Wei Chong-Kai Wun singkir FeiDin 45 minit
Wei Chong-Kai Wun singkir FeiDin 45 minitSaiful Affendy [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/GOH_SZE_FEI-NUR_IZZUDDIN_81ef11829f09445f9f6d0fcd6ca48947_1747992289.jpg
SZE Fei dan Nur Izzuddin gagal mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena. FOTO Aswadi Alias
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengejutkan pilihan kedua kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi suku akhir Masters Malaysia di Axiata Arena, hari ini.
Beraksi penuh semangat di hadapan penyokong sendiri, pilihan kelima itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 19-21, 21-7, 21-16 dalam perlawanan berlangsung selama 45 minit.
Wei Chong-Kai Wun bermula cemerlang apabila mendahului 11-7 di set pembukaan, namun Sze Fei-Izzuddin yang kini menghuni ranking kedua dunia berjaya bangkit untuk mencuri set pertama.
Enggan mengalah, pasangan ranking kelapan dunia itu mempamerkan permainan agresif di set kedua dengan menguasai perlawanan sehingga mendahului 19-6 sebelum menamatkan set itu dengan kemenangan bergaya 21-7.
Set penentuan menyaksikan pertarungan sengit apabila kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata, namun ketenangan dan ketajaman Wei Chong-Kai Wun di saat genting menjadi pemisah, sekali gus memastikan kemaraan mereka ke separuh akhir, esok.
Kejayaan itu turut menamatkan badi kekalahan mereka kepada Sze Fei-Izzuddin selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini.
Wei Chong-Kai Wun sebelum ini muncul juara Masters Indonesia, Januari lalu dan kini berpeluang menambah koleksi kejuaraan jika terus mengekalkan momentum cemerlang mereka di kejohanan ini.
Disiarkan pada: Mei 23, 2025 @ 5:25pm
https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2025/05/1222031/wei-chong-kai-wun-singkir-feidin-45-minit
Pages:
[1]