sama Publish time 25-7-2012 05:13 PM

Cerpen: Mungkin

Kadangkala lebih baik berada dalam kegelapan. Mungkin ada ketakutan namun disebaliknya ada harapan...

sama Publish time 25-7-2012 05:17 PM

Slmt Pagi Syg. I baru je bangun. Syg, dah bangun?

Sambil mengeringkan juraian rambutnya menggunakan tuala, Seri memeriksa BBM yang telah dikirimkan kepada Farhat 30 minit yang lalu sama ada telah berbalas atau tidak. Mungkin Farhat sedang memandu ke tempat kerja sekarang dan tidak berkesempatan melihat telefon bimbitnya, getus hati kecil Seri.

Sambil memasang suis pengering rambut, Seri memeriksa wajahnya di cermin. Tiada perubahan! Sembab di bawah matanya tetap ada dan tompok-tompok hitam di wajahnya seolah semakin ketara. Ternyata pelaburannya membeli set penjagaan kulit yang hampir mencecah seribu ringgit itu masih belum memberikan kesan yang dikehendakinya. Mungkin kerana baru seminggu dia menggunakannya. Perlu tunggu sebulan untuk benar-benar menunjukkan kesan. Seri memilih untuk positif lalu meratakan pelembab ke seluruh wajahnya dengan harapan ia akan dapat mengekalkan keremajaan kulitnya. Rambut ikal yang mencecah bahu itu masih lembab dan segera dikeringkan menggunakan pengering rambut sebelum Seri terdengar telefonnya berbunyi. Dengan pantas Seri menggapai telefonnya di atas katil dengan wajah yang ceria.

5 minit lagi aku sampai. Tunggu kat luar…

Riak wajah Seri berubah hampa. Ternyata bukan balasan daripada Farhat yang diterimanya tetapi daripada Dahlia yang akan sampai sebentar lagi.

Zabran, sahabat baik kepada mereka berdua akan berlepas ke Amerika pada jam 11.00 pagi bagi menyambung pelajarannya di sana. Jadi pagi ini mereka berdua berhasrat untuk ke lapangan terbang bagi menghantar Zabran sebelum mereka terpisah untuk sementara selama 3 tahun. Walau bagaimanapun, pesanan Dahlia itu menyebabkan Seri tergesa-gesa untuk menyarung blaus dan seluar jeansnya.Setiap barang keperluannya yang penting pantas dimasukkan ke dalam beg tangan.

Seri hanya sempat menyikat rambut dan mengoles bedak asas dengan ringkas sebelum kedengaran bunyi pesanan seterusnya. Pastinya daripada Dahlia yang merungut di dalam kereta kerana kelewatannya. Seri berlari keluar daripada bilik dan menuruni tangga rumahnya. Malah sarapan pagi yang disediakan oleh ibunya pun tidak sempat dijamah.

“Mesti lepas jawab call aku pagi tadi, kau sambung tidur lagi kan?”

Ayat pertama yang diluahkan Dahlia sejurus selepas Seri melangkah masuk ke dalam kereta dengan tercungap-cungap.
Seri tergelak kecil mendengarnya kerana ternyata tekaan Dahlia itu tepat.

“Pukul 5.30 pagi kot ko kejut aku!”

“Aku tak dapat tidur nyenyak malam tadi. Aku takut terlajak tidur. Kejap-kejap aku terbangun,” ujar Dahlia sambil menggerakkan kereta kompaknya itu dari perkarangan rumah Seri.

“Jadi, kau dah karang ayat yang akan kau cakap nanti?” Seri mengusik Dahlia sambil mengeluarkan pengilat bibir dari beg tangannya.

“Takde la macam tu. Lebih kepada persediaan emosi,” balas Dahlia yang menjeling Seri terkial-kial mencalit pengilat bibir menggunakan cermin di penghadang cahaya.

“Tapi dialog yang aku sediakan tu cukup memberangsangkan, kan?” Seri tersenyum sinis dan mengangkat keningnya.

“Ceh!!”

Dahlia merengus geram teringatkan BBM yang dikarang panjang lebar oleh Seri kepadanya malam tadi.

Zabran, aku ada pengakuan dari hati yang ingin disampaikan. Maafkan aku kerana mengambil masa selama 5 tahun untuk menyatakannya. Tetapi sudikah engkau menaiktaraf persahabatan kita kepada satu perhubungan yang lebih serius. Aku sedia menanti kau kembali kelak, asalkan engkau sudi menerima aku sebagai kekasih!

Jiwang sangat kot!!!” tutur Dahlia dalam mimik wajah yang geram.

Zabran telah lama mereka kenali semenjak daripada zaman pengajian di universiti. Zabran merupakan kawan ‘lelaki’ mereka yang tangkas menghulurkan bantuan sekiranya mereka mengalami apa-apa kesulitan. Pernah satu ketika, Zabran sanggup memandu dari universiti mereka di Kuala Terengganu ke Kuantan di tengah malam ketika kereta mereka tidak dapat dihidupkan di sana.

Setelah hampir dua jam Zabran memecut untuk mencari mereka di Kuantan, rupa-rupanya Dahlia hanya terlupa untuk meletakkan gear kereta sewa itu ke posisi ‘P’. Seri tidak berani memarahi Dahlia di ketika itu kerana mereka sama-sama panik sebelum itu. Tambahan pula Dahlia baru sahaja seminggu memperoleh lesen memandu. Hampir 5 minit Zabran mendiamkan diri kerana menahan marah ketika itu. Wajah Zabran yang mulus dan cerah itu menjadi kemerahan buat seketika sebelum menjerit dan mengejar Dahlia di tengah Padang MPK2 Kuantan.

Semenjak daripada itu, amat jarang sekali mereka berduaan memandu ke mana-mana sekiranya tidak ditemani oleh Zabran. Zabran bukan sahaja kawan yang berguna kepada mereka dalam situasi ‘lelaki’, kadang-kadang Seri dan Dahlia juga turut menceritakan masalah teman lelaki mereka kepada Zabran. Zabran yang merupakan seorang yang banyak membaca sering menyokong mereka dengan nasihat-nasihat bernas yang dipetik daripada pakar-pakar psikologi terkemuka malah dari nas-nas Al-Quran atau hadith juga. Pendek kata, Zabran memang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan Seri dan Dahlia sehingga kini. Karakter Zabran yang lurus dan pendiam itu juga yang mungkin menyebabkan dia lebih rapat dengan mereka berbanding rakan-rakan lelakinya yang lain.

“Rasa-rasa Zabran nak ke anggap aku lebih dari kawan ek? Dia kenal je ngan setiap ex-BF aku. Tahu je apa yang kitorang pernah buat semua,” kerutan di dahi Dahlia menyerlahkan keresahannya.

“Itulah kelebihannya Lia. Korang dah kenal luar dan dalam. Tak perlu meneka-neka apa sebenarnya di sebalik setiap tindak-tanduk korang. Aku harap aku ada hubungan sebegitu,” tutur Seri juga seolah-olah berubah serius sambil menaip pesanan baru di telefonnya.

sama Publish time 25-7-2012 05:21 PM

I dah otw dengan Lia ke KLIA. Harap syg sampai ofis dengan selamat.

Dahlia memegang paha Seri seraya berkata, “Farhat ada call malam tadi?”

Seri menggelengkan kepala.

“Aku yang call dia. Tigakali. Kali ketiga dia angkat cakap dia dah tertidur sebab penat sangat. Dia minta maaf.”
Dahlia menganggukkan kepala.

“Betul la dia penat tu. Dia kan baru naik pangkat. Mesti banyak benda dia kena sesuaikan diri.” Seri membalas kenyataan Dahlia itu dengan senyuman sambil memakukan mata di telefon bimbitnya. Tiba-tiba telefonnya berbunyi dengan BBM baru.

OK. Take care. :)

“Dia balas!” Seri berteriak girang.

“Dia balas apa?” soal Dahlia.

“OK. Take care. Siap dengan smiley!”, ujar Seri sambil menunjukkan mesej di telefon bimbitnya itu kepada Dahlia.

“Ade peningkatan la kan? Sebelum ni ‘OK’ je,” Dahlia cuba berseloroh.

“Yep, ade usaha untuk letak smiley dan pesanan untuk jaga diri. Dia masih ambil berat la maknanya kan?” balas Seri yang juga cuba untuk berseloroh bagi menyembunyikan kesedihan di hatinya.

Dahlia mengusap permukaan tangan Seri kerana dapat membaca kesedihan di hati sahabatnya itu.

Farhat merupakan rakan sepejabat Seri di salah sebuah institusi perbankan sebelum Seri bertukar kerja ke jabatan Kerajaan. Sebelum mengenali Farhat dengan lebih rapat, Farhat sering mengusiknya setiap kali bertemu terutamanya apabila Farhat di kalangan rakan-rakan lelakinya. Memandangkan Seri merupakan pekerja baru ketika itu dia hanya tersenyum setiap kali diusik.

Farhat memang sukar dielakkan memandangkan fizikalnya yang tinggi dan segak. Pasti ramai perempuan lain yang selalu diusiknya juga dan tidak mustahil ramai perempuan yang tertarik padanya. Oleh itu Seri tidak pernah menganggap serius apa yang diusik oleh Farhat sehingga pada suatu hari, mereka sama-sama perlu menghadiri satu kursus di Pulau Pinang.

Entah bagaimana pada hari mereka sepatutnya bertolak, Seri terlewat tiba di pejabat dan menyebabkan Seri menjadi orang terakhir yang menaiki bas. Walau bagaimanapun, atas kelemahan urusetia, bas yang sepatutnya dinaiki oleh Seri telah penuh. Kemungkinan beberapa orang kakitangan bertukar fikiran untuk menaiki bas dan tidak menggunakan kenderaan sendiri. Memandangkan Seri merupakan pekerja baru dia tidak dapat berkata apa-apa dan perlu mencari alternatif sendiri untuk ke sana dengan mendahulukan kewangan peribadi.

“Cik Seri, cik boleh ambil tempat duduk saya. Biar saya duduk di tangga,” ujar satu suara di belakang Seri ketika dia menuruni tangga bas.

Seri menoleh ke belakang dan ternampak kelibat Farhat yang telah berdiri dan menuju ke arahnya. Seri tergamam seketika kerana tidak tahu reaksi yang hendak diberikan.

Sebentar tadi dia terasa amat malu apabila semua isi bas mengetahui dia lewat dan ‘dihalau’ secara baik untuk mencari pengangkutan sendiri. Sekarang pastinya setiap mata sedang merenung ke arahnya juga disebabkan aksi budiman yang ditunjukkan oleh Farhat.

“Takpe Encik…” Seri berpura-pura tidak mengetahui nama Farhat.

“Farhat!”

Farhat menghulurkan tangan untuk bersalam di hadapan Seri. Seri teragak-agak untuk menyambut salamnya itu memandangkan beg berat yang dipegangnya dan kewajaran untuk dia melakukannya di hadapan isi bas yang pasti sedang memerhatikan gelagat mereka.

“Takpe Encik Farhat. Takkanlah saya nak biar Encik Farhat sakit pinggang sebab duduk kat tanggasepanjang perjalanan.”

“Kalau macam tu kita boleh bergilir-gilir untuk duduk kan?” balas Farhat dalam nada bergurau.

“Saya pun, takkan lah nak biarkan wanita macam awak sendirian naik pengangkutan awam ke sana?” sambung Farhat.

“Takpe, saya naik teksi. Pasti selamat,” Seri menjawab.

“Saya bergurau je. Takkanlah saya nak bergilir dengan awak untuk duduk kat tangga. Awak duduk je atas kerusi. Saya leh bertahan atas tangga. Kalau penat saya boleh baring,” Farhat tidak berputus asa untuk meneruskan ‘niat baiknya’.

“Sudah tu. Takde siapa dibenarkan duduk di tangga bas. Teruk kalau bertembung JPJ nanti. Lagipun tak selamat,” tiba-tiba salah seorangpenumpang yang berkemungkinan ketua urusetia perjalanan tersebut menyerkah dari barisan hadapan tempat duduk penumpang.

Akhirnya Farhat dan Seri bersama-sama bergerak ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta Farhat. Situasi janggal di permulaannya tidak bertahan lama kerana Farhat bijak mencari topik yang sesuai untuk berbual dengan Seri.

“Awak pernah ada teman lelaki kan?” soal Farhat di tengah perbualan mereka yang semakin menjurus ke soalan peribadi setelah dimulai dengan perbualan umum sebelum itu.

Seri menjeling tajam ke arah Farhat yang tersengih nakal. Seri kenal benar dengan soalan-soalan nakal seperti itu. Soalan sebenar disebaliknya adalah- adakah awak masih solo?

“Encik Farhat.”

“Abang Farhat!” ujar Farhat yang berkali-kali dari tadi mengharapkan Seri berlagak lebih kasual dengannya walaupun pangkatnya memang lebih tinggi daripada Seri.

“Bila kita nak berhenti isi minyak ni? Dah sikit saya tengok tu,” Seri cuba untuk mengalih topik perbualan. Farhat tersengih di tepinya.

“Perempuan cun macam awak mesti ada ramai peminat kan?” sambung Farhat. Seri memilih untuk tidak menjawab soalan Farhat itu.
Mustahil bagi Seri untuk menceritakan soal peribadinya kepada lelaki yang baru ditegurnya itu. Lebih-lebih lagi apabila teringat usikan-usikan Farhat dan rakan-rakannya sebelum ini.

Bagaimana dia boleh bersetuju untuk bersama Farhat di dalam kereta tersebut untuk perjalanan yang mungkin mengambil masa 4 jam itu masih lagi misteri buatnya. Apa yang pasti, sekurang-kurangnya dia tidak perlu mendahulukan duitnya untuk perjalanan itu memandangkan dia baru sahaja mula bekerja dan memilih Farhat berbanding pemandu teksi ternyata lebih selamat. Sekiranya apa-apa berlaku di antaranya dengan Farhat, rakan pejabatnya yang lain boleh mengesan Farhat.

sama Publish time 25-7-2012 05:27 PM

“Baiklah saya faham. Awak mesti terlalu sedih untuk bercerita tentang kisah lalu. Saya pun camtu juga. Kalau boleh saya nak hapuskan terus dari memori saya. Menceritakannya semula seolah… Apa tuh? Membuka luka lama yang masih belum pulih sepenuhnya,” kata Farhat dengan agenda tersembunyi.

Seri tertawa kecil mendengar ayat Farhat yang berbunga itu.

“Taklah sedih. Tapi banyak mengajar saya untuk berhati-hati nak bercinta semula,” pantas Seri membalas sambil mengelakkan pandangan Farhat dengan memalingkan pandangan ke sekitar lebuhraya.

Farhat tersenyum simpul. Ternyata umpannya untuk mengorek kisah lama Seri telah berjaya.

“Jadi awak ni masih single la ya?”

Seri terpaku seketika kerana menyedari kesilapannya.

“Oh, awak memang pandai mengayat perempuan kan?” Seri menjeling tajam ke arah Farhat. Hilai tawa Farhat menambahkan sakit di hatinya.

Tiba-tiba Seri tersengih sendirian di dalam kereta Dahlia itu sementara Dahlia tidak henti merungut dari tadi tentang kereta di hadapannya yang kerap menekan brek.

“Seri, bila kau nak berdepan dengan Farhat untuk bertanya secara terus terang apa yang membuat dia dingin,” cadangan Dahlia yang kini telah memandu memasuki susur keluar lebuhraya menuju ke KLIA.

Seri memandang lemah ke arah Dahlia.

“Kan aku pernah cakap dulu. Mana-mana perhubungan pun pasti akan melalui fasa ini. Fasa pertama kita akan sentiasa melihat kebaikan pasangan kita. Semuanya indah. Kalau Nampak yang buruk pun kita boleh nafikan atau pejam sebelah mata - Fasa Bulan Madu! Apabila memasuki fasa kedua pula - Fasa Kritikal, barulah keburukan-keburukan pasangan kita pula yang terserlah. Terkadang perkara yang kecil pun boleh menjadi besar. Namun sekiranya kita berjaya mengharungi fasa ini, barulah kita boleh masuk fasa ketiga bila masing-masing boleh belajar untuk menerima kebaikan dan keburukan pasangan masing-masing - Fasa Kemuncak!”

“Jadi sekarang kau dah dalam fasa kritikal la ya?” soal Dahlia.

Seri mengangguk perlahan.

“Lelaki dan wanita ada bezanya dalam menghadapi krisis. Lelaki tak suka wanita yang sibuk bertanyakan masalahnya kerana ia seolah-olah menyerlahkan kelemahan mereka. Lelaki kan ego!”

“Apabila lelaki menghadapi krisis mereka seolah-olah sedang memasuki sebuah gua…” Seri berusaha untuk menerangkannya lagi.

“Yaaaa… wanita tak boleh menggesa lelaki untuk keluar dari gua tu. Sebab ia hanya memburukkan keadaan. Men from Mars, Women from Venus! Dengar sangat lah nasihat si Zabran tuh,” Dahlia segera memotong percakapan Seri kerana dia memang arif benar dengan nasihat-nasihat dari Zabran itu dan buku motivasi tentang perbezaan lelaki dan wanita dalam perhubungan itu.

“Eh, ada betulnya apa? Aku sekarang hanya perlu menanti Farhat keluar dari ‘gua’ dia. Bila dia keluar aku perlu bersedia menyambutnya dengan terbuka tanpa mempersoalkan tindakannya. Barulah kita dikatakan saling memahami.”

Dahlia kelihatan seolah kurang bersetuju dengan keterangan Seri itu. Malah jauh di hati Seri sendiri juga meragui kenyataan tersebut.

“Tapi takde jaminan berapa lama kita perlu tunggu kan?” terang Dahlia sebelum menyambung, “Bagaimana pula kalau sebenarnya dia seronok bersendirian dalam gua tersebut? Atau mungkin dengan perempuan lain ke?”

Seri tidak membalas kata-kata Dahlia itu. Nafasnya dihela panjang sebelum dihembus perlahan dengan keluhan.

Dahlia menyedari keterlanjuran kata-katanya setelah terperasan reaksi Seri. Dengan segera dia mengalih topik perbualan mereka kepada situasinya pula.

“Sebenarnya apa yang lebih aku risaukan sekarang adalah persahabatan kita dengan Ran. Aku tanya diri aku balik. Bukan ke aku dah cukup gembira dengan perhubungan kami sekarang. Kami boleh bercerita apa saja tanpa batas dan dia sentiasa ada bila aku perlukan bantuan. Mengapa aku perlu rosakkannya dengan bercinta dengannya pula? Adakah berbaloi aku risikokan apa yang telah aku ada sekarang? Cuba bayangkan kalau dia tak sukakan aku cam aku suka dia? Mesti akan jadi janggal untuk kita berkawan dengan dia semula macam dulu-dulu”

“Tiga tahun mungkin tak lama Lia tapi macam-macam boleh berlaku sepanjang Ran kat U.S. nanti. Soalan yang kau perlu tanya juga pada diri kau adalah: Adakah kau akan berasa senang hati sekiranya kau jemput Ran pulang dari sana nanti dengan perempuan lain pulak? Adakah kau akan berasa kesal bila menyedari kau telah terlepas peluang untuk bersama lelaki yang baik seperti Ran? Plus, kalau kau tak luahkan sekarang sampai bila-bila hati kau takkan tenang memikirkan – what if kan??”

Dahlia mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat rakan baiknya itu.

“Tetapi aku tertanya-tanya lah Seri, mana satu yang lebih menyakitkan di antara situasi kita berdua. Perasaan resah mengharapkan apa yang belum kita miliki, atau resah mengharapkan apa yang telah kita miliki itu kekal?”

“Aku rasa situasi aku lebih menyakitkan,” ujar Dahlia setelah berfikir sejenak. Seri merenung ke arah Dahlia menantikan penjelasannya
.
“Mungkin orang selalu rasa di awal perhubungan semuanya indah tapi sebenarnya ada juga bahagian yang menyakitkan sebenarnya. Terutamanya bila kita berjumpa seorang yang benar-benar kita suka; yang kita rasa sesuai dengan kita; yang kita nak jaga sebaik mungkin perhubungan itu sebab takut kita mungkin merosakkan peluang yang ada."

“Setiap waktu kita akan tertanya-tanya apa yang dia sedang lakukan. Cemburu melihat dia rapat dengan orang lain.Cuba meneka-neka maksud di sebalik setiap perbuatan dan kata-katanya. Kadang-kadang kita rasa macam dia bagi signal positif. Kadang-kadang rasa macam kita je yang perasan. Kalau kita nak buat sesuatu dengannya pun kena pastikan tidak berlebihan, takut nampak macam terdesak. Tapi tak boleh nampak kurang sangat juga sebab takut dia rasa macam kita tak berminat. Ahh, penat lah!”

“Siksa kan menaruh harapan ni?” sambung Seri dalam nada seakan hampa.

“Cinta penuh dengan ketidakpastian kan? Sebab itulah ia indah. Perjalanan cinta bagaikan menyelesaikan satu misteri untuk menyatukan dua hati yang berbeza menjadi satu. Walaupun ada bahagian yang menyakitkan, tetapi cinta tetap menjadi buruan manusia. Mungkin sebab ada kenikmatan yang berbaloi di balik kesakitan itu,” Dahlia cuba menyimpulkan erti cinta di antara manusia.

Buat seketika persoalan cinta itu bagaikan merenggut tangkai jantung Seri. Tiba-tiba dia terkenangkan fasa-fasa indah di antaranya dengan Farhan semasa di bibit awal percintaan mereka. Tautan erat genggaman tangan Farhat sentiasa dirinduinya sehingga kini. Jernih ingatan Seri masih jelas tergambar kali pertama Farhat memegang tangannya.

sama Publish time 25-7-2012 05:29 PM

Hari itu buat pertama kali secara rasminya mereka ingin keluar bersama kerana selama ini mereka hanya bertemu di pejabat. Situasi paling hampir kepada ‘dating’ yang mereka lakukan adalah makan tengah hari di kedai makan di bawah pejabat mereka memandangkan jadual kerja kedua-duanya yang agak padat di ketika itu. Hujung minggu itu Farhat telah membeli tiket pementasan teater yang sememangnya telah lama dinanti oleh Seri.

Dari mula Farhat menjemput Seri di rumah, Seri telah dapat memerhatikan gelagat Farhat yang sentiasa mencari peluang untuk memegang tangannya. Walau bagaimanapun, Seri pula sentiasa mencari cara untuk menyukarkan misi Farhat itu sehinggalah mereka ingin menyeberangi jalan ke arah dewan pementasan yang ingin ditonton oleh mereka. Di ketika itu, Seri langsung tidak menduga Farhat akan menyambut tangannya untuk melintasi jalan yang sibuk dan di tengah orang ramai yang berpusu-pusu di hadapan dewan. Sentuhan Farhat buat pertama kali itu menyebabkan Seri merasai seolah-olah ada satu kejutan elektrik yang menusuk terus ke hatinya. Perasaan itu memang sukar digambarkan sehingga dia merasakan seolah-olah bulu tengkuknya meremang. Malah lidahnya seakan terkunci untuk berkata-kata dan keadaan sekelilingnya pula seolah-olah bergerak perlahan.

Keadaan yang sama juga berlaku pada Farhat sehingga dia kehilangan kata-kata bernas yang sentiasa terpacul dari bibirnya selama ini. Apa yang terkeluar adalah…

“Ramai orang kan malam ni?”

Selalunya Seri akan membalas kenyataan jelas, nyata dan terang seperti itu dengan sindiran sepertimana yang selalu dilakukan oleh Farhat kepadanya.

“Baru sampai ofis?” ujar Seri di suatu pagi ketika mereka terserempak di lif dan terkejar-kejar untuk punch-in.

“Taklah Cik Seri, kan dah pukul 5 ni. Nak balik rumah la,” balasan Farhat sambil tersenyum kambing itu sangat menyakitkan hatinya dan semenjak dari itu, Seri sentiasa mencari peluang untuk membalas dendam.

Walau bagaimanapun pada hari itu, Seri hanya mampu membalas dengan jawapan…

“A’ah, ramai kan orang hari ni?” sambil menelan air liurnya.

Di sepanjang pementasan itu, Farhat jarang sekali melepaskan genggaman tangannya. Hanya sekali sekala Farhat akan meleraikan genggamannya untuk mengelap peluh di telapak tangan masing-masing tetapi dengan segera dia akan menarik semula tangan Seri selepas itu. Seri juga seolah-olah tidak berupaya untuk menolak tangan Farhat kerana dia gemar dengan perasaan yang menyelubungi hatinya setiap kali merasai sentuhan kulit tangan Farhat yang kasar dan hangat. Genggaman tangan Farhat yang agak besar daripadanya itu membuat dia berasa seolah-olah selamat dan terlindung daripada apa jua ancaman.

“Awak tahu kenapa saya suka pegang tangan awak?” soal Farhat pada suatu hari yang lain ketika mereka sedang berpegangan tangan. Seri hanya menggelengkan kepalanya dengan soalan Farhat itu.

“Sebab saya sentiasa nak pastikan awak selamat dan saya nak selalu bersedia untuk melindungi awak. Saya tak sanggup biarkan apa juga menyakiti awak,” ayat Farhat itu membuat Seri tersenyum lebar.

“Sesuatu perhubungan boleh diumpamakan seperti pegangan tangan ini,” Farhat meneruskan penerangannya.

“Maksud awak?”

“Saat ini mungkin kita rasa amat gembira berpegangan tangan dan seolah-olah tidak ingin melepaskannya tetapi hakikatnya sekali sekala ia perlu terlerai juga,” terang Farhat sambil merenung ke mata Seri.

“Sebab?” dahi Seri menjadi berkerut untuk meneka maksud Farhat.

“Yalah, kalau genggam lama-lama mestilah lenguh. Takpun, kadang-kadang badan saya gatal, kena guna tangan untuk garu.” Farhat cuba berseloroh tetapi tidak semena-mena kegusaran terdetik di hati Seri dalam meneka maksud Farhat yang tersirat.

“Tapi saya nak awak tahu hari ini. Walau apa pun yang berlaku. Walau apa pun yang saya akan lakukan dengan tangan ini. Setelah semuanya selesai, setelah lenguh ini hilang, saya sentiasa ingin menggenggam tangan awak semula dan harap awak pun merasakan yang sama. Sebab saya amat gembira sekali dan bahagia bila melakukannya” sambung Farhat sambil mengucup tangan Seri yang sedang digenggamnya.

“Saya akan ingat tu,” kata Seri sambil menggenggam tangan Farhat dengan lebih erat. Kini dia dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Farhat dan ucapan itu sentiasa diingatinya sehingga kini.

“Aku rasa situasi aku lebih menyakitkan,” Seri pula cuba menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dahlia sebentar tadi.

“Bila bercinta kita akan menyerahkan sebahagian kepercayaan yang selama ini kita pikul sendiri pada pasangan kita. Ia boleh jadi sesuatu yang amat melegakan apabila kita dapat berkongsi bebanan bersama. Tapi ia juga boleh jadi perkara yang menyakitkan kerana sebahagian daripada diri kita bukan lagi di bawah kawalan kita. Kita tak boleh mengawal pasangan kita sepenuhnya Lia. Seerat mana pun sesuatu perhubungan, kita tetap dua individu yang berbeza perasaan, kepentingan dan hak masing-masing.”

“Ianya satu risiko! Yang boleh menyebabkan kita kehilangan sebahagian diri kita!” Dahlia menyimpulkan kata-kata Seri. Seri mengangguk sebelum Dahlia pula menyambung.

“Tapi aku rasa kau masih beruntung Seri. Sekurang-kurangnya kalau semua ini berakhir…”

Dahlia terhenti sebentar untuk meneruskan kata-kata kerana menyedari dia mungkin tersalah memilih perkataan. Dahlia membetulkan kata-katanya…

“Bukan maksud aku untuk doakan perhubungan kau berakhir tapi maksud aku sekiranya itu yang berlaku, sekurang-kurangnya kau ada kenangan manis waktu kau bersama dia untuk kau simpan. Untuk satu ketika kau tahu yang Farhat benar-benar menyayangi kau walaupun ia mungkin tak berpanjangan.”

“Kenangan manis?” Seri mengeluh lalu menyambung…

“Kenangan manis itulah yang bagaikan hirisan-hirisan halus di hati aku Lia setiap kali aku bersendirian. Kadangkala aku terfikir, mungkinkah sekali sekala dia juga pernah mengingatinya? Atau mungkinkah kenangan itu sama manisnya pada dia seperti mana yang aku rasa?”

Dahlia mengusap bahu sahabatnya itu. Dengan perlahan Seri merebahkan kepalanya pada bahu Dahlia.

sama Publish time 25-7-2012 05:31 PM

TO BE CONTINUE...

sarizu Publish time 27-7-2012 06:30 PM

next!

best jugk bc psl hati dan perasaan nih

sama Publish time 30-7-2012 09:10 AM

Dahlia mengusap bahu sahabatnya itu. Dengan perlahan Seri merebahkan kepalanya pada bahu Dahlia.

“Tapi dalam soal kau dan Ran, aku memang sokong kau sepenuhnya untuk meluahkan rasa hati kau.Kita dah kenal Zabran dari dulu lagi. Aku amat yakin dia boleh jadi kekasih yang baik untuk kau,” ucap Seri.

“Zabran memang kawan yang baik. Tapi menjadi kekasih adalah satu perkara yang berbeza. Masih takde kepastian tentang tu,” Dahlia cuba bersikap realistik.

“Seri, apa kata kita berdua sama-sama berterus terang?” sekali lagi Dahlia cuba untuk memujuk Seri menghadapi kemelutnya.

“Situasi aku lain Lia,” Seri masih cuba mempertahankan keputusannya.

“Kadangkala lebih baik berada dalam kegelapan. Mungkin ada ketakutan tapi di sebaliknya ada harapan,” tutur Seri dalam nada yang sayu.

Dahlia tidak berani untuk terus memaksa Seri melakukan sesuatu yang tidak dingininya itu. Dia amat memahami teman baiknya itu masih belum bersedia untuk menghadapi kemungkinan yang akan diluahkan oleh Farhat sekiranya dia berterus terang dengan Farhat akan perasaannya. Seri lebih rela memilih untuk membiarkan masa yang menentukannya.

Namun apa yang menjadi kerisauan Dahlia adalah apabila melihat Seri dirundung kesedihan di sepanjang pengharapan ini. Ternyata cinta memang mampu menjadi racun dan penawar secara serentak dalam kehidupan kita.

“Betul ke keputusan aku ni ya? Aku takut aku pilih Ran buat masa ini hanya kerana dia saja laki yang rapat dan memahami aku sekarang ni? Aku takut aku pilih dia sebab kesunyian bukan sebab aku benar-benar menyayangi dia?” soal Dahlia yang tiba-tiba memikirkan secara mendalam mengenai cinta yang berupaya mengubah hidup seseorang.

“Baiklah, aku nak kau bayangkan sesuatu sekarang?” pinta Seri kepada Dahlia. Dahlia menjadi berminat untuk mendengar cadangan sahabatnya itu.

“Boleh tak kau bayangkan kau dan Ran sedang berpegangan tangan di masa akan datang dan rasa seolah-olah tak nak lepaskannya sampai bila-bila?” tutur Seri secara lembut.

“Sebenarnya aku memang dah lama teringin nak pegang tangan dia, sentuh pipi dia, sentuh bibir dia yang seksi……” ujar Dahlia yang benar-benar sedang membayangkan dirinya dan Zabran berada di satu tempat terpencil secara berduaan di tengah malam yang sunyi.

“Ok-ok, cukup tuh jangan teruskan. Aku pula yang loya,” usik Seri.

“Tapi macam mana pula kalau Ran sekadar tergelak mendengar luahan hati aku? Dia sedikit pun tak menyimpan perasaan pada aku sebenarnya. Walaupun sah-sah aku jauh lebih cantik dari awek-awek dia sebelum ni,” berbagai-bagai andaian bermain di fikiran Dahlia kini.

“Itulah kelebihan kau sekarang. Dia kan nak fly. Kalau dia reject pun, lepas ni 3 tahun baru kau jumpa dia semula. Selepas itu aku yakin kita semua akan sama-sama tergelak bila teringat semula insiden ini,” Seri cuba memberikan penjelasan yang rasional untuk menyedapkan hati kawannya.

“Jadikau pun sebenarnya rasa dia akan tolak aku kan?”

“Eh, ke situ pulak?”

“Tapi kau memang jauh lagi cantik Lia. Yang tu aku setuju!” Seri dan Dahlia tertawa kecil.

Seri terhenti ketawa sambil menyingkap status-status terbaru laman sosial Farhat di telefon bimbitnya. Kini tiada lagi status-status gembira mengenai perhubungan mereka yang diletakkan Farhat.Kebanyakannya mengenai dirinya atau kawan-kawannya. Telah beberapa bulan Seri menyedari perubahan Farhat. Semuanya mungkin bermula setahun yang lepas apabila Seri nekad untuk bertukar kerja dari bank di Kuala Lumpur ke sebuah jabatan Kerajaan di Putrajaya. Seri dan Farhat kini tidak lagi bertemu secara kerap sebagaimana dahulu.

Beberapa bulan kemudian, Seri berpindah rumah pula daripada Damansara kePutrajaya menyebabkan mereka semakin jarang bertemu kerana Farhat pula tinggal jauh di Kepong. Pada mulanya Farhat tidak pernah putus untuk berutusan BBM dengannya sekiranya berkelapangan. Sekiranya tidak bertemu, setiap malam Farhat pasti akan menelefon Seri. Malah hingga berjam-jam pun mereka masih mampu bertahan meskipun hanya berbual mengenai perkara-perkara yang remeh. Namun kini amat jarang sekali Seri menerima pesanan dari Farhat melainkan inisiatif Seri yang memulakannya dahulu. Farhat juga sering memberi alasan untuk menolak pelawaan Seri untuk keluar bersama sekalipun untuk bermain pool yang menjadi permainan kegemarannya.

Sedaya upaya Seri cuba untuk tidak memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang negatif yang menjadi alasan perubahan itu. Namun apakan daya sekali sekala bayangan tersebut tetap singgah di benaknya.

Mungkinkah Farhat telah menyedari apa-apa kelemahan dirinya dan sukar untuk menerimanya? Mungkinkah dia terlalu kerap bersama Farhat sebelum ini hingga membuat dia muak atau jemu? Mungkinkah Farhat telah menemui pengganti dirinya yang lebih baik? Atau mungkinkah apa-apa yang dijanjikan oleh Farhat sebelum ini hanyalah kata-kata manis yang biasa ditaburnya pada sesiapa? Mungkinkah menyerahkan hatinya pada Farhat adalah satu kesilapan?

“Sayang, semuanya OK kan?” pada suatu hari Seri memberanikan diri untuk bertanya semasa mereka berjalan menuju tempat meletak kereta selepas menonton wayang.

“Maksud you?” Farhat berlagak seolah-olah tidak faham dan ingin memastikan maksud Seri.

“Sayang ada masalah kerja?” Seri menjelaskan.

“Biasa lah, semuanya tak menentu sekarang. Banyak yang urgent!” terang Farhatringkas.

“Sayang masih nak genggam tangan I?” Seri merenung tepat ke wajah Farhat.

Dengan segera Farhat memanjangkan senyumannya dan menarik tangan Seri untuk dipimpinnya terus ke kereta. Farhat membukakan pintu kereta untuk Seri sebelum melepaskan genggaman tangannya semula. Hati Seri berasa tenang untuk sementara. Namun jauh di sudut hatinya, persoalan-persoalan yang mengusutkan fikirannya masih lagi belum terlerai. Seri meyakinkan diri dengan kata-kata Farhat sebelum ini. Walaupun terkadang kita rasa amat gembira bertautan tangan dan tidak ingin melepaskannya tetapi sekali sekali ia perlu terlerai juga. Dia meyakinkan diri satu hari ia akan bertaut kembali.

Kereta yang dipandu Dahlia kini telah selamat mengambil salah satu tempat meletak kereta di KLIA. Walau bagaimanapun keresahan semakin terselah pada raut wajah Dahlia. Seri tersenyum memerhatikan gelagat Dahlia yang tidak keruan.

“Kalau hari tu masa kita makan-makan untuk farewell Ran, kau cakap terus kan habis cerita. Takdela kau gelabah hari ni,” ujar Seri.

Dahlia mencebik dan menjeling kepada Seri.

“Seri, kautak rasa ni terlalu cliché macam drama TV?” kata Dahlia selepas menanggalkan tali pinggang keledarnya.

“Ada sebab mengapa ianya cliché Lia. Sebab ia memang selalu berlaku. Kau nak tahu apa yang lebih cliché macam drama?” Seri berkata sambil membetulkan rambutnya sebelum keluar daripada kereta.

Dahlia memandang Seri sambil mengerutkan dahinya.

“Lebih cliché kalau kita lambat keluar dari kereta ini dan berlari-lari mencari Ran di seluruh airport. Jom!!” Seri menyambung kata sambil mengajak Dahlia keluar dari kereta.

“Lepas tu, Ran dah masuk balai berlepas. Aku terpaksa bergaduh ngan pak guard dia sekejap. Lepas tu, tup-tup kapal terbang dah berlepas. Aku sedih-sedih. Rupa-rupanya Ran pun berubah fikiran, tak jadi tinggalkan aku…” Dahlia terus membebel sehingga Seri terpaksa menariknya keluar daripada kereta.

Jam menunjukkan waktu yang hampir kepada 9.00 pagi. Seri dan Dahlia berlegar-legar disekitar ruang pendaftaran masuk untuk mengesan kelibat Zabran di celahan ratusan manusia di situ.

“Kita dah terlewat ke Seri,” tutur Dahlia yang seolah hampa setelah jenuh berlegar dan mencari.

“Takkanlah. Aku yakin dia masih ada. Awal lagi ni,” Seri cuba menenangkan Dahlia yang seakan telah berputus asa.

“Seri, Dahlia!” tiba-tiba kedengaran satu suara yang cukup dikenali di belakang mereka.

Dengan segera mereka memusingkan badan dan ternyata Zabran berdiri tegak di hadapan mereka. Tidak jauh daripada situ kelihatan keluarga Zabran yang turut mengiringi Zabran. Seri dan Dahlia hanya mampu terseringai melihat Zabran.

sama Publish time 30-7-2012 09:11 AM

“Korang nak buat kejutan untuk aku ke ni? Kata tak dapat ambil cuti hari ni,” wajah Zabran seakan keliru dan terkejut melihat Seri dan Dahlia dihadapannya.

“Surprise!!! Gembira tak?” teriak Seri secara berseloroh.

“Takkanlah tak gembira. Korang akan jadi awek yang paling aku rindu di U.S nanti!” wajah Zabran kelihatan benar-benar ceria menuturkannya.

Seri dan Dahlia mengambil masa sebentar untuk bersalaman dengan ibu dan saudara-mara perempuan Zabran sebelum sambung berbual.

“Pastikan kau tak terpikat ngan mana-mana awek Mat Salleh kat sana ya? Kau tu dah la pendek, tak sepadan,” usikan Seri yang membuat Zabran tertawa. Dahlia merenung tajam pada Seri yang menjelir lidah padanya.

“Awek KL pun tak lepas. Takkanla awek Minah Salleh nak kat aku,” ujar Zabran setelah reda ketawa.

“Lia, kau OK ke ni?” Zabran mengalihkan pandangan pada Dahlia.

Dahlia seolah terawang-awang kini. Fikirannya seolah kosong secara tiba-tiba.

“Entah Lia, kata nak cakap sesuatu yg penting pada Zabran,” Seri sengaja membuka ruang untuk Dahlia meluahkan perasaannya.

“Sesuatu yang penting? Kenapa Lia? Kau dah nak kahwin ke?” Zabran cuba berseloroh untuk meneka apa yang ingin disampaikan oleh Dahlia.

Dahlia terkejut dan hanya menggeleng perlahan bagi menafikan pertanyaan Zabran itu. Tiba-tiba suasana menjadi sunyi di kalangan mereka kerana menantikan apa yang bakal terkeluar dari bibir nipis Dahlia.

“Ran….” Dahlia memulakan bicaranya.

“Aku ada pengakuan dari hati yang ingin disampaikan,” Seri pantas menoleh ke arah Dahlia kerana merasa pelik. Seolah-olah pernah didengari dialog Dahlia itu.

“Maafkan aku kerana mengambil masa selama 5 tahun untuk menyatakannya,” Wajah Zabran juga ternyata berkerut menangkap setiap butir yang diucapkan Dahlia.

“Tapi sudikah engkau untuk upgrade persahabatan kita kepada satu perhubungan yang lebih serius,” Seri menggelengkan kepalanya seolah tidak percaya mendengar kata-kata Dahlia itu.

Ternyata Dahlia menyebut ayat yang sama sepatah demi sepatah gurauan menerusi pesanan BBM yang dikirimkan malam tadi.

“Aku sedia menanti kau kembali kelak, asalkan engkau sudi menerima aku sebagai...” tiba-tiba Dahlia seolah tersedar dengan apa yang diucapkannya itu.

Seri menutup mulutnya untuk menahan burai ketawa. Zabran pula tersengih dengan wajah yang pelik.

“Apa aku cakap ni Seri? Kau punya pasal la ni!” bisik Dahlia dalam keadaan cemas kepada Seri.

“Lia, kau cuba berlawak ke apa ni?” Zabran bertanya dalam nada serius.

“Tak!”

Dahlia kembali memandang Zabran sambil menggelengkan kepala dengan wajah yang serius. Zabran hanya meleretkan senyumannya mendengar jawapan Dahlia itu.

“Aku perlu gerak sekejap. Ada ramai saudara mara yang aku perlu salam sebelum gi balai berlepas. Nak dekat dah masa ni,” Zabran seakan cuba untuk melarikan dirinya sebentar daripada mereka. Apa niat Zabran yang sebenar hanya dia yang mengetahuinya.

“Tunggu kejap ya?”

“Jadi apa jawapannya Seri. Kau rasa dia cam happy ke nak muntah tu? Apa ni Seri.

Bencinyaaaa!” Dahlia bagaikan cacing kegelisahan setelah Zabran bergerak ke arah keluarganya.

“Aku tak rasa dia nak muntah tapi aku tak pasti pula dia benar-benar gembira atau tak,” Seri merenung tajam ke arah Zabran yang sedang bersalaman dan berpelukan dengan saudara maranya.

“Mungkin sebab aku tak habiskan ayat aku tadi kot. Dia ingat aku nak buat lawak je. Ni semua salah dialog jiwang kau la,” Dahlia yang keresahan cuba menyalahkan Seri.

“Hello, aku tak sangka kau nak sebut sebijik-sebijik dialog tuh, kau tahu tu memang joke je pun,” Seri mempertahankan.

“Aku gabra OK! Aku tak sedia lagi. Tiba-tiba dia dah kat depan kita, tak sempat aku nak susun ayat!”

Keadaan Dahlia memang amat menggelikan hati di ketika itu. Tidak pernah Seri melihat Dahlia segugup itu selama perkenalan mereka. Dari jauh juga Seri dapat memerhatikan Zabran mencuri-curi pandang ke arah Dahlia yang tidak keruan itu sambil tersenyum. Hati kecil Seri tercuit melihat gelagat kedua-dua kawan baiknya itu. Sementara menanti Zabran bersalaman dengan saudara maranya sebelum bertolak, Seri mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengirim BBM kepada Farhat.


Syg, I dah sampai KLIA. Miss you…

“Dia dah datang balik,” ujar Dahlia setelah melihat Zabran berjalan ke arah mereka sambil menyeret bagasinya.

Cepat-cepat Seri menyimpan telefon bimbitnya semula.

“Ok-ok, berlagak cool je. Senyum!” Seri memberi tips bernas kepada Dahlia sebelum Zabran menghampiri mereka semula.

“Seri, doakan aku selamat pergi dan pulang ok?” Zabran menghulurkan tangannya kepada Seri untuk bersalam.

“Baiklah! Dan kau mesti score ok? Jangan terpengaruh pulak dengan budaya kuning di sana?” Seri cuba berlawak buat kali terakhir yang membuat Zabran tergelak sebentar sebelum beralih kepada Dahlia.

Dahlia berbalas pandangan dengan Zabran buat seketika. Jantung dahlia berdegup semakin kencang.

“Lia, jarak aku mungkin beribu batu dari kau lepas ni. Tapi kita akan selalu keep in touch ok? E-mail. Telefon,” ujar Zabran ringkas sambil bersalaman dengan Dahlia.

“Jaga diri.”

Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Dahlia dalam keadaan terketar-ketar. Sejurus selepas melepaskan tangan Dahlia. Tiba-tiba Zabran mencuit pipi Dahlia yang tembam itu sebelum berlalu dan bergerak ke arah balai pelepasan.

Sambil menuju ke hadapan, sekali sekala Zabran menoleh kebelakang untukmelambai-lambai ke arah ahli keluarganya, Seri dan pastinya Dahlia. Dahlia masih lagi terpaku memandang Zabran yang semakin sayup dari pandangan sehinggalah bahunya ditolak oleh Seri yang menyuruhnya untuk membalas lambaian Zabran.

“Apa maksudnya tu Seri?” soal Dahlia bagi mendapatkan pendapat teman baiknya.

“Hmmmm… hanya Zabran je la yang tahu kot kenapa dia sentuh pipi kau tu,” Seri tersengih kerana dapat mengusik Dahlia.

“Jadi dia anggap aku macam mana sekarang? Sekarang aku patut rasa malu ke gembira?” soal Dahlia lagi sambil mengayun langkah perlahan menuju kereta.

Seri mengangkatkan bahunya tanda tidak tahu.

“Kita tunggu je la email dari Ran nanti,” ujar Seri sambil merangkul bahu teman baiknya di sepanjang perjalanan sebelum telefon bimbitnya berbunyi kerana BBM dari Farhat.

Miss you too syg! :)

Seri tersenyum sendirian. Harapan mungkin menyakitkan tetapi sekurang-kurangnya kita masih memiliki sesuatu.

TAMAT

sama Publish time 30-7-2012 09:12 AM

sarizu posted on 27-7-2012 06:30 PM static/image/common/back.gif
next!

best jugk bc psl hati dan perasaan nih

hahaha... terima kasih kerana membaca... ade gak yg baca rupa2nya... terharu! {:childlikeo


Nicki_Meow Publish time 30-7-2012 09:21 AM

Eh...habis dah? Baru nak feeling.....

Errr...ada cerita lain?

Suka gaya bahasa awak...

sarizu Publish time 30-7-2012 09:51 AM

sama posted on 30-7-2012 09:12 AM static/image/common/back.gif
hahaha... terima kasih kerana membaca... ade gak yg baca rupa2nya... terharu!

ada je yg bc kalu dh tepek kt cni...tp rmai yg jd SR je...

dh hbs rupanya...

ok, next story!

sama Publish time 30-7-2012 10:09 AM

Oh yeahhh.. ade few lagi... {:childlikeo
thanks btw

shawa29 Publish time 4-8-2012 07:46 PM

cam tu jeke endingnya????

yuri_katrina Publish time 6-8-2012 09:43 AM

la....pendeknye..tkd esambungan ke

wasap Publish time 28-8-2012 06:34 PM

sesuatu yg lain... interesting gitew..

ahamkid Publish time 21-4-2013 09:05 PM

ada harapan jugak rupanya.
Pages: [1]
View full version: Cerpen: Mungkin


ADVERTISEMENT