sfhzuraz Publish time 13-5-2025 12:21 PM

'Kalau Nurul Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat?' - Rafizi

'Kalau Nurul Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat?' - Rafizi

M Hifzuddin [email protected]





https://assets.hmetro.com.my/images/articles/DATUK_SERI_RAFIZI_RAMLI_15c10fab78ee494badc24ca3b04cb20c_1747096941.jpg
Rafizi, gambar fail. FOTO Bernama



Kulim: Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kebimbangan sekiranya bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR, perkara itu akan menjadi isu bagi menolak kepimpinan Presiden parti berkenaan.
Berikutan itu, beliau berkata, tidak ada jalan lain selain memastikan kemenangan ke atas Nurul Izzah, sekali gus menjadi Timbalan Presiden yang baharu, walaupun beliau adalah anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, hanya kemenangan Nurul Izzah dapat memastikan tidak berlakunya isu dalaman dan luaran parti serta mengelak tuduhan tidak berasas ke atas Anwar dan keluarganya.
"Kalau Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat? Mesejnya ialah anggota parti sendiri telah menolak Anwar. Sebab itu Izzah mesti menang. Kalau kalah, kita akan masuk pilihan raya umum dalam keadaan tak boleh berdepan dengan pembangkang serta polemik politik yang akan ada di dalam dan luar kerajaan.
"Undilah Nurul Izzah, sebab tak boleh ada keputusan yang lain. Macam mana pun pilihan peribadi, tak boleh ada keputusan berlainan. Kalau Izzah tak menang (maknanya) Anwar ditolak," katanya ketika berucap pada siri Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di sini, malam tadi.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau sedia kehilangan jawatannya dalam memastikan Kerajaan Perpaduan yang PKR menjadi antara sebahagiannya terus dapat melakukan reformasi dalam pentadbiran negara.
Katanya, usaha melakukan perubahan di negara ini adalah lebih utama berbanding dirinya sendiri yang telah lama mengalami naik turun dalam dunia politik, termasuk tidak pernah memegang apa-apa jawatan sebelum ini.
"Itu pendekatan saya kali ini. Tak kisah, cuma saya tak mahu kita masuk pemilihan ini, tapi tiba-tiba kalah besar dalam PRU. Yang di atas itu (pimpinan tertinggi) tidak apa, tak jadi menteri atau wakil rakyat tidak apa. Saya kasihan kepada anda (ahli) semua. Bila kena kempen, muka di hadapan ini yang akan turun dengar ceramah tiap malam.
"Tapi dalam kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden, bila Izzah masuk bertanding, kalau nak parti berada dalam keadaan baik, kita tidak boleh ada keputusan lain daripada Nurul Izzah menang. Kalau Izzah menang, sokong dan bantulah dia kerana beban yang dia akan tanggung beban yang sangat berat dalam keadaan semua ini berlaku," katanya.
Rafizi turut memberi peringatan rakyat sedang memerhati pemilihan PKR kali ini, maka usaha memilih Nurul Izzah ke jawatan Timbalan Presiden pastinya akan dikaitkan dengan tuduhan nepotisme.
Beliau turut merujuk kepada tindakan bekas Presiden Cuba, Fidel Castro, melantik adiknya sendiri ke dalam pentadbiran negara itu suatu ketika dahulu menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan untuk menjatuhkannya sebagai tauladan kepada semua.
"Fidel Castro ketika hidup dalam buangan di Mexico, berkawan dengan Che Guevara, seorang revolusionari. Dalam kumpulan Fidel Castro itu, ada adiknya Raul Castro. Selepas itu, akhirnya Fidel Castro berjaya menumpaskan Jeneral Batista dan mengambil alih jawatan Presiden.
"Fidel Castro, orang nombor dua dia adalah Che Guevara, Raul Castro jadi Menteri Pertahanan. Ada asakan dan persaingan pengaruh siapa dapat siapa.
"Akhirnya, revolusi untuk membebaskan rakyat Cuba daripada belenggu kemiskinan langsung tidak tercapai," katanya.


Disiarkan pada: Mei 13, 2025 @ 8:42am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/05/1217955/kalau-nurul-izzah-kalah-apa-mesej-kepada-rakyat-rafizi



Pages: [1]
View full version: 'Kalau Nurul Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat?' - Rafizi


ADVERTISEMENT