TASK inisiatif Sultan Sallehuddin ringankan beban golongan miskin
Edited by sfhzuraz at 12-5-2025 12:52 AMTASK inisiatif Sultan Sallehuddin ringankan beban golongan miskin
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
11 Mei 2025 04:15pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/11/3120702.webp
Sultan Sallehuddin berkenan berangkat ke Majlis Menjunjung Duli ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, di Alor Setar pada Ahad.
ALOR SETAR – Keprihatinan mendalam Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah terhadap nasib golongan kurang bernasib baik diterjemahkan melalui penubuhan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), sebuah inisiatif yang bertujuan membantu rakyat miskin dan terpinggir di negeri ini.
Tabung yang dilancarkan dengan perkenan baginda ini bukan sekadar sebuah tabung, tetapi merupakan platform menyeluruh yang mengajak semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan masyarakat untuk berganding bahu membantu mereka yang memerlukan.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali, TASK mencerminkan komitmen berterusan baginda dalam memastikan pengagihan sumber ekonomi yang lebih saksama serta membina negeri Kedah yang lebih sejahtera.
“Sebagai Raja yang berjiwa rakyat, baginda Tuanku Sultan telah berkenan mewujudkan TASK yang bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan miskin.
"TASK telah berperanan mengimbangi pengagihan ekonomi yang lebih adil dan saksama serta menjadi wadah untuk semua pihak berganding bahu, berbakti dan berbudi kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Menjunjung Duli ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, di sini.
Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Sallehuddin serta kerabat diraja termasuk Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah; Raja Puan Muda, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota, Tunku Shazuddin Ariff; dan Tunku Puan Mahkota, Che Puan Nur Julie Ariff.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Norizan berkata lagi, TASK digerakkan berasaskan enam teras utama iaitu pendidikan; kesihatan dan kesejahteraan; kebajikan sosial; sukan; pemuliharaan alam sekitar; dan perlindungan haiwan.
Menurutnya, keunikan TASK terserlah apabila Sultan Kedah sendiri turun padang melihat kesusahan rakyat seperti komuniti nelayan di Kuala Kedah yang berdepan isu bekalan air, hinggalah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.
"Baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap para peniaga dengan mengadakan lawatan ke premis-premis perniagaan seperti di Arked Tanjung Dawai, Pekan Kuala Nerang, Jerlun dan Pokok Sena bagi mendapatkan maklumat secara langsung berhubung keadaan semasa perniagaan serta cabaran yang dihadapi mereka.
"Keprihatinan berterusan baginda bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memperkukuh hubungan mesra antara institusi diraja dan rakyat jelata," katanya lagi.
Tambah beliau, watak kepimpinan Sultan Sallehuddin turut menjadi contoh kepada pentadbiran negeri.
Jelasnya, berbekalkan latar belakang ketenteraan, baginda dikenali sebagai seorang yang berdisiplin, menepati masa, kemas dan berprinsip – seiring dengan nilai-nilai yang kini menjadi budaya kerja pentadbiran negeri melalui falsafah K.E.D.A.H iaitu Kekuatan, Empati, Disiplin, Amanah dan Hargai.
“Ciri-ciri ini telah menyuntik semangat baharu dalam sistem pentadbiran Kedah, menjadikannya lebih mesra rakyat, cekap dan berintegriti,” ujar Norizan.
https://www.sinarharian.com.my/article/727877/edisi/utara/task-inisiatif-sultan-sallehuddin-ringankan-beban-golongan-miskin
Pages:
[1]