Kedah, Perak boleh beraksi di Liga A1
Kedah, Perak boleh beraksi di Liga A1Oleh Syafiq Aznan - Mei 22, 2025 @ 4:29pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/yusoff_mahadi_1747902555.jpg
Yusoff mengalu-alukan Kedah dan Perak beraksi dalam saingan Liga A1 selepas gagal mendapat lesen untuk bersaing pada Liga Super musim depan.
KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC masih boleh 'bernyawa' memandangkan dua gergasi bola sepak tempatan itu boleh meneruskan persaingan dalam Liga A1.
Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya mengalu-alukan kehadiran KDA FC dan Perak FC selepas dua pasukan itu tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim depan susulan kegagalan mendapat lesen kebangsaan.
Yusoff menegaskan saingan amatur itu boleh menjadi ruang untuk mereka terus bersaing dan tidak 'berkubur' sepenuhnya.
"Kita tak mahu bila pasukan jatuh, terus hilang. Liga A1 ini jadi platform untuk KDA FC dan Perak FC terus hidup, terus berjuang," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan kenderaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Terdahulu, KDA FC dan Perak FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas gagal mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi pada musim depan.
Perkembangan itu diumumkan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Shariff dalam satu kenyataan, hari ini.
Sheikh Mohd Nasir menjelaskan dua pasukan itu gagal mendapatkan lesen kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dalam MFL CLR.
Pada masa sama, Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, kejatuhan KDA FC dan Perak FC harus dilihat sebagai satu proses pemulihan untuk mereka kembali menyusun pasukan sebagai persiapan untuk masa akan datang.
"Pasukan seperti ini perlu ruang untuk ambil nafas, susun balik pasukan dan perlahan-lahan bina kekuatan.
"Harapan kita, suatu hari nanti mereka akan kembali ke liga utama," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/05/1399088/kedah-perak-boleh-beraksi-di-liga-a1
Pages:
[1]