabar itu balek ka-atas meja. Berita itu yang sa-benarnya bukan besar dan tidak pula luar biasa kapada-nya. Bagaimana pun dia besar hati mengetahui bahwa wanita2 Melayu sekarang sudah bertambah ramai yang berani menyatakan pendapat dan fikirannya. Dia sedar, kemajuan dalam berbagai-bagai lapangan, telah dichapai oleh kaum wanita bangsa-nya. Hal ini juga menyenangkan hati-nya. Tetapi nasib golongan wanita2 saperti Rose, Lili, Mary, Maria dan lain2 yang beraih malam di bandar2 besar dan kechil dalam Malaysia adalah mendesak dan menggesa perasaan-nya supaya berbuat sa-suatu yang baik dan menguntongkan untok mereka itu.“Saya angkat tangan beri hormat pada Che’ Sumiah” – kata Rose olok-olok berbangga (Pak Sako 1968: 89-94).Dalam satu sedutan lain dari novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, Pak Sako menegur perseteruan politik antara pemimpin-pemimpin Melayu di Pahang pada waktu itu. Beliau menyifatkan perselisihan politik mereka adalah bersumberkan kebendaan dan kuasa dan bukan untuk kepentingan masyarakat atau rakyat. Watak Kassim yang sedang diperhatikan Norita dan Rose mengeluh kepada teman bualnya:“Yang dah kaya nak kaya lagi. Pada hal rezeki banyak dalam negeri ini, terutama macham negeri pahang ini. Kalau berbagi dengan adil neschaya tak habis sampai ka-chuchu chichit. Tetapi apa sudah jadi? Lihat saja-lah perkara Rahman Talib dengan Bakar Ismail, mithal-nya. Yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Lesong dengan chupak berlaga, ayam yang kenyang, dan antan yang patah” – bersungut lagi orang tua itu.




http://www.projekdialog.com/wp-content/themes/Avenue/images/email-share.png






abgsedapmalam Publish time 4-9-2013 07:59 AM

“Betul. Inche’ Kassim, betul” – Mat Din menyokong dan bersimpati dengan perasaan tak puas hati-nya itu.“Baru2 ini pulak, Inche Kassim” – Omar pula menokok – “Ada chadangan nak buat undang2 untok kepentingan orang2 yang memegang tampok kerajaan negeri ini. Kalau mereka itu mati atau dapat kemalangan, hilang mata atau tangan, mithalnya, kerajaan negeri ini akan bayar kepada mereka itu atau waris-waris-nya” (Pak Sako 1968: 124).Seperti yang dinyatakan oleh Chinda Tejavanija (2007) sebelumnya, politik tiada etika hanya akan menyebabkan rakyat tidak berpartisipasi, putus asa dan hilang kepercayaan kepada pemerintah atau kerajaan, khususnya jika kerajaan tersebut kerajaan yang korup. Dalam konteks ini, watak Norita dalam novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam menyatakan kerajaan tidak menyumbang apa-apa kepada kehidupannya yang sudah sedia tidak bermoral itu:Itu semua-nya tidak berarti apa2 kepada Norita. Kabinet turun naik, kerajaan2 hanchor lebor, dan bertukar ganti. Itu sudah berulang2 kali semenjak zaman dahulu kala. Sa-puloh jong masok, anjing berchawat ekor juga. Dua puluh jong pechah, ikan2 yu yang kenyang (Pak Sako 1968: 168).Teguran dan kritikan Pak Sako terhadap politik tiada etika ini wajar menjadi renungan. Pak Sako, sebagai tokoh besar kesusasteraan dari Pahang sendiri pernah menjadi mangsa politik tanpa etika. Menurut Wahba (1987: 54-55), Pak Sako pernah bertanding di parlimen Temerloh mewakili Barisan Sosialis pada tahun 1959.Meskipun Pak Sako mendapat sokongan yang menggalakkan, beliau telah tewas kerana terdapatnya propaganda jahat bahawa kononnya Pak Sako bertanggungjawab membawa masuk Jepun ke Tanah Melayu. Propaganda atau fitnah Pak Sako selaku ejen asing ini disebarkan oleh ‘pendatang-pendatang daripada Sumatra (Kampar)’ yang berfahaman ‘mahu kaya dan senang’.Tan Sri Abdul Samad Ismail (1996: 26) dalam mengulas aktiviti politik Pak Sako menyatakan ‘Ishak berhasrat menjadi seorang wakil rakyat di barisan pembangkang’ dan tidak pernah berharap ‘untuk menjadi Perdana Menteri’. Malah Abdul Samad menegaskan kehidupan seorang pemimpin pembangkang agak sukar walau beliau ‘terletak di luar arus perdana’. Apa yang lebih penting, Abdul Samad juga mencatatkan yang perjuangan politik Pak Sako ‘tidak pernah mencetuskan konflik yang tajam dengan golongan lain’ dan ideologi ‘politiknya tidak mempengaruhi nilai-nilainya sebagai seorang manusia yang rendah diri’.KesimpulanTidak dapat dinafikan lagi Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad adalah figur besar dari negeri Pahang. Kewibawaan beliau sebagai sasterawan bukan sahaja menyerlah dalam karya beliau seperti Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, bahkan pengarang kelahiran Temerloh, ini turut menyerlah dalam karya terpilihnya seperti Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor. Karya-karya Pak Sako ini kurang diketahui umum sedangkan ia menampilkan mesej yang kuat serta baik persembahannya. Karya-karya Pak Sako yang terpinggir ini ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri dan sangat relevan dengan lingkungan sosio-politik hari ini. Dua wacana yang kelihatan jelas sekali dalam novel-novel terpilih beliau ini adalah wacana masyarakat sivil dan juga kritikan beliau terhadap politik tiada etika. Dalam wacana-wacananya ketika tahun 1960an itu Pak Sako berpendapat kerajaan yang ada tidak banyak membantu orang Melayu dan memusuhi keadilan untuk golongan miskin. Novel-novel terpilih Pak Sako iaitu Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor masih boleh dan enak ditatap wacananya kali ini.

Dalam sebuah buku yang lain, Pak Sako dinyatakan berasal dan lahir di Kampung Segentang. Lihat A. Karim Haji Abdullah. 1988. Pak Sako Bestari. Binakarya Sdn Bhd. Petaling Jaya. Halaman 1. Pak Sako sendiri turut menyatakan beliau dilahirkan di Kampung Segentang. Lihat Pak Sako. 1996. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Halaman 29. RujukanA. Karim Haji Abdullah. 1988. Pak Sako Bestari. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd.Abdul Latiff Abu Bakar. 1988. ‘Ishak Sebagai Seorang Penulis dan Ahli Politik’. Dlm. A. Karim Haji Abdullah (ed.). Pak Sako Bestari. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd.Abdul Samad Ismail. 1996. ‘Kata Pendahuluan’. Dlm. Pak Sako. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.Chinda Tejavanija. 2007. Ethics Of Political Leaders: The Comparative Study Of George W. Bush & Thaksin Shinawatra. Tanpa Tempat. King Prajadhipok’s Institute. http://www.spu.ac.th/intl/files/2011/02/Article-2.pdfH.C Mohamad A. Rahman. 1967. Dlm. Ishak Haji Muhammad. Tijah Tukang Chukor. Marang. Penerbit Marang.Ishak Haji Muhammad. 1966. Yang Miskin dan Yang Mewah. Kuala Lumpur. Pustaka Melayu Baru.Ishak Haji Muhammad. 1967. Tijah Tukang Chukor. Marang. Penerbit Marang.Ishak Haji Muhammad. 1968. Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Marang. Penerbit Marang.K. Ramanathan. 1989. Asas Sains Politik. Shah Alam. Fajar Bakti.Mohamad Sabu. 2003. Hansard Parlimen:Perbahasan Rang Undang-undang Arkib Negara 2003. Dokumen Kerajaan DR.25.6.2003. Cawangan Dokumentasi Parlimen Malaysia. Kuala Lumpur.1-109.Pak Sako. 1987. Catatan Pengalaman Pak Sako. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd.Pak Sako. 1992. Budak Beca. Kuala Lumpur. Marwilis Publisher & Distributor Sdn Bhd.Pak Sako. 1996. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.Siang, L.K. 1987. Pursuit of a Malaysian Dream: Parliamentary Opposition Leader DAP Secretary-General and MP for Tanjung. 29 September. Bibliotheca. http://bibliotheca.limkitsiang.com/Swiss Federal Department of Foreign Affairs. 2008. ABC of Human Rights. Bern. Directorate of Public International Law.United Nations Human Rights. 2008. Working With the United Nations Human Rights Programme: A Handbook for Civil Society. Geneva. Office of the High Commisioner for Human Rights.Wahba. 1987. Pak Sako Tokoh Tiga Zaman. Kuala Lumpur. Progressive Products Supply.


AceHand Publish time 5-3-2014 12:20 AM

Errr...

http://acehandspectacelar.com/a/ace/AceBar.gif

Ni pandai copy paste jer ke...? Tak reti nak edit...?


Jizzz... Klong! Klong!

wawakuwawa Publish time 12-5-2014 02:46 PM

En, sy berhasrat membaca karya2 beliau. jika masih ada buku2 di pasaran ..harap dapat kiranya saudara berikan butiran tempat/pemilik, tks

AceHand Publish time 15-12-2020 02:33 AM

Hmmm...

wawakuwawa replied at 12-5-2014 02:46 PM
En, sy berhasrat membaca karya2 beliau. jika masih ada buku2 di pasaran ..harap dapat kiranya saudar ...

[AceHand SPECTaceLAR]

Faizal Tehrani boleh dikatakang agak popular jugak tu...


Jizzz... Klong! Klong!

Pages: [1]
View full version: Sosialis macam Pak Sako: Mendalami novel-novel terpilih


ADVERTISEMENT