sfhzuraz Publish time 22-5-2025 11:03 PM

Keyakinan Verstappen semakin memuncak menjelang GP Monaco

Keyakinan Verstappen semakin memuncak menjelang GP Monaco

AFP



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/AUTO-PRIX-F1-ITA_cde8f53e74ad4308873ef0fad55fd2b0_1747882676.jpg
VERSTAPPEN kembali beraksi di litar kegemarannya. FOTO AFP


Monte Carlo: Juara dunia empat kali, Max Verstappen, kembali ke litar kegemarannya hujung minggu ini dengan keyakinan baharu terhadap prestasi jentera dan pasukannya, namun tetap berwaspada menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Monaco edisi ke-71.
Kemenangan bergaya di Imola hujung minggu lalu ialah kejayaan ke-65 bersama Red Bull dalam memperkukuh status Verstappen sebagai pencabar utama dalam perebutan gelaran dunia kelima, meskipun McLaren mendominasi awal musim ini.
Kemenangan itu juga membolehkan pelumba Belanda itu merapatkan jurang kepada hanya 22 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri, dan sembilan mata daripada Lando Norris.
Namun, Verstappen yang sudah dua kali menjuarai perlumbaan ikonik di jalan raya Monte Carlo, menyedari cabaran unik yang menanti di litar berprestij itu.
Antaranya termasuk peraturan baharu serta reka bentuk litar yang sempit dan berliku di tengah kota bersejarah itu, di mana dia turut memiliki kediaman mewah tidak jauh dari paddock utama.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memperkenalkan peraturan baharu yang mewajibkan dua hentian pit dalam semua keadaan cuaca, sama ada kering atau basah, bagi musim ini.
Perubahan ini sekali gus membuka ruang kepada pasukan seperti McLaren, yang memiliki jentera lincah dan efektif di selekoh perlahan, untuk kembali merampas dominasi.
McLaren kali terakhir menang di Monaco pada 2008 menerusi Lewis Hamilton, yang kini bersama Ferrari.
Penasihat kanan Red Bull, Helmut Marko, turut mengakui potensi ancaman daripada McLaren.
"Keadaan di Monaco boleh jadi sangat berbeza.
"Jentera kami berfungsi dengan baik di Imola hasil kemas kini yang positif, tetapi Monaco adalah cerita lain, semuanya selekoh perlahan dan cabarannya lebih besar," katanya.
Verstappen sendiri mengakui Monaco bukan litar mudah buatnya.
"Tahun lalu ia cukup sukar untuk kami. Saya tidak menjangkakan ia akan menjadi lebih mudah kali ini," katanya.
Dengan hanya lapan perlumbaan musim ini dengan persaingan semakin sengit, GP Monaco dijangka menjadi titik penting dalam perebutan gelaran dunia Formula Satu 2025.


Disiarkan pada: Mei 22, 2025 @ 10:58am
https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2025/05/1221410/keyakinan-verstappen-semakin-memuncak-menjelang-gp-monaco



Pages: [1]
View full version: Keyakinan Verstappen semakin memuncak menjelang GP Monaco


ADVERTISEMENT