sfhzuraz Publish time 12-5-2025 07:21 PM

Kanak-kanak hilang mandi sungai ditemui lemas

Kanak-kanak hilang mandi sungai ditemui lemas

Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mei 12, 2025 @ 4:52pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/budak_lemas_1747039923.jpg
Anggota SAR mengusung mayat Muhammad Aqil Fitri yang ditemui tengah hari tadi. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI


BALING: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Felda Teloi Kanan ketika bermandi-manda bersama lapan rakannya, semalam, ditemui lemas hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, berkata jasad Muhammad Aqil Fitri Hishamudin dijumpai terapung pada jam 1.31 tengah hari, kira-kira 700 meter dari tempat mereka mandi.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kulim, untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di lokasi pencarian mangsa, hari ini.
Beliau memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu disertai 70 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling.
Sementara itu Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali, berkata mangsa dijumpai dalam keadaan terlangkup dengan arus sungai ketika itu tidak terlalu deras.
"Mayat kanak-kanak itu ditemui selepas kaedah pengapungan dilakukan oleh jurumudi bot bomba, selain pusingan di permukaan air untuk menaikkan jasad mangsa," katanya.
Rahimi berkata, mangsa dijumpai selepas hampir lima jam operasi SAR disambung semula pada hari kedua bermula jam 8.30 pagi tadi, hasil maklumat awam yang ternampak jasadnya terapung.
Katanya, operasi SAR turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM bersama tiga anggota serta K9 PDRM, di samping penduduk setempat.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya berdepan kesukaran dalam operasi SAR itu berikutan air sungai terlalu keruh.
Selain itu, beliau berkata, kedalaman sungai yang tidak sekata antara 0.5 meter hingga enam meter turut menyukarkan anggotanya mengendalikan bot di kawasan terbabit.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1395098/kanak-kanak-hilang-mandi-sungai-ditemui-lemas




Pages: [1]
View full version: Kanak-kanak hilang mandi sungai ditemui lemas


ADVERTISEMENT