Polis kenal pasti 10 pelajar perempuan terbabit pergaduhan
Polis kenal pasti 10 pelajar perempuan terbabit pergaduhanZuliaty [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hanyan_1778827125.jpg
KETUA Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan menunjukkan video tular pergaduhan membabitkan beberapa pelajar perempuan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Sungai Petani: Polis mengesan rakaman video tular di media sosial memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar di hadapan sebuah sekolah di daerah Kuala Muda, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pergaduhan membabitkan beberapa pelajar perempuan itu disyaki berlaku Rabu lalu antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham.
"Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.
"Polis memberi perhatian dan memantau media sosial yang membabitkan pelajar sekolah.
"Satu laporan polis sudah dibuat oleh Ketua Balai Polis Bedong semalam pada jam 5.30 petang.
"Polis sentiasa memberi perhatian serius terhadap insiden yang membabitkan pelajar sekolah dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, " katanya.
Hanyan berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengenal pasti antara enam hingga 10 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 16 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
"Sebanyak tujuh keterangan diambil bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.
"Siasatan awal mendapati kejadian itu tidak membabitkan unsur gengsterisme, sebaliknya hanya membabitkan pelajar dari sekolah sama yang berselisih faham," katanya.
Hanyan berkata, pihak sekolah sebenarnya sudah cuba menyelesaikan konflik itu, namun pergaduhan tetap berlaku selepas mereka pulang dari sekolah.
Katanya, hanya dua atau tiga pelajar dipercayai benar-benar bergaduh, manakala individu lain cuba meleraikan keadaan sehingga situasi dalam video kelihatan lebih serius.
"Selain itu, didapati hanya berapa pelajar mengalami kecederaan ringan seperti lebam pada badan, namun tiada penggunaan senjata dalam kejadian itu," katanya.
Disiarkan pada: Mei 15, 2026 @ 2:38pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/05/1358244/polis-kenal-pasti-10-pelajar-perempuan-terbabit-pergaduhan
Pages:
[1]