sfhzuraz Publish time 17-5-2026 07:43 PM

Pencemaran di Sungai Juru: "Sauk kerang bercampur sampah, sampai bila nak hadap" - Penternak

Pencemaran di Sungai Juru: "Sauk kerang bercampur sampah, sampai bila nak hadap" - Penternak

Oleh Nur Izzati Mohamad - Mei 17, 2026 @ 3:28pm




https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhkiram_1779002901.jpg
Penternak membawa pulang hasil kerang. (Foto kecil) Kerang dituai bercampur timbunan sampah khususnya plastik. - NSTP/ Nur Izzati Mohamad



BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 100 penternak kerang berdepan kerugian apabila masalah pencemaran air akibat selut dan sampah yang berlarutan di perairan Sungai Juru, di sini menjejaskan hasil ternakan mereka.
Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kerang diternak mati, malah ratusan kerang yang dikutip juga bercampur dengan timbunan sampah khususnya plastik.
Seorang penternak, Mohd Helmi Ibrahim, 46, berkata masalah itu dihadapinya sejak 25 tahun lalu ketika membantu bapanya dan hari ini masih melalui kesukaran sama setiap kali turun mengutip kerang.
"Keadaan bertambah parah apabila kawasan penternakan kerang dikelilingi industri dan kilang menyebabkan air tercemar dan akhirnya kerang tidak dapat hidup.
"Ditambah masalah selut dan sampah yang terlalu banyak yang nelayan sendiri pelik datang dari mana mengakibatkan masalah ini tidak dapat diatasi sepenuhnya.
"Setiap kali turun mengutip kerang pasti penuh disaluti selut busuk dan plastik-plastik sampah yang apabila diasingkan berbakul-bakul sampah dikutip dan ia menjejaskan kualiti kerang sehingga berlambak (banyak kerang) mati sekali gus mendatangkan kerugian," katanya.
Sebelum itu, Mohd Helmi berkata banyak program dan kempen mengutip sampah di kawasan perairan Kuala Juru dilaksanakan, namun tidak mengubah apa-apa.
Ketua Persatuan Nelayan Unit Kuala Juru B, Wahid Othman berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) ada turun mengambil sampel air selepas masalah itu diadukan kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), baru- baru ini.
"Hasil sampel itu kita tidak tahu lagi kerana mereka baharu sahaja turun, tetapi apa yang dilalui nelayan setiap kali musim mengutip kerang sama sahaja.
"Sudahlah keluasan kawasan ternakan kerang yang diberikan kepada unit kami tidak sebesar mana iaitu sekitar 22 hektar, yang mana itu pun hanya sebahagian sahaja boleh digunakan memandangkan selebihnya berdepan pelbagai masalah pencemaran menyebabkan benih kerang tidak dapat hidup.
"Ini pula ahli kami yang turun mengutip kerang terpaksa bawa balik hasil bercampur sampah.
Ini menjejaskan kualiti kerang... nak asingkan kerang dengan sampah untuk dapat satu kilogram pun ambil masa lama," katanya.
Wahid berkata, jika dahulu 70 penternak turun mengutip kerang, tetapi disebabkan masalah pencemaran itu hanya 10 penternak sahaja turun dengan membawa hasil sekitar 100 ke 150 kilogram (kg).
"Kami juga sudah tidak dapat memasarkan kerang ke luar negara kerana hasil berkurangan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1558591/pencemaran-di-sungai-juru-sauk-kerang-bercampur-sampah-sampai-bila




Pages: [1]
View full version: Pencemaran di Sungai Juru: "Sauk kerang bercampur sampah, sampai bila nak hadap" - Penternak


ADVERTISEMENT