sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:10 PM

Sekuntum Melor Buat Abang

23 Desember datang lagi, dan ia akan datang lagi, lagi dan lagi tanpa henti tahun demi tahun. Sesungguhnya, tarikh itu akan mengingatkan aku pada seseorang yang terlewat untuk aku sayangi dan terlewat untuk aku kasihi. Bila aku tersedar ke alam nyata, ternyata aku telah benar-benar terlewat untuk semua itu. Sehingga kini, selepas setahun semuanya berlalu, aku masih rasa menyesal dan bersedih atas kehilangannya. Aku masih tidak mampu melupakan dia, dan bahu ini tidak berdaya lagi memikul beratnya dosa yang ku tanggung kerana pernah membencinya dulu. Harga sebuah ikatan kekeluargaan itu ku jual kepadanya dengan harganya yang terlalu mahal, sehingga perlu kesalahan ini ku tanggung seumur hidup. Malah aku buang dia jauh-jauh dari hati dan fikiranku.

***********

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:16 PM

wah...semangatnye nak letak cerita lagi..time2 orang lelaki pergi jumaat ni.
kisah lama ni...kisah dulu-dulu yang sudah jadi sejarah
perit.
Kisah Hidayah dulu2. Sape2 ada baca Taufiq buat Hidayah, ni la Dayah masa kecik.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:19 PM

Namaku Nur Hidayah Solehah binti Haji Baharin. Aku berumur 11 tahun, dan kini aku belajar di Sekolah Kebangsaan Dato’ Temenggong,di negeri Pahang, dalam darjah lima (lima Arif-kelas nombor satu). Nombor kad pengenalan, rahsia, sebab belum ada lagi.

Aku tinggal di sebuah kampung kecil di daerah yang jauh di pedalaman. Boleh dikatakan, keseluruhan pendudukdi kampung ini adalah bersaudara dengan kami sekeluarga.
       
Abahku hanya bekerja kampung dengan mengusahakan kebun pisang dan ternakan ikan air tawar secara kecil-kecilan. Menurut abah, rumah yang kami duduki ini merupakan rumah peninggalan arwah datukku sebelah umi, dan kami telah berpindah ke kampung ini sejak tahun 90-an lagi, selepas abah berhenti kerja kerana menghidap penyakit misteri yang sukar untuk diubati.
       
Namun, beribu kali syukur, abah kini telah sembuh dari dugaan penyakit itu. Di rumah peninggalan arwah datuk jugalah aku dilahirkan dan mengenal dunia, seterusnya membesar menjadi seorang manusia yang sempurna.
       
Aku dilahirkan kembar. Meskipun begitu, kembarku itu tidak pernah aku kenali, kerana sejak kecil lagi dia telah dijaga oleh orang lain. Aku tidak pernah kisah pun tentang dia, yang aku tahu, aku perlu bersyukur, kerana 11 tahun yang lalu bukan aku yang diserahkan kepada Mak Lang Piah untuk dijaga. Jadi kenapa aku perlu memikirkan tentang dia.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:21 PM

Lalu, membesarlah aku dengan kasih dan sayang yang melimpah ruah dari umi dan abah, juga dari kakak-kakakku dan saudara mara. Dunia kanak-kanak ku terlalu indah, riang dan gembira sekali tanpa masalah yang membelenggu fikiran aku. Semuanya berwarna warni dan dihiasi gelak ketawa sahaja.
       
Namun, sejak berita kepulangan saudara kembarku itu ku dengar, kerjaku hanya membilang hari. Waktu memang cepat benar berlalu. Seolah- oleh seperti pejam dan celik, duduk dan bangun saja. Umi dan abah tentulah sangat gembira tak terkata.
       
Hampir dua minggu tak sudah-sudah persediaan dilakukan untuk menyambut dia. Dia yang telah lama terpisah dari keluarga ku. Dia yang ku kira tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke rumahku selepas terpisah dari keluargaku dulu.

Dia yang serahim dengan ku, dia yang pernah akrab dengan ku selama 9 bulan 10 hari dalam perut umi. Kak Long dan Kak Ngah juga begitu, jarang ku lihat mereka balik ke rumah sekerap ini, malah hampir tiap-tiap hari muka mereka pasti ada.
       
Semua orang bergotong-royong menyambut dia. Jenguklah ke bilik baru itu, semuanya terhias indah. Hasil sentuhan dan idea semua orang- dan ini tidak termasuk idea dariku (maaf, aku tidak akan campur tangan kalau hal dia). Umi dan abah berhabis duit membeli katil dan almari baru.

Sedar-sedar, bila bilik itu ku jengah pagi tadi, semuanya lengkap. Katakan saja, semuanya ada. Jauh bezanya dengan kamarku sendiri. Katil besar, almari besar, maja belajar juga besar lengkap dengan komputer baru pula, pendek kata semuanya besar-besar belaka untuk si Umar. Dah macam bilik tidur untuk anak gergasi saja ku lihat. Cemburu meruap-ruap dalam hatiku.
       
Aku seperti sudah tidak dipedulikan lagi. Ini memang susana yang ganjil dan pelik. Budakyang paling comel dan bijak seperti aku sudah tidak mempunyi tempat dalam rumah sendiri lagi.

Ya, ini memang sangat ganjil! Dan aku sangat pasti bila Si Umar sudah menjadi penghuni dalam ini rumah, mesti dia akan selalu mendapat layanan yang istimewa.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:21 PM

Subsidi dan segala jenis tajaan yang bagus-bagus juga pasti akan berkurangan untukku. Buku cerita setiap bulan, pen mahal dan berwarna warni, buku nota comel, baju baru semuanya akan dibahagi dua. Wah, kamu ni Dayah dah macam menteri pula dia bercakap soal subsidi dan tajaan.
       
Ah, Si umar ni memang memanaskan hati, sudahlah namanya itu ‘Umar’ saja, isk, seperti nama orang tua-tua yang tak ada nilai komersial langsung. Sekali ku dengar seperti nama Pak cik Omar yang rumah tepi bendang tu saja.

Perang mesti diistiharkan! ‘ Perang si Umar’. Berkuatkuasa serta merta, hari ini, saat ini supaya segala kepentingan aku nanti akan terjaga dan terjamin dalam rumah ini. Juga kasih sayang dari umi, abah, kak long dan angah tidak terus terfokus kepada si Umar.
       
Aku mesti ceritakan hal perang ini kepada Ani dan Dayu. Mereka mesti menjadi rakan komplot untuk aku mengenakan si Umar teruk-teruk sampai dia tidak tahan dibuli dan seterusnya si Umar akan keluar dari rumah ini. Muktamat.

********************

Aku masih ingat, beberapa hari yang lepas umi dan abah khabarkan kepada seisi rumah.
“Umar akan pulang dan terus tinggal dengan kita sekeluarga”.

Dengan linangan air mata gembira seisi keluarga mengucap syukur. Akhirnya, jantung keluarga kami akan pulang. Ya, jantung hati abah. Itulah yang sering abah sebut-sebutkan dari dulu. Umar itu jantung keluarga kita. Tentulah jantung hati abah, kan si Umar tu satu-satunya anak lelaki umi dan abah.
       
Umar itu memang telah lama aku kenal, bukan rupa atau suaranya, tetapi nama dan peribadinya. Semuanya ku kenali dari mulut abah dan umi. Ah...untung betul si Umar, belum lagi menjejakkan kaki ke rumah ini, kasih sayang melimpah ruah telah umi dan abah sediakan, kak long dan kak ngah juga begitu.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:23 PM

Malam selepas berita gembira itu tersebar, semua orang tidak habis-habis bercerita kisah silam bagaimana Umar, si jantung hati umi dan abah boleh terpisah dari keluargaku.

Episod cerita itu bagai satu drama sinetron dari negara seberang yang mak Usu Limah, ibu sahabat baikku Dayu minat sangat tu.
       
Jadi selepas makan malam, cerita itu pun diulang lagi untuk kesekian kalinya. Ya, drama yang ku hafal setiap babak-babaknya itu bersiaran secara langsung dari ruang tamu rumah Hj. Baharin @ abahku.

Tawa dan tangis pun bersatu. Oh, please...drama, drama, drama. Inilah babak air mata yang paling aku menyampah sekali. Katanya semua orang gembira, tapi menangis-nangis pula. Orang dewasa memang selalu buat perkara yang pelik.
       
Gamat sungguh. Semua orang mahu berceloteh . Lalu cerita pun berkisah dan lipatan sejarah lalu pun diselak satu persatu.

Aku yang ketika peristiwa itu masih belum mengerti apa-apa, tapi kini seolah-olah dapat membayangkan segala rentetan peristiwa dulu; kisah si Umar yang terpisah dari keluarga kami kerana keadaan yang memaksa.

****************

Kata abah, ketika itu keluargaku susah, begitu susah. Paling susah sekali di daerah kami mungkin. Sehingga abah mengatakan ketika itu, keluargaku tak ubah seperti orang yang papa kedana. Mungkin, empat orang anak tidak terlalu membebankan. Namun masalah bertimpa-timpa atas bahu abah.

Selepas dibuang kerja kerana kemelesetan ekonomi di tempat kerjanya, abah diserang penyakit ganjil. Hutang kereta dan sewarumah berkepuk-kepuk. Seluruh badan abah sukar bergerak dan abah terpaksa terlantar di katil sahaja setiap masa.

Habis semua wang simpanan digunakan untuk mengubati penyakit abah.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:25 PM

Kak long yang ketika itu masih menuntut di universiti terpaksa menangguhkan pengajiannya satu semesta dan bekerja kilang bagi membantu meringankan beban kami sekeluarga.

Namun umi yang ketika itu sarat mengandungkan aku... aku dan Umar sebenarnya, sangat kuat semangatnya,tidak cepat melatah dengan keadaan. Segala kudrat dan kemampuannya tidak turut sama lumpuh seperti abah, bahkan umilah yang jadi tunjang segala beban tersandar dan disandarkan.
       
Namun apalah daya seorang perempuan seperti umi, semangatnya patah jua bila terpandangkan abah yang terlantar, dan hati umi tambah terluka tatkala melihat kak long bekerja kilang demi membantu keluarga.

Kemuncaknya, rumah dan kereta abah terpaksa ditarik oleh pihak bank. Selepas itu, kami sekeluarga membawa diri ke kampung umi. Rumah usang yang panjang dan tinggi bertiang peninggalan arwah datuk menjadi tempat kami menyambung nyawa. Rumah kecil bertiang seribu itulah aku dan si Umar dilahirkan.
       
Di situ jugalah aku dan si Umar dibesarkan. Rumah kecil itu juga menjadi saksi jerih perih umi dan abah membesarkan kami adik beradik. Namun, selepas lima bulan dilahirkan, abah dan umi menyerahkan si Umar kepada Mak Lang Piah untuk dijaga kerana masalah kewangan dan penyakit abah yang kian meruncing serta memerlukan lebih perhatian dari umi.

Lebih-lebih lagi, si Umar selalu sahaja diserang demam dan menangis tanpa henti. Mengikut nasihat nenek saudara sebelah ibu, eloklah Si Umar di jadikan anak angkat orang lain sahaja supaya penyakitnya sembuh.

Lalu Mak Lang Piahlah pilihan yang tepat.Aku tidak tahu apa rasionalnya orang tua-tua buat begitu- bila anak kecil sakit, harus di berikan kepada orang lain dijadikan anak angkat mereka, lalu sakit budak itupun akan sembuh.

Mmm...sampai sekarang, hal itu tersenarai dalam kategori perkara ajaib yang aku pernah tahu!

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:26 PM

Pada ku, Si Umar pula tentulah sangat lasak dan suka merayap-rayap walaupun cuma tahu merangkak saja. Dan aku kira, si Umar ini sangat nakal, malah lebih dasyat dari aku, lalu abah dan umi terpaksa ‘mengorbankan’ si Umar.

Ini merupakan kesimpulan dan analisis aku sahaja. Kalau tidak nakal, tentulah si Umar tidak diserahkan kepada orang lain. Itulah kau Umar, cuba kalau kamu jadi budak yang baik-baik dulu, tentu kau takkan jadi ‘korban’ begitu. Dayah...amboi kamu ya, macam lah kamu tu tak lasak dan nakal semasa kecil dulu.

Tapi itu memang betul. Budak-budak nakal akan dapat balasan begitu. Kesian, memang aku kesian tapi, kalau bukan si Umar, tak kan aku pula yang mesti ikut Mak Lang Piah dulu.
       
Janjinya, abah dan umi akan mengambil semula si Umar selepas abah sembuh, namun belum sempat si Umar pandai berjalan, Mak Lang Piah dan Pak Lang berpindah ke Sabah kerana tugas Pak Lang sebagai askar, tanpa pengetahuan umi dan abah. Betapa lukanya hati umi dan abah ketika itu.

Ternyata, rumah kecil tiang seribu ini juga menjadi saksi perpisahan si Umar dari keluargaku. Namun, janji Allah itu sentiasa benar, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Penyakit abah beransur-ansur pulih selepas itu.

Sedikit-sedikit abah sudah boleh membantu umi berkebun dan bercucuk tanam. Malah, ada kalanya abah yang ke pasar menjual sayur.

Kak long dapat kembali menyambung pengajiannya yang tergendala dan Kak Ngah juga telah bersekolah di kampung. Walaupun banyak yang berubah, namun kasih umi dan abah pada si Umar tetap ada. Doa mereka sentiasa mengiringi tiap langkah Umar agar Umar jadi anak yang soleh, walau terpisah jauh dek Laut China Selatan.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:28 PM

Selepas 11 tahun cerita yang penuh dengan ranjau dan duri itu, atau lebih tepat lagi, selepas 11 tahun terpisahnya si Umar dari keluarga ku tanpa rela, si Umar akan kembali kepangkuan kami.

Kepangkuan umi dan abah, seterusnya menjadi jantung keluarga ku lagi. Kembali untuk merampas segala yang dia terlepas selama ini. Mungkin juga segala yang ada padakuakan dirampas si Umar.

Panggilan telefon hari itu, benar-benar satu sejarah. Sejarah yang menyatukan keluarga ku dengan si Umar kembali. Sejarah yang membuatkan keluargaku mendapat jantungnya kembali.

Walaupun tersentak dengan berita kemalangan maut yang meragut nyawa Mak Lang Piah dan Pak Lang, namun jauh di sudut hati abah gembira bukan kepalang. Tambahan pula si Umar akan belajar di kampung ini. Dan bagai telah tersurat, aku dan si Umar akan belajar di tempat yang sama.
       
Sabtu itu datang seperti selalu. Hari sabtu yang selalunya menjanjikan kerehatan dan bermalas-malasan di katil yang hangat. Namun, hari sabtu ini bukanlah seperti hari- hari sabtu yang selalu, ini adalah hari pertemuan. Hari jejak kasih keluarga ku dengan Si Umar.

Hari yang dinanti-nantikan semua orang tiba. Namun bagiku, hari kepulangan si Umar bukan satu kemanisan pada ku. Bagaimana harus ku terima Umar si jantung hati abah itu? Belum apa-apa dia telah merampas kasih sayang abah dan umi dariku, mungkin juga kebahagiaan ku.

Telingaku bagaikan bernanah tiap kali mendengar nama Umar. Umi juga sejak mengetahui Umar akan pulang, tidak pernah satu harinya tanpa menelefon si Umar. Katanya takut Umar terasa sendirian setelah kematian Mak Lang Piah dan Pak Lang.

Segala tentang si Umar sudah umi hafal. Ku lihat, sejak dari pagi, umi di dapur, memasak makanan kegemaran si Umar barangkali. Senyuman di bibir tua itu tidak pernah hilang lagi sehingga kini.

Ahhh.. bagaimana jika si Umar itu bukan seperti yang umi dan abah bayangkan? Bagaimana jika si Umar itu rupa-rupanya sisosial yang tersilap acuan hidupnya? Bagaimana abah dan umi akan menerimanya?

Sesekali umi menjengah keluar tingkap melihat lihat andai kereta Kak Long sudah muncul membawa tetamu kehormatnya.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:31 PM

“Assalamualaikum...”. Nama suci itu disebut abah tatkala melabuhkan punggungnya ke kerusi. Abah sudah lengkap bersiap untuk ke kebun dan melihat-lihat kolam ternakan ikan air tawarnya.

Salam abah aku dan umi sambut. Lantas, cawan yang kosong dihadapan abah ku penuhkan dengan air teh.

“Terima kasih ”, aku senyum. Senyum dengan kasih sayang abah itu, tapi masih adakah sayang itu lagi bila si Umar itu pulang nanti?

“Adik, nanti abah harap adik dapat terima abang Umar, dapat sayang abang Umar, belajar sama-sama dengannya dan dengar cakap abang Umar, terutama sekali bila di sekolah nanti...dia dah lama kehilangan semua tu dari keluarga kita”.

Aku jadi geram. Mestikahaku memanggilnya begitu? Akukan lahir beberapa minit lebih awal dari si Umar? Hari ini si Umar akan pulang dan hari ini hari perang antara aku dan si Umar bermula tanpa ku tahu bila penghujungnya.

“Dia tak pernah merasa kasih sayang selama 11 tahun dia hidup....dia anak abah yang paling kuat, dia..”.Abah menyambung lagi, namun kata-katanya bagai tergantung.

Ku lihat, mata abah berkaca. Mungkin bersalah kerana kisah lalu itu. Ah..Umar! Aku diam, angguk tidak, geleng pun tidak. ’Abang?’ mestikah abah aku memanggilnya begitu? Kamikan sebaya. Ah..persetankan. Hatiku memberontak lagi.

Abah membaca bismillah, lantas karipap montel air tangan umi, abah jamah. Berselera sekali.

“ Wah..sedap karipap umi hari ini”. Abah tersenyum ke arah umi. Umi bagai tersipu dengan pujian itu. Isteri solehah abahlah katakan.

“Hari-hari lain tak sedap ke karipap saya bang aji?”

“Eh.. bukan begitu Yang, tapi hari ni lain benar sedapnya, sepinggan pun abang boleh habiskan”.

Abah berseloroh, mesra sekali gurauan abah pada umi. Cemburu juga aku dibuatnya. Lantas aku pun tertawa sama, ah.. apa guna cemburu pada umi dan abah, keluarga ku memang bahagia.

“Jangan bang Aji, nanti tak larat pula nak menjaga kebun dan kolam abang tu”

“Kamu ni, tak kanlah abang larat habiskan, tapi kalau adik, mungkin dua pinggan pun...masyaallah..” Ah..abah ni, aku pula yang terkena.. lantas ku cubit lengan abah dan menarik muka masam. Aku tahu kalau begini abah akan memujuk ku sehingga aku ketawa. Aku kan anak manja abah.

********

Tiba-tiba kecoh di luar, aku yang masih merajuk dan mengharapkan abah memujukku hampa. Umi dan abah berlari keluar menyambut Kak Long, dan semestinya Umar si jantung hati abah.

Dari pintu dapur, aku melihat umi memeluk Umar bagaitakkan lepas lagi. Itukah dia? Umi cium Umar dengan air mata yang mengalir. Abah cuma tersenyum keharuan. Selepas itu, dengan sopan, Umar menundukkan wajahnya mencium tangan abah. Lama dia begitu. Abah meletakkan tangan tuanya di kepala Umar.Tangan tua abah mengusap-usap kepala Umar.

Umar dah pulang!

“Abah”

“Umar pulang bah”

Jelas di pendengaranku, suara garau itu menyebut nama abah. Dan buat pertama kalinya, air mata abah mengalir tatkala nama “abah” terpacul keluar dari bibir anak lelaki tunggalnya setelah sekian lama terpisah. Lama mereka berdakapan. Abah menepuk-nepuk belakang Umar. Mereka beriringan ke rumah.

Sesungguhnya, laman menghijau rumahku yang indah dengan pelbagai bunga kertas dan puding itu menjadi saksi pertemuan semula keluargaku. Jejak kasih pun bermula. Dalam syahdunya, abah dan umi senyum sampai ke telinga.

“Ha, Umar, inilah adik kembarmu, Nur Hidayah Solehah”, kata abah memperkenalkan kami yang seharusnya telah mengenali. Sebagai ayah, abah mengharapkan kami akan menjadi saudara dan juga sahabat.

Umar menghulurkan tangannya kepadaku. Dia senyum. Sebaris giginya indah tersusun. Manis. Huluran tangannya ku sambut dingin. Entah kenapa, aku berperasaan pilu dengan pertemuan ini. Ada syahdu yang menggigit tangkai hati. Terharukah aku dengan kepulangan Umar?

***********

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:34 PM

Sayup-sayup alunan azan kedengaran dari menara masjid kampung ku. Lain benar alunan suaranya. Lunak. Tapi bikin hati yang mendengar jadi sayu. Mendamaikan hati yang kering dan tandus. Daun tingkap lantas ku capai mahu tutup rapat-rapat.

Kata abah, “Waktu Maghrib, dan ketika azan berkumandang, syaitan akan bertempiaran lari masuk ke rumah yang tidak tertutup pintu dan tingkapnya mencari perlindungan.” Terngiang-ngiang lagi nasihat abah itu.

“Hidayah, jangan lewat-lewatkan solat, orang yang solat awal waktu akan melintasi titian sirat sepantas kilat untuk ke syurga di akhirat kelak tau”, abah menasihati dalam senyum dan penuh kelembutan seorang ayah.

Ah, abah, tak pernah kering nasihat mu. Lantas kaki ini ku hayun mengambil wudu’. Sunyi seketika rumahku. Abah telah ke masjid, begitulah rutinnya abah setiap kali masuk waktu solat, tambahan pula abah adalah imam di masjid kampungku.

Mungkin abah sangat gembira kini apabila dapat bersama Umar ke masjid. Kini, impian abah untuk melengkapkan keluarga sakinah lagi mawardahnya berjaya juga dengan kepulangan Umar.

Sebelum menutup tingkap..gelap malam itu aku renung dalam-dalam...mengamati hari esok yang masih kabur.... dan barang kali tiada.

sakurakuri Publish time 12-8-2011 01:35 PM

selamat membaca..
ada lagi sambungannya...pendek je ceritanya....cerpen lama2, tapi saja tak nak sambung:P

redsentra Publish time 12-8-2011 03:10 PM

bagus jalan ceritanya...

kambeng_masam Publish time 12-8-2011 03:22 PM

best! best! huhu...tak menang tangan ye sakurakuri menaip citer. Jalan citer dah best...ayat2 pun mantap. teruskan menulis!:P



p/s: Beng ni lahhh...idea menulis dah lah tak mari...busy pulak..:sweat3:

yaya4075 Publish time 12-8-2011 03:24 PM

best intro......tak sabar nih....:sweat3:.:sweat3:.:sweat3:.:sweat3:.:sweat3:

sakurakuri Publish time 15-8-2011 10:39 AM

best! best! huhu...tak menang tangan ye sakurakuri menaip citer. Jalan citer dah best...ayat2 pun ma ...
kambeng_masam Post at 12-8-2011 15:22 http://mforum.cari.com.my/images/common/back.gif


tq beng...cerita dalam simpanan saja...sementara nk tunggu idea utk taufiq buat hidayah.
moga beng dapat keluarkan idea2 paling best dlm penulisan nnti:)

p/s: peminat cerita2 kamu ni..hehhe

sakurakuri Publish time 15-8-2011 10:42 AM

Reply 15# yaya4075


thanks...nanti sambungan n ending sy masukkan..cuma nak edit2 sikit.

freddianza Publish time 15-8-2011 12:21 PM

Jangan lupa letak:)..hehe

sakurakuri Publish time 15-8-2011 12:42 PM

Jangan lupa letak..hehe
freddianza Post at 15-8-2011 12:21 http://mforum.cari.com.my/images/common/back.gif

xlupalah...kena cari masa dulu utk edit2

freddianza Publish time 15-8-2011 12:51 PM

Reply 19# sakurakuri


   okeyy.setia menanti.thanks:)
Pages: [1] 2
View full version: Sekuntum Melor Buat Abang


ADVERTISEMENT