sarizu Publish time 22-1-2012 01:19 PM

Kahwin

Post Last Edit by sarizu at 23-1-2012 07:39

Episod 1
Anis ketawa kelucuan. Dia duduk di ruang tamu, makan nasi goreng sambil menonton siri kegemarannya. Sesekali dia menghirup milo sejuk, minuman kesukaannya. Sudah berapa kali teman-temannyaberpesan jangan minum ketika makan, tetapi itu jugalah yang diamalkannya sejak beberapa lama. Tak sayang badan betul!
Hari minggu yang seronok tanpa gangguan sesiapapun! Dia mula membelek majalah pula, ada yang dibelinya sendiri dan ada juga kepunyaan teman-temannya. Biasanya, dia dan teman-teman serumah akan sentiasa membeli majalah-majalah keluaran terbaru untuk mendapatkan info terkini.
Apatah lagi untuk dirinya sendiri yang sudahpun bergelar tunangan orang lebih kurang enam bulan yang lalu, tentunya dia sangat berminat untuk mencari-cari tarikan terkini bagi persiapan majlis perkahwinannya yang akan diadakan tidak lama lagi. Lebih tepatnya, enam bulan lagi masa berbaki untuk dia bergelar isteri orang!
Malah ibubapanya sudahmemutuskan untuk mengadakan majlis keraian perkahwinannya di sebuah dewan, katanya awal-awal lagi sudah ditempah.
Kalau diberi pilihan, dia lebih suka jika majlis keraiannya diadakan di rumah sahaja. Rasanya lebih santai dan boleh bergelak sakan dengan teman-teman jemputannya nanti. Alah...kan dia masih muda, baru saja berusia 23 tahun, tentunya masih lagi dizaman remaja yang penuh dengan keriangan.
Tapi kalau dah tak de duit, setuju saja! Nasib badanlah nak kahwin pun kena FAMA ‘taja’ juga. Tapi itukan menjadi tanggungjawab ibubapa menyediakan apa saja yang terbaik buat anak-anak sekadar kemampuan mereka? Diapun tidak meminta lebih, cukuplah sekadar mahu memahat satu memori indah dihari perkahwinannya nanti.
“Terima kasih, Iddin.” Tiba-tiba itu yang terluah dari bibirnya tanpa sedar. “Hanya dia yang mampu menakluk hatiku, mudah-mudahan kita akan bahagia hingga ke hujung nyawa. Syukur yaAllah.”
Anis menyuap lagi nasi gorengnya yang masih berbaki. Dia membaiki posisi duduknya untuk lebih selesa. Dia menarik nafas ringan. Tangannya mencapai buku catitan kecil yang sudah tersenarai panjang segala keperluan untuk dia selesaikan menjelang majlisnya nanti.
“Banyaknya...,” luahnya apabilamelihat senarai panjang tersebut. “Nasib baik banyak masa lagi nak selesaikan semua ni.” Anis berkira-kira untuk menyelesaikan setiap satu urusan yang telah disenaraikan. Dia menyemak senarai keutamaan dan mengetepikan terlebih dahulu mana-mana keperluan yang boleh dikemudiankan.
Semangat sungguh dia dengan kerja-kerja yang satu ini, akhirnya dia memutuskan untuk keluar meronda mencari-cari kain yang paling sesuai untuk dijadikan baju pengantin!
Sambil kakinya berjalan,fikirannya pun melayang juga memikirkan warna tema majlisnya nanti. Dia singgah di satu kedai fabrik tersohor. Sambil menyatakan niatnya kepada seorang jurujual, matanya meliar melihat keindahan fabrik yang mengelilinya saat itu.
Sebulan yang lalu, Anis telahpun berbincang dengan ibunya tentang warna tema majlisnya nanti. Beberapa warna telah dicadangkan, dan akhirnya oren yang menjadi pilihannya!
Tentu sahaja warna ini dipilih kerana ia sangat jarang digunapakai oleh pengantin. Dia mahukan kelainan.Lagipun warna ini rasanya boleh menonjolkan jiwa remajanya yang penuh keindahan.
Lagipun, Anis sudahpun mendapatkan persetujuan daripada Iddin. Bakal suaminya pula bukanlah seorangyang cerewet, selalu sahaja bersetuju dengan apa yang dicadangkannya.
Dia tahu tentunya bakal suaminya itu tidak punya cukup masa untuk memikirkan perkara remeh-temeh perihal majlisnya nanti. Inikan hal perempuan, biar dia saja yang menyelesaikannya. Lagipun dia memang suka jika diberi peluang untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan tanpa gangguan sesiapapun.
Anis membelek beberapa jenis fabrik yang dihampar mewah di hadapannya. Kebanyakannya fabrik yang dipenuhi dengan manik-manik dan labuci, bergemerlapan! Beberapa helai yang lain pula berasaskan net yang perlu dialas sempurna. Beberapa keping gambar model yang menggayakan beberapa jenis fabrik lain pula disuakan kepadanya. Dia mabuk!Semuanya cantik, indah-indah belaka!
Memang tidak mudah untuk dia membuat keputusan memilih fabrik yang terbaik. Dia berfikir sejenak. Lalu membuat keputusan terbaik.
Tanpa melengahkan masa, Anis membayar sejumlah wang kepada juruwang bertugas setelah berpuas hati dengan sepasang persalinan buat dirinya dan Iddin. Janji Iddin, bayar dulu kemudian claim! Selalunya begitulah, dan Iddin akan selalu menepati janjinya. Dia berlalu dan terus menuju pula ke butik untuk membuat tempahan pakaian mereka berdua.

Santai bersama tukang jahit kegemarannya, Anis membelek beberapa koleksi terkini fesyen pakaian pengantin. Dia mendapatkan info berkenaan penataan gaya yang sesuai digayakan bersama persalinannya tadi dan dicatitkan di dalam buku catitan kecilnya yang sentiasa dibawanya ke mana-mana.
Akhirnya, Anis kembali ke rumah selepas berjaya menyelesaikan tugasannya pada kali ini.
Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

hotmum Publish time 22-1-2012 04:25 PM

mesti iddin tak jadi nk kawen dgn anis nih ... huhuhu

speku ...

syaz_xxl Publish time 22-1-2012 04:37 PM

Reply 2# hotmum


   cepatnye hotmum simpulkan..hehe

qimi08 Publish time 22-1-2012 09:35 PM

sarizu-................cam biasa je dgn nama ni dah lama x tulis ceritakan

sarizu Publish time 23-1-2012 07:32 AM

yup...otak dah bkarat...;P

tetiba je semalam rasa nk menulis...tp episod 2 x siap2 jgk...:dizzy:

hotmum Publish time 24-1-2012 10:39 PM

Reply 3# syaz_xxl

speku .. jgn tak speku ... :lol:

jingga007 Publish time 26-1-2012 02:02 PM

err tak ada sambungan ke?

none88 Publish time 27-1-2012 07:29 PM

lorr bape hari dah nie..mana sambunganyeeee...{:mado

nhid_tam Publish time 28-1-2012 01:43 PM

next.......:loveliness:

sarizu Publish time 29-1-2012 12:18 PM

Post Last Edit by sarizu at 29-1-2012 12:26

Episod 2

“Baju dah selesai...lepas ni apa ya...” fikiran Anis meneroka sambil pen di jemarinya memotong perkataan ‘fabrik’ di dalam buku catitan kecilnya.

Lalu dia membuat sedikit catitan baru. Baru sekejap tadi Iddin menelefonnya meminta dia membeli sepasang persalinan baru yang sesuai untuk digayakan ibunya semasa majlis mereka nanti. Bakal ibu mertuanya yang berusia 51 tahun telahpun kematian suami kira-kira tiga tahun yang lalu. Sekarang beliau tinggal bersama kakak Iddin, bolehlah juga dia menepis kesunyian dengan bermesra bersama dua orang cucunya di sana.

Nampaknya sekali lagi dia terpaksa meronda-ronda, tak mengapalah, lagipun dia memang suka dengan dunia fabrik. Iddin memang faham sangat dengan kesukaannya yang satu ini. Tak cukup-cukup dengan kain baju, asyik nak beli kain baru je kerjanya. Tapi satu je yang Iddin selalu bebelkan, suka beli kain tapi tak suka jahit kain tu, perap kat rumah buat koleksi banyak-banyak.

Boleh la dia cuci mata time boring ya amattt, paling dia suka China Silk. Sekarang ni dah ada tujuh pasang, campur dengan lain-lain fabrik, jumlah keseluruhan 53 pasang kain yang tak berjahit. Alah...manusia ni kan peelnya lain-lain.

Selagi hobinya itu tidak menyusahkan orang lain, kira ok la kan... Paling seronok apabila teman-temanpun tumpang mengada-ngada dengannya. “Kau ada kain lebih tak? Jual kat aku boleh?” biasa sangatlah dia dengan soalan-soalan macam tu.

Dia meneliti lagi catitannya, entah ke berapa kali.

~ kad kahwin

~ cenderahati jemputan

~ honeymoon

~ pindah rumah

Fuhhh, ini semua senarai yang terletak di bahagian ‘keutamaan’. Semangat pun ya, rasa nak senggugut pun ada. Apa yang pasti, agenda keutamaan ini akan dibincang bersama dengan Iddin, tentunya kerana ia memerlukan sumber kewangan yang banyak. Iddinlah mangsanya! Nak jadi suami, macam tu la kan...

Anis menambah catitannya lagi - warna kad jemputan, senarai cadangan cenderahati, pilihan tempat untuk honeymoon. Pindah rumah belum ada sebarang catitan, kerana dah sah-sah dia cuci kaki je masuk ke rumah Iddin nanti.

Semua catitan ini penting baginya. Dia mahu segalanya sempurna dilaksanakan sebelum tiba tarikh teristimewa dalam hidupnya.

Anis membuka laptop, ada gambar Iddin menghiasi desktopnya, kecil saja. Tak perlu besar-besar, karang ada pula teman-teman yang menyampah melihatnya. Memang la tunang kita kan...tapi tak perlu la nak buat tagline ‘kau ada?’

Serumah bersama teman-teman yang lebih kurang sebaya dengannya agak ok juga, ada yang masih belum berpunya, sudah berpakwe dan seorang kakak yang baru saja berkahwin setahun yang lalu. Mereka serumah berjumlah enam orang.

Berstatus sama dengannya ada seorang lagi, tetapi katanya lambat lagi nak kahwin kerana tunangnya masih bergelar pelajar di peringkat Master. Jadi temannya itu tidaklah seangau dia yang sedang bersemangat positif menghitung hari walaupun beratus hari lagi.

Ya la kan, kalau dia tak hitung hari siapa lagi? Nak harapkan Iddin? Uhhh...sibuk memanjang dengan kerja-kerjanya yang tak pernah nak tamat tu.

Anis menaip password emelnya yang ber-id ‘Puteri’ (perasan bagus), menekan Inbox, mencari emel Iddin yang katanya baru saja di send setengah jam tadi. Yes, klik!

“Hensem tak?”

Ada gambar terbaru Iddin rupanya. Anis memberi maklum balas.

“Nampak macam suai untuk saya, tetapi bukan untuk orang lain. Sangat berpadanan dengan puteri yang satu ini. Jangan cuba-cuba nak send gambar ni untuk orang lain ya... jadikan ianya ekslusif untuk saya sahaja. Kalau mak kat kampung nak juga, boleh sangat, tapi kalau orang lain...jangan nak mengada-ngada, ok.

“Penatlah nak tulis emel panjang-panjang. Kalau bersms kan mudah. Selalu minta kita yang tulis emel, dia punya secoet je. Nasib baik puteri ni baik orangnya, selalu patuh kepada arahan encik putera. Tetapi untuk arahan yang meyakinkan sahaja!

“Ok dah, pesan cik puteri, jangan emel gambar-gambar yang hensem untuk orang lain. Untuk cik puteri, masih boleh dipertimbangkan. Tapi jangan banyak sangat, nanti cik puteri angau. Kalau tak kirim pun no hal, dah banyak dalam koleksi cik puteri ni. Agak-agak la kan...enam bulan tu lama lagi...”.

Anis ketawa sambil tekan butang send.

sarizu Publish time 29-1-2012 12:22 PM

maaf ya kawan-kawan...otak dah berakarat ni nak kena polish kuat sket :sweat3:

nhid_tam Publish time 29-1-2012 07:23 PM

heheh....best...

sarizu Publish time 7-2-2012 11:07 PM

Episod 3

Kiriman emel sudah menjadi kebiasaan di antara mereka berdua. Anis juga sebenarnya seronok beremel dengan Iddin, sekurang-kurangnya mereka dapat menjimatkan kos dalam berhubungan.

Cukup dengan membaca emel-emel daripada Iddin, dia sudah mampu mengubat rindu kepada tunang tersayang. Apatah lagi gambar-gambar kiriman Iddin sentiasa menjadi peneman buat dirinya dikala sendirian.

Walaupun dia jarang berhubung secara langsung dengan Iddin, kemesraan antara mereka tetap terjalin. Lagi pula, Iddin bukan sembarangan lelaki, tetapi seorang lelaki yang mampu menguasainya dirinya untuk berubah kearah yang lebih baik.

Anis tersenyum sendirian cuba mengimbau memori perhubungan mereka selama ini. Fikirannya mula menjauh mahu menggapai impian hidup bersama Iddin.

Baginya Iddin yang merupakan seorang lelaki bertubuh sederhana sangat matang pada usianya menjangkau 27 tahun. Dia juga tidak merokok, malah sangat menjaga solatnya. Lebih dari itu Iddin tidak pernah mengambil kesempatan dalam perhubungan ini, mahupun memudahkan segala tingkah laku mereka berdua diatas tiket ‘tunang’. Mereka belum lagi pasangan yang halal disisi agama, tentunya jauh sekali untuk berdua-duaan kemana-mana sahaja tanpa ditemani rakan mahupun ahli keluarga.

Dia sebenarnya sangat berpuasa hati menjadi tunangan lelaki yang satu ini. Dia mahu menjadi wanita pertama dan terakhir dalam hidup Iddin hendaknya.

Syukur kehadrat Ilahi kerana dia ditemukan dengan seorang lelaki yang boleh menjadi pembimbing kepada dirinya, sentiasa memberi nasihat kepadanya sehinggakan pintu hatinya terbuka untuk berubah kearah yang lebih baik dari hari ke hari.

Itulah doanya sekian lama, semoga pada saat ketikanya nanti dia dapat dipertemukan dengan seorang lelaki budiman yang mampu menjadi teladan baginya. Alhamdulillah, Iddin telah hadir dalam hidupnya, yang suatu masa nanti akan hidup bersamanya hingga ke hujung nyawa, insyaAllah.

Iddin mengajarnya agar menjadi seorang wanita yang boleh dihormati masyarakat dengan menunjukkan akhlak yang baik, menghormati kedua ibubapa dan juga menghormati sesiapa saja di sekelilingnya. Malah, untuk menghormati dirinya sendiri, Iddin berpendirian tidak mahu merakam gambar mereka secara berduaan, tetapi mahu ada yang lain di antara mereka. Katanya, tidak manis untuk bergambar berduaan sebelum sah menjadi suami isteri, apatah lagi jika menjadi tontonan orang lain.

Begitulah eloknya tingkah Iddin yang mampu menawan hatinya sehingga hari ini, mudah-mudahan hingga ke akhir hayat.

Paling penting, kedua ibubapanya boleh menerima Iddin dengan sepenuh hati. Dia sendiri percaya kepada restu orang tua yang insyaAllah akan membahagiakan rumahtangga mereka kelak.

Kembali ke alam nyata, Anis membelek Inboxnya. Ada banyak emel yang belum dibacanya, tetapi ada tiga emel yang menarik perhatian matanya. Si pengirim bernama Zila, Tina dan Hisyam.

Nama-nama yang tertera tidak pernah ada dalam senaraian teman-teman yang sering menghantar emel kepadanya. Lalu Anis klik nama Zila bertujuan untuk membaca mesej kirimannya.

‘Hi, I sama macam U, sukakan Iddin. Boleh kita kongsi? Lagipun dia bukannya laki U lagikan?’

Anis tersandar di kerusi. Gerangan manusia apakah ini yang begitu berani menulis begini? Siapakah perempuan yang tidak beradab ini?

Cukup sekali dia membacanya, sudah difahami maksudnya dengan jelas. Anis menarik nafas dalam-dalam. Dia berfikir samada perlu membalas emel tersebut mahupun terus memadamkan saja dari inboxnya. Jika diikutkan hatinya, malas untuk dia melayan emel sampah sebegini.

‘Iddin adalah tunang saya, insyaAllah kami akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat. Sebelum kami bertunang, saya telah mengenalinya setahun yang lalu. Tidak pernah pula dia sebut nama mana-mana perempuan yang berminat dengannya. Mungkin saudari bermaksud Iddin yang lain?’

Tanpa berfikir panjang dia segera menekan butang Send, lalu diklik pula perkataan Delete pada emel sampah itu.

Seterusnya nama Tina tidak menarik minatnya untuk membaca mesej yang dihantar. Dia fikir tentunya mesej tersebut juga akan mengganggu kedamaian hatinya selama ini. Leceh dan membosankan!

Tetapi mesej Hisyam berjaya menarik minatnya sekali lagi. Jika tadi si perempuan yang berjaya meragut damai di hatinya, apa pula watak lelaki ini? Dia tidak mempunyai ramai kawan lelaki, dalam kumpulan yang sedikit itupun tiada yang bernama Hisyam. Dia klik nama tersebut untuk melihat apa pula mesej yang akan diterimanya.

‘Baru hari ini saya berani untuk menyatakannya...saya sangat menyukai awak. Sejak pertama kali kita berjumpa, ianya sangat menjadi kenangan.’

Sekali lagi Anis terpana. Kata-kata yang sungguh bermakna walaupun ringkas sahaja. Ianya satu pengakuan terbuka selepas sekian lama disimpan, agaknya. Dia rasa sungguh tidak selesa dengan mesej tersebut.

Hari yang sungguh terganggu!

mbhcsf Publish time 12-2-2012 09:57 PM

wow persediaan kahwin wow...sampai 7 pasang ..why ? banyak sangat??

sarizu Publish time 13-2-2012 07:02 PM

Episod 4

Anis tiba di pejabat tepat jam 8.30 pagi, kelihatan kelibat beberapa orang teman sekerja yang lain telahpun selamat tiba lebih awal daripadanya.

Masih awal, kerana waktu bekerja bermula jam 9.00 pagi. Bos pun belum sampai, paling awal pun 9.30 pagi baru nampak muka. Itu dah kira baik benar, sebaliknya mungkin lewat atau selewat-lewatnya mahupun langsung tak masuk-masuk pejabat. Bos la katakan, sibuklah kononnya. Entah-entah mengular kot...

“Assalamualaikum, Kak Akma...apa khabar?” Anis menyapa.

“Waalaikumussalam, Anis. Alhamdulillah sihat walafiat.”

Anis mengukir senyuman. Pagi-pagi ni elok sangatlah menceriakan wajah, manalah tahu petang-petang nanti ada pula yang dah tak mampu senyum.

“Akak apa cerita hari ni?” Anis terus membuka bicara memulakan hari baru mereka.

Sebenarnya dia merupakan pekerja baru di jabatan ini dan pejabat ini jugalah merupakan tempat pertama untuknya mencari rezeki selepas menamatkan pengajian tempohari.

Seronok juga bekerja di sini, semua teman-teman baik-baik belaka. Lagipun, mereka senang memberi tunjuk ajar kepada orang baru sepertinya yang sememangnya perlu tahu banyak perkara.

“Akak dah pindah rumah semalam,” kata Akma sambil tangannya sibuk menyusun beberapa buah fail yang berada di atas mejanya. “Penat lagi ni...”

Anis sedia memasang telinga mendengar cerita daripada temannya itu sambil kakinya melangkah ke pantry yang berdekatan tempat mereka.

Akma duduk di kerusi kerjanya yang berwarna hijau tua dengan wajahnya mula menghadap skrin komputer di hadapannya.

“Order milo satu ya dik Anis. Akak nak manja-manja sikit pagi ni.”

Anis mengangguk, segera dia mengambil mug untuk diciptakan pesanan milo itu. Alah, bukannya susah pun, sekarang ni semuanya bahan segera saja. Rajin vs malas je pemisahnya.

Dia melangkah ke meja Akma dengan penuh berhati-hati, langkah berjaga-jaga takut ada pulak yang nak tumpah, karang kurang pulak sahamnya di pejabat ni.

Dia senyum sendirian, teringat pula akan kata-kata Yusof yang selalu mengusiknya perihal darah manis tunangan orang.

Seeloknya dia meletakkan mug berisi milo di sudut tepi meja Akma. Kalau Yusof yang melihatnya tentu saja dia melawak – sedang berlatih hidang air kat suami la tu...

“Elok sangat la kalau Kak Akma suruh-suruh adik Anis kita ni, boleh la dia belajar camana nak layan suami nanti, tak lah kekok bila dah bergelar isteri, suami pun sayang lebih sikit,” begitulah selalunya Yusof menyakatnya bilamana terlihat dia sedang memberi apa-apa ‘khidmat’ kepada Akma mahupun pekerja-pekerja yang lain.

Anis suka juga sesekala disakat begitu. Terubat rindu kepada tunangan yang jauh di mata, lalu terbayang wajah tersayang yang berkulit sawo matang, namun manis orangnya, jua berjiwa penyayang yang teramat.

Kata Iddin, dia bercita-cita mahu mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. yang berjiwa penyayang dan bertimbangrasa terhadap isteri.

“Sebagai suami, Rasulullah s.a.w. begitu menghargai isterinya. Baginda seorang yang penyayang, suka membantu, menghormati isteri, dan sentiasa bersabar dalam mengemudi rumahtangga.”

“Saya bercita-cita untuk mengikut sunnah baginda. Mudah-mudahan saya mampu menjadi suami dan bapa yang terbaik apabila tiba saatnya nanti,” ucap Iddin dalam satu pertemuan mereka di rumah ibubapanya tempohari.

“InsyaAllah, kita berdua akan mencuba yang terbaik seawal usia perkahwinan. Kita akan merancang segala yang terbaik sebagai bekalan masa depan kita bersama. Kita perlu bersikap terbuka dan bertimbang rasa, mudah-mudahan segala-galanya tidak akan menjadi sukar nanti,” balas Anis menguatkan lagi janji untuk mereka hidup bersama suatu masa nanti.

“Tapi jangan pula terlalu optimis. Orang kata hidup berumahtangga ni ada pasang surutnya. Itu belum lagi diduga dengan karenah anak-anak. Paling penting, kita bersedia menghadapinya,” Iddin menyambung perbualan. Anis mengangguk setuju sambil tersenyum malu apabila disebut perihal anak.

“Ya, dan jangan lupa bahawa kita sentiasa perlu menjadi hamba Allah yang baik pada setiap masa, mudah-mudahan jiwa kita akan sentiasa tenang dan redha dengan setiap apa yang diujiankan keatas kita nanti,” Anis memberi penyataan lagi merancakkan sesi pertemuan mereka ketika itu.

“Setuju, kita harus sentiasa berdoa,” Iddin terus berbicara. “Pohon keampunan daripadaNya, pohon hidayah dan diberkati hidup kita. Jangan lupa doa untuk orang tua kita dan urusan pernikahan kita nanti dipermudahkan segalanya.”

Anis mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia lebih berkeyakinan disaat itu.

Dia tahu Iddin merupakan calon suami yang terbaik buat dirinya.

sarizu Publish time 13-2-2012 07:05 PM

wow persediaan kahwin wow...sampai 7 pasang ..why ? banyak sangat??
mbhcsf Post at 12-2-2012 21:57 http://forum.cari.com.my/images/common/back.gif

7 pasang tu bukan untuk pesediaan kahwin, tapi koleksi kain pasang china silk yg dimilikinya... :)

nhid_tam Publish time 15-2-2012 06:46 PM

huhu...sambung lg yer

sarizu Publish time 23-2-2012 03:11 PM

Post Last Edit by sarizu at 23-2-2012 15:14

Episod 5

“InsyaAllah awak satu-satunya perempuan yang akan bertakhta di hati saya, selepas ibu saya. Sebagai anak lelaki, ibu adalah segala-galanya buat saya, isteri ditempat kedua. Namun saya yakin kasih sayang untuk kedua-duanya tidak berbelah bagi.”

Anis yang kelihatan ayu dalam persalinan kurung tersenyum sambil menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.

“Kedua-duanya adalah penting dalam hidup saya,” Iddin menambah ayatnya.

“Alhamdulillah, memang begitulah yang sepatutnya,” Anis memberikan sokongan. Sesekali mata mereka bertaut, tetapi cepat-cepat ditundukkan pandangannya.

“Dah selesai semua urusan majlis kita nanti? Mana-mana yang perlu bincang dengan saya, bagitahu je,” Iddin mengubah topik perbualan. “Emak dan Kak Ina ada bagitau yang Anis dah bincang dengan mereka pasal tema majlis kat rumah saya nanti. Saya tak kisah, janji awak ada kat sebelah...”

Mesti la kan...Anis senyum panjang mendengar hujung ayat Iddin.

“Anis, paling penting saya mahu kesederhanaan dalam majlis kita nanti,” nada Iddin sedikit serius sambil pandangannya menghadap tunang tersayang. “Cukup sekadar kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai sahaja untuk meraikan hari bahagia kita.”

Anis mengangguk lagi sambil kepalanya mula berfikir sejauh mana dia sudah menyelesaikan perkara-perkara yang melibatkan urusan majlis mereka tidak lama lagi. Rasanya semuanya masih lagi dalam skala bersederhana sahaja.

“Semalam, saya ada survey pasal catering dan pakej-pakej yang disediakan,” Iddin terus bercerita bahagian tugasannya dengan nada ceria sekali. “Susah juga saya nak buat pilihan, tapi Alhamdulillah, dapat juga saya pilih dan dah jelaskan depositnya.”

“Alhamdulillah, harapnya mereka dapat sediakan yang terbaik nanti,” balas Anis sambil membetulkan duduknya, tak senang duduknya kalau asyik diperhati si tunang tersayang. “Kalau boleh biar semua yang hadir berpuas hati dengan hidangan yang kita sediakan.”

“Tempahan dewan dah ok?” Iddin bertanya tugasan dipihaknya.

“Alhamdulillah, mak ayah dah selesaikan urusan tu semua,” Anis berkongsi laporan semasa.

“Jemputan kita setakat ni 1000 orang,” Iddin menambah bicara.

Anis bangun menuju ke meja makan. Iddin mengekori ke tempat sama sementelah melihat hidangan sudah pun tersedia di atas meja.

“Awak masak ke ni? Macam selera sangat nak makan ni,” Iddin bertanya ceria.

“Tak percaya ke? Dari semalam saya cari resepi kat internet tu, awal pagi tadi dah keluar pergi pasar cari bahan-bahan nak masak ni. Dah letih dah ni belajar resepi baru tau. Jangan pulak cakap tak sedap,” Anis menjawab lebar.

“Ok, jom kita try sama-sama, ajak mak ayah sekali. Nak juga saya dengar komen diaorang. Ayah tu kan cerewet bab-bab makan ni, seronok jugak nak dengar apa komennya bila anak daranya sekali sekala masak ni, sedap ke, masin ke, ke macamana? Tentunya kalau sedap pasti dia makan bertambah. Saya memang tahu makan je,” Iddin seronok mahu menyakatnya.

“Alah, janji saya dah mula belajar masak sekarang,” Anis membela diri, tidak mahu dia menjadi bahan ujian nanti.

“Itu dah cukup baik. Sekurang-kurangnya saya boleh merasa air tangan isteri nanti. Tak nak lah setiap hari asyik makan order saja. Walaupun rasanya sedap, tapi keseronokannya tiada. Tentulah yang isteri masak dan hidang itulah yang terbaik buat suami. Kalau tak sedap sikit pun, sekurang-kurangnya suami boleh rasa kasih sayang isteri,” Iddin seakan memujuk.

Mereka menyambung borak sambil makan tengahari bersama ditemani ibu dan ayah Anis.



“Anis, ooo cek Anis...dah sampai ke mana tu?” Akma berkali-kali memanggil Anis yang mengelamun jauh di sebelahnya.

Anis tersentak. Entah kemana-mana dia tadi bersama si tunang tersayang merancang majlis perkahwinan mereka yang tinggal beberapa bulan lagi.

Sebuah majlis yang makin tidak sabar untuk direalisasikannya.

“Kot ya pun nak kahwin...,” Akma menyambung kata yang kedengarannya bernada perli. “fail-fail kat depan tu bila nak bergerak?”

“Kejap la kak...fail-fail ni jap lagi bereslah semuanya,” Anis menjawab walaupun dia sebenarnya malu juga untuk akui kesilapannya yang suka benar mengelamun sejak kebelakangan ini. “Senang je kak kerja ni, yang akak punya pun saya boleh buat.”

shahrinas Publish time 24-2-2012 08:23 AM

thanks for the n3... :D
kalu free letak n3 lagi k... :L

nhid_tam Publish time 24-2-2012 09:24 PM

sambung lg....hehe
Pages: [1] 2 3 4 5 6 7 8 9 10
View full version: Kahwin


ADVERTISEMENT