tatod Publish time 23-5-2025 08:59 PM

Tubuh Ronaldo 11 tahun lebih muda daripada usianya



London: Cristiano Ronaldo mendakwa tubuhnya secara biologi adalah 11 tahun lebih muda daripada usia sebenarnya, berdasarkan keputusan ujian kecergasan yang dijalankan syarikat teknologi Whoop.

Bintang bola sepak berusia 40 tahun itu, yang kini menjadi duta kepada Whoop, firma pakar dalam penjejakan kesihatan dan kecergasan menjalani analisis terperinci yang mengukur metrik seperti kadar denyutan jantung, variabiliti kadar denyutan jantung, keupayaan pemulihan dan kualiti tidur.

Keputusan ujian tersebut menunjukkan tubuh Ronaldo setara dengan usia 28.9 tahun, lapor Marca.

"Saya tak percaya ia begitu bagus. 28.9," kata Ronaldo dalam podcast Whoop. "Ini bermakna saya akan bermain bola sepak untuk sepuluh tahun lagi."https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2025/05/1222100/tubuh-ronaldo-11-tahun-lebih-muda-daripada-usianya.

Ronaldo memulakan kerjaya profesionalnya pada Ogos 2002 bersama Sporting CP di Portugal.


Sejak itu, pemenang Ballon d'Or lima kali ini bermain dalam 1,277 perlawanan rasmi dan menjaringkan rekod 934 gol dalam semua pertandingan.

Walaupun sudah berusia 40 tahun, Ronaldo masih beraksi di tahap tertinggi. Dalam musim 2024–2025, dia menjaringkan 33 gol dalam 39 penampilan bersama Al Nassr, menjadikannya musim ke-20 berturut-turut dengan dua digit gol

Jika mengekalkan prestasi dan tahap kecergasannya, Ronaldo berkemungkinan besar boleh bersaing dalam Piala Dunia Fifa 2030, yang sebahagiannya akan dianjurkan oleh Portugal dan juga edisi 2034 di Arab Saudi.

Dia kini memegang rekod sebagai penjaring terbanyak peringkat antarabangsa, dengan 136 gol untuk Portugal.

Sementara Ronaldo terus mencabar keupayaannya, ramai rakan sepasukan telah bersara. Bekas rakan sepasukan di Portugal, Ruben Amorim yang juga lahir pada 1985, telah menggantung but pada 2016 dan kini menjadi pengurus Manchester United.

Seorang lagi bekas rakan sepasukannya, Toni Kroos bersara pada 2024 ketika berusia 34 tahun.

Kontrak semasa Ronaldo bersama Al Nassr akan tamat pada 30 Jun. Menurut laporan media, sebuah kelab dari Brazil menyatakan minat untuk menandatanganinya bagi Piala Dunia Kelab Fifa 2025, yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat dari 14 Jun hingga 13 Julai. - HARIAN METRO

Pages: [1]
View full version: Tubuh Ronaldo 11 tahun lebih muda daripada usianya


ADVERTISEMENT