Tindakan 'tendang' Kedah, Perak tepat
Tindakan 'tendang' Kedah, Perak tepatOleh Syafiq Aznan - Mei 23, 2025 @ 9:32pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/Kedah_FC7_1748007123.jpg
Pasukan Kedah tidak dapat beraksi pada saingan musim depan selepas tidak mendapat lesen kebangsaan.
KUALA LUMPUR: Penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim memuji tindakan tegas First Instance Body (FIB) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang tidak meluluskan permohonan lesen kebangsaan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC.
Kedua-dua pasukan tersebut gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan apabila permohonan mereka tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan Peraturan Pelesenan MFL.
Justeru, Zulakbal menyifatkan keputusan yang diambil FIB itu adalah sangat tepat kerana tidak memberi peluang sewenang-wenangnya kepada pasukan yang tidak layak bersaing susulan aspek kewangan yang lemah.
Sudah tentu, ia satu kehilangan untuk melihat dua pasukan ini di pentas Liga Super musim depan apatah lagi KDA FC dan Perak FC adalah pasukan yang memiliki sejarah besar dalam arena bola sepak tempatan, tetapi bagi beliau, kewangan yang kukuh adalah keutamaan bagi menjaga kebajikan pemain-pemain pada musim hadapan.
"Saya dapati keputusan FIB dan MFL untuk tidak memberikan lesen kepada Perak dan Kedah adalah satu keputusan terbaik apabila mereka secara rasminya tidak akan beraksi di Liga Super.
"Saya percaya keputusan itu dibuat selepas pertimbangan semasak-masaknya mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan terbukti dua kelab ini gagal untuk memenuhi kriteria.
"Jadi ini menunjukkan bahawa ketegasan pihak FIB dan MFL adalah bagus dan tepat membuat keputusan kerana kedua-dua pasukan itu bukan sahaja tidak menghantar dokumen yang lengkap tetapi rekod mereka juga tidak baik apabila gagal melunaskan hutang-hutang lama.
"Apa yang saya harapkan KDA FC dan Perak FC boleh bangkit semula dan perlahan-lahan mengorak langkah dengan perancangan lebih baik selepas ini," kata Zulakbal.
Terdahulu, badan pengendali liga itu mengumumkan 11 pasukan Liga Super dan dua pasukan AFL A1 yang bertanding pada musim 2024/25 berjaya memperoleh lesen kebangsaan sekali gus melayakkan mereka untuk bersaing dalam pertandingan Liga Super bagi musim 2025/26.
Lapan kelab Liga Super menerima lesen kebangsaan iaitu Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.
Bagaimanapun, tiga pasukan diberikan lesen kebangsaan bersyarat iaitu KL City FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan PDRM FC mengikut artikel 8 (l) MFL CLR.
Dua pasukan Liga AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan apabila permohonan lesen kebangsaan luar biasa dengan merujuk Artikel 15 untuk Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2024/25 bagi saingan Liga Super musim 2025/26 diluluskan oleh FIB.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/05/1399629/tindakan-tendang-kedah-perak-tepat
Pages:
[1]