Tze Yong 'cuti' dua minggu
Tze Yong 'cuti' dua mingguOleh Sukhairi Thani - Mei 22, 2025 @ 9:41pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/NG_TZE_YONG_022873b004ee47a5a834c1978fb9d442_1747921264.jpg
Tze Yong mengalami kecederaan lutut kanannya ketika bertemu pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada kejohanan Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong disahkan perlu berehat sekurang-kurangnya selama dua minggu selepas mengalami kecederaan lutut ketika beraksi pada pusingan pertama Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, semalam.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan dengan menyatakan pemain ranking ke-239 itu mengalami regangan di bahagian lutut.
"Hasil pemeriksaan perubatan mendapati dia mengalami kecederaan regangan pada lutut dan akan direhatkan sekurang-kurangnya dua minggu bergantung kepada perkembangan semasa.
"BAM mendoakan proses penyembuhan Tze Yong berjalan dengan lancar dan segera sembuh," kata kenyataan itu.
Pada pusingan pertama semalam, Tze Yong mencipta kebangkitan apabila melakar kemenangan pada set pertama 22-20 ketika menentang Angus Ng Ka Long dari Hong Kong.
Ketika sedang mendahului 4-3 di set kedua, Tze Yong secara tiba-tiba hilang keseimbangan sebelum terjatuh dan berikutan insiden itu, pemain berusia 25 tahun berkenaan terpaksa mengambil keputusan menarik diri.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1399213/tze-yong-cuti-dua-minggu
Pages:
[1]