sfhzuraz Publish time 16-5-2026 03:14 PM

NUTP mohon gubal Akta Perlindungan Guru

NUTP mohon gubal Akta Perlindungan Guru

Nur Izzati Mohamad - Mei 15, 2026 @ 3:22pm




https://assets.bharian.com.my/images/articles/guru_1778829740.jpg
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang. Foto Auris Faqrurazz/NSTP



BUTTERWORTH: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memperjuangkan usaha supaya kerajaan menggubal Akta Perlindungan Guru berikutan cabaran dan ancaman terhadap warga pendidik.
Presidennya, Aminuddin Awang, berkata apabila berlaku kesilapan ketika menjalankan tanggungjawab mendidik dan mendisiplinkan murid, guru akan menerima akibat.
Sehubungan itu katanya, akta itu dapat melindungi guru sekiranya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
"Kalau kita lihat sekarang ini, guru sekarang ini berada dalam fasa yang cukup terancam kerana mereka seolah-olah diarahkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan begitu berkesan, mereka perlu mendisiplinkan murid, mereka perlu melaksanakan pelbagai tanggungjawab tetapi pada masa yang sama mereka ini seolah-olah diancam.
"Silap sikit mereka akan terima LOD (notis tuntutan) daripada ibu bapa, silap sikit mereka akan dihadapkan ke mahkamah.
"Jadi besarlah harapan kami, sempena dengan Hari Guru pada tahun ini, selaras dengan cabaran-cabaran oleh guru itu, supaya kerajaan dapat menggerakkan usaha ke arah nak menggubal satu akta yang boleh melindungi guru, yang bahasa mudahnya saya namakan sebagai Akta Perlindungan Guru," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Semarak Hari Guru NUTP Pulau Pinang Merentas Hari Pekerja bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, di sini hari ini.
Selain itu, Aminuddin berkata, NUTP berharap permintaan khas guru untuk menikmati semula kuota petrol sebanyak 300 liter di bawah Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) dapat direalisasikan sebagai hadiah sempena sambutan Hari Guru, esok.
"Kami mendapat banyak rayuan dan rungutan daripada guru yang kuota petrol sebanyak 200 liter ketika ini tidak mencukupi.
"Hal ini apabila urusan rasmi terpaksa menggunakan kenderaan sendiri terutamanya untuk hantar pelajar menyertai pelbagai pertandingan sama ada di peringkat daerah dan negeri, apatah lagi peringkat negeri lagi memerlukan perbelanjaan besar dan minyak (petrol) banyak kerana perjalanan jauh," katanya.
Aminuddin berkata, selain menanggung kos petrol, ada juga guru menggunakan wang sendiri untuk membeli peralatan tulis, komputer riba peribadi dan menanggung kos internet bagi tujuan pengajaran serta urusan rasmi.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1555783/nutp-mohon-gubal-akta-perlindungan-guru




Pages: [1]
View full version: NUTP mohon gubal Akta Perlindungan Guru


ADVERTISEMENT