JDT dan Selangor FC wakil negara di pentas ACL dan ACC
JDT dan Selangor FC wakil negara di pentas ACL dan ACCFirdaus [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/acle_1748017086.jpg
PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (kanan) dan Arif Aiman Hanapi. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan dua kelab terbaik negara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC akan mengibarkan bendera Malaysia di pertandingan peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) musim 2025/2026.
Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan MFL hari ini.
JDT yang muncul juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut diberikan tiket beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) manakala Selangor FC diberikan slot dalam ACL II.
Pemberian tiket berkenaan selari dengan syarat yang ditetapkan AFC, di mana juara liga perlu beraksi di ACLE sekali gus skuad Harimau Selatan mempertahankan slot yang diraih sebelum ini.
Pada saingan 2024/2025, JDT mara sehingga ke pusingan 16 terbaik selepas tewas di tangan kelab Thailand, Buriram United.
Selangor FC pula turut dikekalkan selepas naib juara Liga Super itu pada musim lalu membuat kemunculan di ACL II namun tidak mampu melangkah jauh.
Bagi saingan Kelab Asean (ACC) merebut Piala Shopee, MFL menetapkan dua slot ke pertandingan itu diberikan kepada juara Liga Super dan juara pertandingan berformat kalah mati (Piala FA).
Maka, MFL mengesahkan slot itu akan diberikan kepada JDT selaku juara liga dan johan Piala FA, manakala satu lagi slot diberikan juga kepada Selangor selaku naib juara Piala FA.
Disiarkan pada: Mei 24, 2025 @ 12:18am
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2025/05/1222150/jdt-dan-selangor-fc-wakil-negara-di-pentas-acl-dan-acc
Pages:
[1]