Polis siasat insiden bayi patah paha kanan ketika rawatan jaundis
Polis siasat insiden bayi patah paha kanan ketika rawatan jaundisZuliaty [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Zue_sendphoto_1774507677_1778833038.jpg
KETUA Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan. FOTO arkib NSTP
Sungai Petani: Bayi lelaki yang didakwa patah tulang paha ketika menerima rawatan di sebuah hospital di daerah ini dikategorikan sebagai cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, setakat ini polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mendapatkan pandangan pakar serta mengesan saksi bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian dalam kejadian terbabit.
Beliau berkata, bapa bayi berkenaan sudah membuat laporan polis pada 11 Mei lalu selepas anaknya yang sebelum ini menerima rawatan akibat jaundis didapati mengalami patah paha kanan selepas beberapa hari berada di wad.
"Dua siasatan sedang dilakukan dan kita turut mengatur perjumpaan dengan pihak hospital dan mereka memberi kerjasama penuh.
"Selain itu kita juga mendapatkan bantuan siasatan lain termasuk pandangan pakar, rakaman CCTV dan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya, di sini hari ini.
Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak, manakala pihak hospital turut menjalankan siasatan dalaman.
Beliau berkata, polis sedang meneliti sama terdapat kecederaan dialami bayi terbabit berlaku secara semula jadi atau akibat kecuaian ketika menerima rawatan.
Sebelum ini tular di media sosial berkaitan seorang bapa yang terkejut apabila bayi lelakinya yang ketika kejadian berusia 13 hari didakwa mengalami patah tulang paha kanan ketika menerima rawatan jaundis di hospital.
Dalam pada itu, polis meminta individu atau ahli keluarga pesakit yang berada di wad ketika kejadian tampil membantu siasatan.
Disiarkan pada: Mei 15, 2026 @ 4:17pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/05/1358303/polis-siasat-insiden-bayi-patah-paha-kanan-ketika-rawatan-jaundis
Pages:
[1]