Sze Fei-Izzuddin hanya perlu 30 minit ke suku akhir
Sze Fei-Izzuddin hanya perlu 30 minit ke suku akhirOleh Sukhairi Thani - Mei 22, 2025 @ 5:36pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/GOH_SZE_FEI-NUR_IZZUDDIN_1747906558.jpg
Sze Fei-Izzuddin mara ke suku akhir selepas menewaskan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-19, 21-13 dalam tempoh 30 minit.
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke pentas suku akhir Masters Malaysia 2025 sekali gus bakal membuat perhitungan dengan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, esok.
Pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena hari ini, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan mudah menewaskan beregu Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-19, 21-13 dalam tempoh 30 minit.
Kemenangan itu menyaksikan mereka akan bertemu Wei Chong-Kai Wun yang sebelum itu menewaskan gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-17, 21-13.
Pertembungan di suku akhir nanti adalah yang ketiga buat kedua-dua beregu berkenaan selepas kali terakhir bertemu di Terbuka China 2024 dan Terbuka Jerman 2022 dengan kedua-dua perlawanan dimenangi Sze Fei-Nur Izzuddin.
Mengulas mengenai pertembungan dengan Sze Fei-Nur Izzuddin, Kai Wun berkata, mereka perlu mengubah corak taktikal sekiranya mahu layak ke pusingan seterusnya.
"Perlu ubah sedikit kerana Sze Fei-Nur Izzuddin kini berada di kelompok teratas dunia. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan kita perlu bincang apa yang boleh dilakukan nanti," kata Kai Wun.
Dalam pada itu, Wei Chong berkata, mereka perlu mengekalkan corak konsisten dalam perlawanan bagi menambahkan keyakinan ketika berada di dalam gelanggang.
"Untuk perlawanan seterusnya, saya rasa kita kena bersiap sedia dan konsisten itu paling penting. Kalau ada (konsisten), mungkin kita lawan sesiapapun, kita ada keyakinan sedikit," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1399116/sze-fei-izzuddin-hanya-perlu-30-minit-ke-suku-akhir
Pages:
[1]