Kekuatan sesebuah negeri bukan sekadar diukur melalui pembangunan - Raja Muda Perlis
Kekuatan sesebuah negeri bukan sekadar diukur melalui pembangunan - Raja Muda PerlisWartawan BH - Mei 17, 2026 @ 9:04pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhteku_1779023054.jpg
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan memberikan tabik hormat pada perbarisan kehormatan pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-83 di Istana Arau hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - BERNAMA
ARAU: Kekuatan sesebuah negeri bukan sekadar diukur melalui pembangunan fizikal, malah turut bergantung kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, berintegriti, bersatu padu dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menzahirkan taat setia mewakili seluruh usrah kerabat Diraja Perlis sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balairong Seri, Istana Arau.
Sehubungan itu, baginda menyeru supaya rakyat negeri ini terus diperkasa dengan semangat berdaya saing, mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan, serta nilai integriti yang tinggi.
Semua ini, titah baginda penting supaya Perlis dapat terus melahirkan masyarakat progresif, berpengetahuan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.
"Pembangunan negeri perlu dipacu secara menyeluruh melibatkan aspek kebajikan umat, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kemudahan awam agar manfaat kemajuan dapat dirasai secara adil dan menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat.
"Kepentingan memperkukuh perpaduan rakyat juga perlu sentiasa ditekankan, selain memelihara adat dan adab, serta menyemai nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat demi memastikan negeri Perlis kekal aman, harmoni dan sejahtera," titah baginda.
Sempena istiadat berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan pengurniaan 24 darjah kebesaran dan pingat negeri kepada individu-individu yang menabur jasa, khidmat bakti dan sumbangan cemerlang kepada negeri Perlis serta negara.
Pengurniaan Darjah Kebesaran Khas kepada kerabat disempurnakan terlebih dahulu di Balai Menghadap Biru Istana Arau yang mana Raja Muda Perlis bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Tengu Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Hajah Sharifah Fazira Jamalullail dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J.) yang membawa gelaran Dato' Seri DiRaja.
Turut berangkat ke istadat berkenaan, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid .
Dalam pada itu, Raja Muda Perlis turut menzahirkan doa agar Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis sentiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, ketenteraman jiwa serta terus berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1559124/kekuatan-sesebuah-negeri-bukan-sekadar-diukur-melalui-pembangunan
https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhramja_5c9f91a4800841eaacbe532d2488677e_1779023051.jpgRaja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan menyampaikan titah ucapan tahniah mewakili para kerabat Diraja Perlis pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang ke-83 di Balairung Seri, Istana Arau hari ini. - BERNAMA
https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhramja_1779023047.jpgRaja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-83 di Istana Arau hari ini. - BERNAMA
Pages:
[1]