Kebakaran tiga kenderaan, guru wanita panik tak dapat buka pintu
Kebakaran tiga kenderaan, guru wanita panik tak dapat buka pintuZuhainy [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kemalangag1_1778814943.jpg
S SHUGANTHINEE berdepan detik cemas apabila pintu kenderaannya yang terbabit kemalangan di Jalan Masjid Negeri hari ini gagal dibuka. FOTO Ihsan JBPM
Georgetown: Seorang guru wanita berdepan detik cemas apabila pintu kenderaannya yang terbabit kemalangan di Jalan Masjid Negeridi sini, hari ini gagal dibuka.
Dalam kejadian itu, kereta jenis Proton S70 berkenaan antara tiga yang terbakar termasuk treler selepas terbabit kemalangan.
S Shuganthinee, 25, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, dia dalam perjalanan ke sekolah sebelum keretanya dilanggar treler dari arah belakang.
"Lori (treler) berkenaan (mungkin) dipandu laju dan tak sempat brek lalu langgar belakang kereta saya.
"Saya panik bila pintu terkunci dan tidak boleh dibuka, mujurlah orang ramai bantu buka pintu.
"Kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian, saya nampak api di belakang kereta sebelum dua lagi kenderaan turut terbakar," katanya yang tidak mengalami cedera.
Difahamkan dalam kejadian yang berlaku pada waktu puncak itu menyebabkan kesesakan lebih tiga kilometer di kedua-dua arah.
Sebelum ini media melaporkan mengenai kejadian dan operasi pemadaman api membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak sejurus panggilan diterima pada jam 7.04 pagi.
Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, hasil maklumat yang dikemas kini mendapati kemalangan itu membabitkan sebanyak lima kenderaan iaitu treler, van persiaran, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dua kereta.
Katanya, tiga kenderaan iaitu treler, van persiaran dan kereta jenis Proton S70 bagaimanapun terbakar selepas kemalangan itu.
"Akibat kebakaran itu, treler dan van persiaran masing-masing musnah sehingga 90 peratus manakala Proton S70 pula sebanyak 95 peratus.
"Dua lagi kenderaan iaitu Perodua Alza dan Chery Tingo mengalami kerosakan namun tidak terbabit dalam kebakaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut John, semua mangsa yang berusia antara 25 hingga 50 tahun selamat dalam kejadian itu dan punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Disiarkan pada: Mei 15, 2026 @ 11:15am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/05/1358129/kebakaran-tiga-kenderaan-guru-wanita-panik-tak-dapat-buka-pintu
Pages:
[1]