sfhzuraz Publish time 16-5-2026 03:05 PM

Tadahan air Empangan Timah Tasoh kritikal - SPAN

Tadahan air Empangan Timah Tasoh kritikal - SPAN

Oleh Saadiah Ismail - Mei 15, 2026 @ 2:53pm




https://assets.bharian.com.my/images/articles/timah_taso_1778830901.jpg
Empangan Timah Tasoh. Gambar fail



KUALA LUMPUR: Tadahan air di Empangan Timah Tasoh di Perlis dilaporkan berada pada tahap kritikal iaitu hanya 29.74 peratus simpanan semasa, manakala empangan Muda di Kedah berada pada tahap amaran.
Bagaimanapun, Pengarah Seksyen Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail, berkata air terawat yang dibekalkan melalui Loji Rawatan Air (LRA) yang dikendalikan operator air negeri itu berada dalam keadaan terkawal setakat ini.
Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), walaupun negara sedang melalui fasa peralihan monsun, hujan masih berlaku secara berkala di sesetengah negeri dan ia dapat membantu menampung peningkatan paras empangan.
"Perubahan iklim menyebabkan pola cuaca tidak menentu seperti cuaca panas lebih panjang dan hujan tidak sekata, yang berpotensi menekan sumber air jika berlarutan, namun ia masih terkawal melalui pemantauan rapi serta pengurusan berterusan.
"Bagaimanapun, bagi empangan yang berada pada tahap kritikal, terdapat kemungkinan pelaksanaan Bekalan Air Berjadual (BAB) sekiranya keadaan memerlukan berikutan kemerosotan mendadak sumber air mentah, khususnya jika tiada hujan dalam tempoh terdekat.
"Sehubungan itu, pihak SPAN dan operator air akan meneliti langkah mitigasi yang bersesuaian, termasuk kemungkinan membenarkan pelaksanaan BAB secara setempat bagi memanjangkan tempoh ketahanan bekalan air kepada pengguna," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Ahad lalu, BH melaporkan operasi pembenihan awan (OPA) dilaksanakan di Kedah dan Perlis sebagai langkah segera mendepani situasi penyusutan paras air empangan di dua negeri itu yang kini pada tahap waspada dan kritikal.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), operasi itu membawa muatan empat tong bersamaan 6,000 liter larutan garam menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ia sebahagian daripada dua siri OPA bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilaksanakan dari 10 hingga 12 Mei dan 17 hingga 19 Mei ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Fazil berkata, secara keseluruhan, paras empangan bagi beberapa negeri berada pada paras normal dan melebihi 80 peratus khususnya di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
"Dalam beberapa minggu akan datang, unjuran semasa bergantung kepada taburan hujan semasa serta intervensi seperti OPA melalui NADMA yang berjaya menghasilkan hujan di kawasan tadahan empangan utama serta kawasan sekitarnya.
"SPAN bekerjasama rapat dengan semua badan kawal selia sumber air negeri (pengurusan sumber air di negeri) untuk terus memantau rapi paras air empangan dan sungai.
"Pihak SPAN juga bersedia menghadapi kemungkinan tempoh musim kering yang lebih ekstrem dijangka bermula bulan depan hingga Ogos ini melalui Pelan Kesiapsiagaan bersama pihak operator air," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1555727/tadahan-air-empangan-timah-tasoh-kritikal-span




Pages: [1]
View full version: Tadahan air Empangan Timah Tasoh kritikal - SPAN


ADVERTISEMENT