Q_Ain Publish time 3-2-2013 09:15 PM

Tiada Yang Sempurna (Bab 1)

Bab 1

Tanda keberkatan seorang wanita adalah maharnya murah, berhati qana’ah dan bersikap sederhana dalam majlis walimah kerana Islam tidak menyukai sesuatu yang berlebih-lebihan. Sementara kebanggaan masyarakat hari ini pada umumnya, apabila mereka mampu menyelenggarakan walimah secara besar-besaran, sehinggalah menelan perbelanjaan yang besar dan pengantin perempuan jua memperolehi mahar yang besar jumlahnya. Hal ini akan membebankan calon pengantin lelaki yang berpendapatan rendah.
        Islam memandang bahawa kebahagiaan rumahtangga itu bukan bergantung kepada kehidupan glamor dan kemudahan yang mewah. Ia juga bukan terletak pada lengkapnya peralatan rumah yang tiada guna manfaatnya. Penentu kebahagiaan itu bukan pada Penampilan dan zahir namun pada hakikat dan amal perbuatan. Rasulullah S.A.Wmenyiapkan perkahwinan Fatimah hanya dengan sehelai baju, sebuah timba (gayung) untuk mandi dan sebuah bantal yang berisi rumput izkhir (sebangsa rumput yang harum baunya)
        Faghira tidak lupa pada kata nasihat dari arwah walidnya. Arwah Walid hanya seorang lelaki yang bekerja sebagai penjual cendol di tepi jalan namun ilmu pengetahuan tentang agama lebih dari mereka yang berjawatan tinggi. Faghira amat menghormati arwah walid dan sentiasa ingin melakukan yang terbaik untuknya. Arwah walid memberikan nama Faghira yang bermaksudbunga melur. Bunga melur berwarna putih. Putih itu bersih dan suci kata orang. Melur atau (Inggeris) - Jasmine, (Indonesia)- Melati, merupakan pokok jenis belukar renek dan ia juga dikatakan pokok yang jenis merayap dan menjalar. Pokok melur ini mempunyai kira-kia 200 jenis dan boleh didapati dikawasan tropika dan beriklim panas. Pokok ini hidup membesar dalam keadaan menjalar pada pokok-pokok lain atau pada sesuatu bahan yang ia boleh berpaut.
Bentuk daun pokok ini nampak ringkas dan mudah, bercabang tiga, sedikit berlilin dan warna hijau tua. Manakala, warna bunga, pada amnya, ia mudah didapati dengan warna putih, namun spesis yang lain mempunyai bunga warna kuning. Satu bunga melur boleh dijumpai dengan 5 ke 6 kelopak. Bauan bunga ini kuat dan harum. Musim pembungaan bunga melur disekitar musim bunga dan sejuk pada kebanyakkan jenisnya, tetapi, J.nudiflorum dalam musim sejuk boleh dilihat pada dahan-dahannya.

Q_Ain Publish time 3-2-2013 09:20 PM

Walid kata nama yang terlalu panjang dan indah itu belum tentu mempunyai maksud yang indah jua. Faghira bersetuju dengan kata-kata walidnya itu. Dia tersenyum sendiri sambil memandang pada Rosanne yang masih megah bercerita tentang perkahwinannya dengan anak tengku itu. Rosanne bakal melangsungkan perkahwinannya pada hujung bulan ini. Majlis pernikahan akan berlangsung di banglo mewah milik keluarga Rosanne. Resepsi perkahwinan pula akan dibuat kemudiannya di sebuah hotel bertaraf lima bintang. Rata-rata Rosanne menjemput semua bekas teman-teman seuniversitinya dahulu kerana tetamu yang hadir perlu membawa kad jemputan bersama. Tiada kad maka tetamu tidak boleh masuk ke dalam majlis tersebut. Majlis yang besar tetapi tetamu yang dijemput terhad pula.
“Jangan lupa bawa sekali pasangan you all nanti.” Pesan Rosanne.
Fairuz dan Aneesa menganggukkan kepala mereka. Sudah tentu mereka akan menayangkan kekasih mereka kepada Rosanne nanti.
“You pula macam mana Ghira?” Rosanne mengalih pandangan pada Faghira.
“In Sha Allah, saya datang seorang sahaja.”
“Perempuan alim macam dia mana ada buah hatilah Anne. Kau bukan tak tahu lelaki tidak suka perempuan yang berbungkus macam ni?” Aneesa mencebik melihat penampilan Faghira yang berjubah seluar itu. Tudungnya juga labuh malah memakai stoking kaki dan berkasut sarung.
        Rosanne dan Fairuz ketawa kecil. Antara teman-teman bekas seuniversiti yang lain Faghira yang dirasakan kolot dalam penampilan. Zaman sudah moden tetapi berbungkus begini. Dahulu Faghira seperti mereka. Gadis yang ligat berparti sana-sini. Apa yang membuatkan Faghira berubah agaknya? Tidak panaskah Faghira dengan pakaian tersebut? Berbicara dengan lelaki pun berlapik. Tiada lelaki yang mahu bergaul dengan gadis
        “Carilah teman lelaki Ghira. Baru you tahu apa itu nikmat hidup sebagai wanita atas dunia ini? Tengok si Anne sudah nak berkahwin pun.” Desis Fairuz. Dia sengaja mahu memerli Faghira.
        “Saya tunggu ustaz dari Imam Muda lamar saya.” Faghira berseloroh.
        Secara umum, seorang wanita boleh memilih pasangan hidupnya kerana nasab (keturunan), agama, akhlak pekerjaan, keserasian, baik dari segi ilmu, wawasan, dan sosial. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila kamu didatangi orang yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kahwinkan dia. Jika kamu tidak melakukannya, maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

        Makin galak ketiga-tiga temannya itu ketawa. Bagus sangat ke sampai bermimpi ustaz dari Imam Muda datang melamar?
        Faghira melirik senyuman. Dia tidak ambil hati dengan teman-temannya itu. Dia sudah biasa dengan kata-kata sinis mereka. Apabila menuju ke arah kebaikan tidak perlu untuk menjadi seorang ustaz atau ustazah jika ingin menyampaikan kebaikan itu. Mungkin pada mereka dia seorang yang bodoh tuli kerana sanggup mengubah diri menjadi seorang yang berlebih baik? Mungkin juga mereka merasakan dia tidak layak untuk berubah? Dia mengerti perubahannya dia menjengkelkan hati mereka.
        “Kau ingat bulan akan jatuh ke riba?” Aneesa menjengkelkan keningnya yang kian nipis dicukur itu.
        “Siapa tahu jodoh dari Allah untukku seorang imam atau ustaz? Alhamdulillah…syukur kepada Allah jika menjadi kenyataan. Kalian doakan untuk saya..”
        Aneesa mencebik. Dia menyampah dengan kata-kata Faghira itu. Ingat wanita yang bertudung litup dan berpakaian sopan ini baik sangat ke? Malah mereka lagi dahsyatlah. Beberapa hari lepas teman serumahnya ditangkap basah oleh Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam (JAIS) di apartmen miliknya. Teman serumahnya itu bertudung litup tapi buat maksiat juga. Dia tidak ‘respect’ pada mereka yang tunjuk alim ini. Luar baik tapi hati sama hitam saja macam dia.
        “Kalau I doakan untuk you I doakan lelaki paling jahat buat you, Ghira. Biar you rasa azabnya nanti dalam hidup ni.” Gumam Aneesa.
        “Tak baiklah you ni, Neesa.” Marah Rosanne.
        “Apa dia ingat lelaki baik untuk perempuan baik macam dia ke? Sedarlah diri sikit dulu dia macam mana? Macam kita juga kan?” Cemuh Aneesa.
        “Sudahlah Neesa…” Fairuz mencelah.
        “Realiti tak sama dengan drama atau filem…perempuan baik pun boleh dapat lelaki jahat tahu tak?”Aneesa terlebih emosi.
        “Saya minta maaf jika saya ada tersalah kata, Neesa.” Walau bukan salah itu dari pihaknya, Faghira tetap mengucapkan kata maafnya buat Aneesa.
        Aneesa bingkas bangun menyandang beg tangannya.
        “I gerak dulu. Apa-apa hal nanti I call you jika I datang bersama K nanti.”
        “Okaylah Neesa. Sampaikan salam I pada K.”
        “Hmmm…itu pun kalau I ingat. Lagipun K sedang sibuk dengan urusan projek rumah rehat dia.”
        “You bertuah sebab K pilih you.”
        Aneesa tersenyum bangga. Dia kerling Faghira.
        “You apa ada Ghira?” Ujarnya sinis lalu berlalu.
        Faghira memang tiada apa-apa kemewahan. Dia hanya mengendalikan tadika kecil yang diusahakan dengan hasil titik peluhnya sendiri.
        “Neesa tu memang panas baran tidak menentu.” Keluh Rosanne. Bila kepala angin Aneesa buat hal maka pertemuan mereka jadi hambar. Jangan kepala angin Aneesa datang masa majlis perkahwinannya nanti sudah. Haru jadinya.

FAGHIRA mematikan enjin kereta proton saga jenis lama itu. Kereta peninggalan dari arwah walid. Kereta itu masih boleh diguna pakai. Enjinnya masih elok meskipun badan kereta sudah tampak agak sedikit buruk. Barang buruk tidak semestinya tidak boleh dipakai. Dia masih menjaga kereta itu dengan baik. Mungkin ada baiknya di menukarkan warna cat pada kereta terbabit. Faghira sudah memikirkan ideanya itu.
        “Assalamualaikum Cikgu Faghira…”
        “Waalaikumusalam…” Faghira mengangkat wajahnya. Wajah keruh salah seorang cikgu di tadika dipandang.
        “Cikgu Faghira, Balkis kena pukul dengan Anisah lagi. Kepala Balkis uka sedikit.” Adunya cemas.
        Ini kali kedua aduan yang Faghira terima tentang kedua murid tadika itu. Kali pertama Faghira berjumpa dengan ibu bapa Anisah. Dia berinteraksi dengan mereka secara lebih peribadi. Dia cuba mencungkil masalah yang dihadapi oleh Anisah. Bukan Balkis sahaja mangsa Anisah malah murid-murid tadika yang sekelasnya yang lain. Kedua ibu bapa Anisah seperti tidak menyenangi perbincangan yang dibuat. Malah mereka menasihatkan Faghira supaya lebih pandai mendidik anak mereka.
        Faghira membawa Anisah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Rotan bukanlah cara terbaik untuk mendidik kanak-kanak seperti Anisah ini. Dia duduk berhadapan dengan kanak-kanak itu. Faghira mengukirkan senyuman. Dia mahu Anisah merasa selesa dengannya.
        “Anisah…tak baik tau pukul kawan. Cikgu tak ajar tahu macam tu.” Faghira mengusap-usap belakang Anisah.
        Anisah masih membatukan diri.
        “Anisah dengan Balkis kan kawan baik. Kawan mana boleh gaduh-gaduh.” Sambung Faghira lagi.
        Anisah memandang wajah Faghira.
        “Cha budak jahat…” Anisah bersuara.
        “Siapa cakap Anisah budak jahat? Beritahu pada cikgu.”
        “Papa dan mama cakap. papa dan mama kata Cha penipu.” Wajah Anisah sayu. Kanak-kanak itu menundukkan kepalanya.
        “Kenapa papa dan mama cakap Anisah penipu?”
        “Abang buat Cha. Sakit tahu. Kat sini sakit selalu.” Anisah menunjukkan pada bahagian itu.
        Faghira seakan mengerti apa yang Anisah luahkan kepadanya.
        “Papa dan mama tahu?”
        “Papa dan mama kata Cha tipu.”
        Astaghfirullahalazim ….mengucap Faghira mendengarnya. Seorang abang kandung sanggup merosakan adik sendiri. Kanak-kanak ini menjadi mangsanya. Ibu bapa mengabaikan kata-katanya hanya kerana dia seorang kanak-kanak yang tidak tahu itu dan ini. Tidak sedarkah mereka masa depan kanak-kanak ini sudah gelap sebagai seorang wanita kelak. Dia akan merasa rendah diri dengan kisah hitamnya.
        “Anisah cerita pada cikgu ya. Cikgu mahu tahu apa abang Anisah buat pada Anisah?”
        Anisah menganggukkan kepala. Satu-persatu dia menceritakan kisah hitam itu kepada Faghira. Air mata Faghira menitis. Kanak-kanak ini harus diberi pembelaan. Faghira mengerti yang Anisah berubah sikap kerana perlukan perhatian orang dewasa sepertinya. Ibu bapa perlulah prihatin keadaan ini dan bukannya tidak mempedulikan mereka. Faghira kecewa dengan segilintir sikap ibu bapa yang tidak prihatin pada masalah anak-anak mereka. Jangan fikir jika keperluan semua telah disediakan maka mereka tidak perlu mengambil berat perihal anak-anak?
Faghira membawa Anisah untuk membuat laporan ke balai polis. Faghira tidak akan membiarkan lelaki bertopengkan syaitan seperti abang Anisah itu terlepas dari hukuman. Harapkan pagar, pagar makan pagi!
Laporan yang dibuat menaikkan kemarahan ibu bapa Anisaha. Mereka mengatakan Faghira ingin memalukan nama baik keluarga mereka. Tidak fikirkah masa depan anak gadis mereka itu? Anisah itu mangsa perkosa abang kandungnya sendiri. Mengapa perlu didiamkan hanya semata-mata untuk menjaga nama baik keluarga? Bagaimana dengan pembelaan untuk Anisah?
Faghira tidak mempedulikan herdikan yang diterimanya dari ibu bapa Anisah. Apa yang dia lakukan adalah satu tindakan yang betul. Ibu bapa Anisah ini harus diberikan kaunseling kesedaran sedikit.
“Tindakan kau betul, Ghira. Kalau mereka nak saman Ghira, Adah ada!” Ujar Wardah sebaik hal itu Faghira adukan kepadanya.
Faghira melirik senyuman. Dia tahulah Wardah seorang peguambela.
“Peguambela hebat sudah naik angin.”
“Ghira…ibu bapa macam itu elok sangat masuk sekali dalam lokap. Anak sudah kena perkosa pun boleh fikirkan nama baik keluarga lagi? Ibu bapa jenis apa tu?” Gumam Wardah. Maruah anak itu yang patut dibela.
“Bagusnya kawan baik kita ni…” Faghira memaut bahu Wardah.
“Adah dah cakapkan yang Adah kawan terbaik Ghira. Kawan dunia dan akhirat.”
Wardah turut melirikkan senyumannya.
“Kawan sudah dan senang bersama. Terima kasih Adah. Nak Ghira cium pipi kiri dan kanan tak?”
“Suka sangat kiss pipi gebu Adah ye?”
Mereka tertawa kecil. Bertemu dengan Wardah adalah satu anugerah buatnya bagi seorang sahabat dan juga saudara sesama Islam. Faghira dan Wardah bagaikan adik-beradik walaupun mereka tiada pertalian darah. Wardah bukanlah gadis yang beragama Islam sebelum ini. Wardah berbangsa Serani yang sanggup dibuang keluarga demi memilih Islam sebagai agamanya. Wardah pernah berkata dia memilih Islam bukan kerana ingin berkahwin dengan Hafsham? Dia mendalami agama Islam itu sendiri sebelum mengenali Hafsham. Kata Wardah…Islam itu indah.

Dari Abu Said Al-Khudri, sesungguhnya dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila seseorang hamba masuk Islam secara betul dan baik keislamannya, maka Allah mengampuni segala dosa mas lalunya dan setelah itu berlakulah qisas. Satu kebaikan yang dia kerjakan dibalas sepuluh kali hingga tujuh ratus ganda. Sedangkan kejahatan yang dikerjakan dibalas sama (satu dibalas satu). kecuali Allah berkenan mengampunnya.”
Pages: [1]
View full version: Tiada Yang Sempurna (Bab 1)


ADVERTISEMENT