Taktik sorok diesel dalam bengkel besi buruk terbongkar
Taktik sorok diesel dalam bengkel besi buruk terbongkarROSLINDA HASHIM
13 Mei 2025 01:13pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/13/3123000.webp
Anggota penguat kuasa memeriksa premis bengkel besi buruk dan pembaikan jentera berat yang dikesan menyorok diesel bersubsidi.
ALOR SETAR - Taktik menyorok minyak diesel bersubsidi di sebuah bengkel besi buruk dan pembaikan jentera berat di Mergong di sini terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan pada jam 8.30 pagi Isnin dilakukan sepasukan penguat kuasa hasil maklumat risikan di bawah Ops Tiris 2025.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di premis tersebut menemukan sebanyak 2,500 liter minyak diesel yang disimpan dalam 13 tong dram berkapasiti 200 liter setiap satu tanpa lesen atau permit sah.
“Turut disita beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel berkenaan.
“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM7,790, termasuk nilai minyak diesel yang dianggarkan RM7,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Muhammad Nizam berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang mengaku sebagai pemilik premis turut berada di lokasi ketika serbuan dilakukan.
“Lelaki tersebut telah diambil keterangan oleh pihak berkuasa dan kemudiannya dilepaskan setelah rakaman percakapan selesai dibuat,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 , yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, individu boleh didenda sehingga RM3 juta, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Dalam pada itu, Muhammad Nizam mengingatkan orang ramai bahawa sebarang urus niaga dan penyimpanan barang kawalan seperti diesel memerlukan kebenaran serta lesen sah daripada pihak berkuasa.
“KPDN tidak akan berkompromi dan akan terus menggempur sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan menerusi inisiatif ‘Kita Gempur’,” tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkannya melalui saluran rasmi seperti portal e-Aduan KPDN, aplikasi EZ ADU atau menghubungi talian 1-800-886-800.
https://www.sinarharian.com.my/article/728174/berita/semasa/taktik-sorok-diesel-dalam-bengkel-besi-buruk-terbongkar
Pages:
[1]