sfhzuraz Publish time 12-5-2025 07:13 PM

Pulau Pinang ketiga tertinggi pemegang sijil halal di belakang Selangor, Johor

Pulau Pinang ketiga tertinggi pemegang sijil halal di belakang Selangor, Johor

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 12, 2025 @ 6:16pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/BHALAL_1747044972.jpg
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kiri) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (lima dari kiri) pada Pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang di Seberang Jaya. - NSTP/DANIAL SAAD


BUTTERWORTH: Pulau Pinang berada pada kedudukan ketiga tertinggi dalam jumlah pemegang Sijil Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) di belakang Selangor dan Johor.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, sebanyak 870 syarikat di Pulau Pinang berdaftar dan memiliki sijil halal aktif merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan serta minuman, farmaseutikal, kosmetik, barangan pengguna, rumah sembelihan, logistik dan peranti perubatan setakat April lalu.
"Pencapaian ini hasil komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan industri halal melalui transformasi tadbir urus dan peningkatan kecekapan sistem pensijilan.
"Kerajaan negeri menambah kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan Halal Negeri kepada dua kali sebulan bagi mempercepatkan proses kelulusan dan menangani isu berkaitan pensijilan dengan lebih tuntas," katanya pada Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan Pulau Pinang negeri pertama menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri sebagai langkah membentuk ekosistem halal lebih sistematik dan berdaya saing.
Mohamad dalam perkembangan sama berkata, pelancaran MPIHPP bukan sekadar simbolik, malah memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam membina ekosistem halal menyeluruh daripada peringkat pengeluaran, pengedaran sehingga sampai ke tangan pengguna akhir.
"Kerajaan negeri komited menyediakan prasarana kondusif, dasar mesra pelabur serta sokongan teknikal dan latihan kepada semua pemain industri bagi memastikan ekosistem halal berkembang dengan pesat.
"Kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan bilangan pemegang sijil halal dalam kalangan usahawan Bumiputera secara lebih signifikan kerana SPHM membolehkan mereka bersaing secara kompetitif di peringkat global, sekali gus meningkatkan sosioekonomi komuniti tersebut," katanya.
Katanya, inisiatif seperti program pembangunan kapasiti untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemadanan perniagaan halal dengan pemain industri global akan terus diperkasa.
Penubuhan MPIHPP membabitkan kerjasama 25 jabatan dan agensi kerajaan seiring penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia pada peringkat Persekutuan.
"Saya yakin sinergi antara kedua-dua pihak mampu menjadikan Pulau Pinang antara peneraju industri halal global dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1395129/pulau-pinang-ketiga-tertinggi-pemegang-sijil-halal-di-belakang




Pages: [1]
View full version: Pulau Pinang ketiga tertinggi pemegang sijil halal di belakang Selangor, Johor


ADVERTISEMENT