sfhzuraz Publish time 13-5-2025 12:17 PM

Tujuh individu sudah disaman

Tujuh individu sudah disaman

Zuhainy Zulkiffli



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm353merpatis_1747088114.jpg
JALAN Penang antara lokasi panas (hotspot) pemberian makanan kepada burung merpati di George Town. FOTO Zuhainy Zulkiffli


[email protected] ​Georgetown: Serius menangani masalah bawaan burung merpati di bandar raya ini menyebabkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menguatkuasakan larangan memberi makanan kepada burung itu sejak tahun lalu dan mengambil tindakan tegas bermula awal tahun ini.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan kompaun RM250 selain pesalah ingkar atau gagal membayar kompaun boleh dihadapkan ke mahkamah.
Ahli Majlis MBPP yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesihatan Persekitaran, Lee Seng Hwai berkata, sejak kompaun dikuatkuasakan pada Mac lalu, sebanyak tujuh notis dikeluarkan ke atas individu yang bersalah iaitu dua pada Mac dan lima pada April lalu.
Katanya, MBPP juga mengesan 36 lokasi panas yang menjadi tempat pemberian makanan kepada burung merpati yang mana 29 di daerah Timur Laut dan tujuh lagi di Barat Daya.
"Sebanyak 637 aduan mengenai isu ini diterima pada tahun lalu dan 232 lagi pada tahun ini, yang setakat bulan Mac," katanya ketika dihubungi bagi mengulas laporan Harian Metro semalam, mengenai tindakan penduduk bandar raya ini memberi makanan kepada burung merpati, meskipun tertakluk penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
Lee berkata, pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan lembut terlebih dahulu sebelum mengenakan kompaun, bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai bahaya burung merpati khususnya najisnya kepada kesihatan serta menjejaskan imej bandar raya.
"Burung merpati bukan sahaja menyebabkan kacau ganggu, malah najisnya dan najisnya mengotorkan kawasan, mengandungi bakteria, fungus dan bahan organik.
"Apabila kering, ia menghasilkan debu yang akan terapung jika terdapat pergerakan di udara dan memasuki dalam sistem pernafasan.
"Kemungkinan seterusnya akan menjangkiti paru-paru serta sistem saraf manusia dan semua ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar," katanya yang memaklumkan antara penyakit berjangkit berkaitan najis burung adalah jangkitan Histoplasmosis dan Cryptococcosis.
Menurutnya, pembiakan burung merpati yang cepat juga boleh menyebabkan risiko lain sekiranya tidak dikawal.
Beliau berkata, kebanyakan penduduk maklum mengenai larangan pemberian makanan kepada burung merpati, namun alasan tidak mahu membazirkan sisa makanan menyebabkan mereka terus memberi makan kepada burung berkenaan.
"Selain itu, alasan mereka adalah memberi makanan kepada haiwan akan mendapat balasan yang baik," katanya.


Disiarkan pada: Mei 13, 2025 @ 6:15am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/05/1217898/tujuh-individu-sudah-disaman



Pages: [1]
View full version: Tujuh individu sudah disaman


ADVERTISEMENT