Pasukan Liga Super dibenarkan daftar 15 pemain import
Pasukan Liga Super dibenarkan daftar 15 pemain importMei 23, 2025 @ 7:48pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/mem_1748000884.jpg
MFL benarkan pasukan Liga Super daftar 15 pemain import musim depan.
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyelaraskan jumlah pendaftaran pemain kepada 30 bagi semua kelab, termasuk yang bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Sebelum ini, kelab ACLE dan ACL2 dibenarkan mendaftar 34 pemain, manakala kelab lain hanya 32 pemain.
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-13 Penggal 2021-2025, semalam.
Mesyuarat sama turut bersetuju membenarkan semua kelab mendaftar maksimum 15 pemain import, dengan kuota sembilan pemain di atas padang (termasuk simpanan) terdiri daripada empat terbuka, seorang Asia dan dua ASEAN.
"Perubahan ini memberi kesaksamaan kepada semua kelab dan meningkatkan daya saing Liga Malaysia, terutama apabila jendela perpindahan kini seragam dengan liga utama dunia," kata MFL.
Sebelum ini, kelab ACLE dan ACL2 dibenar mendaftar 12 pemain asing, berbanding hanya sembilan bagi kelab lain, dengan komposisi 6+1 (empat terbuka, seorang Asia dan seorang ASEAN) di atas padang.
Bagaimanapun, tiada kewajipan untuk memenuhi kuota import itu sepenuhnya kerana bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.
Sementara itu, MFL mengesahkan musim baharu Liga Malaysia akan bermula Ogos 2025, selari dengan liga utama dunia, dengan aksi pembuka tirai Perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.
Jendela perpindahan pertama dibuka dari 9 Jun hingga 31 Ogos ini, manakala jendela kedua bermula 5 Januari hingga 1 Februari 2026.
JDT yang muncul juara Liga Super dan Piala FA 2024-2025 akan beraksi dalam ACL Elit dan Kejohanan Kelab ASEAN, manakala Selangor FC akan mewakili negara dalam ACL 2 serta turut menyertai kejohanan kelab serantau itu sebagai naib juara liga. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/05/1399608/pasukan-liga-super-dibenarkan-daftar-15-pemain-import
Pages:
[1]