Visi 'Dubai Kedua' bukan mustahil buat Perlis - Raja Perlis
Visi 'Dubai Kedua' bukan mustahil buat Perlis - Raja PerlisOleh Noor Sara Mohamad Hanif - Mei 17, 2026 @ 1:14pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/raja1_1778994853.jpg
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. - Foto BERNAMA
ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan visi besar baginda untuk melihat negeri ini membangun dengan pesat umpama 'Dubai Kedua' pada masa hadapan.
Baginda bertitah, visi itu bukan sasaran mustahil untuk dicapai sekiranya kerajaan dan rakyat Perlis dapat bekerja dengan lebih keras.
Titah baginda, ucapannya sebelum ini mengenai visi itu mungkin terlalu pantas dan besar untuk diterima sesetengah pihak, namun ia adalah matlamatnya pada masa depan.
"Jika diimbau 50 tahun dahulu, Dubai hanya sebuah padang pasir dan tiada bangunan pencakar langit, namun sekarang ia memiliki bangunan yang begitu pesat.
Begitu juga Perlis, satu hari nanti boleh menjadi seperti Dubai.
"Namun ia pasti memakan masa, bak kata pepatah, 'Rom tidak dibina dalam sehari'.
Perkara ini mesti disematkan niatnya bermula sekarang, supaya generasi akan datang dapat meneruskan visi itu sehingga ia berjaya dicapai," titah baginda pada Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis di Istana Arau, di sini, hari ini.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, peluang merealisasikan matlamat tersebut sudah wujud di hadapan mata, khususnya menerusi pembangunan pelabuhan darat, Perlis Inland Port (PIP).
Baginda turut berbangga dengan perkembangan sektor pelancongan Perlis yang kini berjaya mengubah status negeri itu daripada sekadar 'negeri persinggahan' kepada destinasi percutian pilihan.
"Saya masih ingat 10 tahun dahulu, kita buntu memikirkan cara untuk menarik pelancong kerana Perlis hanya menjadi lokasi transit ke Thailand, manakala di Kuala Perlis orang sekadar lalu untuk ke Langkawi.
"Tetapi hari ini, ramai pelancong yang datang khas ke Perlis.
Kita perlu tambah lagi tarikan sedia ada seperti keenakan makanan dan mangga Harumanis yang memang sudah masyhur.
Kita kena kuatkan lagi pemasaran supaya lebih ramai pelancong masuk," titah baginda.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan seperti tentera dan polis yang memastikan keamanan negara terpelihara sehingga membolehkan rakyat hidup selamat dan lena tidur pada waktu malam.
"Saya ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada pasukan bomba yang bekerja keras pada bulan lalu memadamkan kebakaran kawasan bukit.
"Siang dan malam mereka bertugas hingga terpaksa meninggalkan anak dan isteri demi tugas," titah baginda.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1558417/visi-dubai-kedua-bukan-mustahil-buat-perlis-raja-perlis
Pages:
[1]