sfhzuraz Publish time 10-5-2025 05:04 PM

Faisal rasa bagai dilahirkan semula

Faisal rasa bagai dilahirkan semula

Siti Aminah Mohd [email protected]




https://assets.hmetro.com.my/images/articles/faisal222_1746865850.jpg
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim (dua, kanan) beramah mesra dengan pemain Selangor FC, Faisal Halim (kiri) pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di padang Homestay Mengkuang Titi, Kubang Semang hari ini. FOTO BERNAMA



Bukit Mertajam: Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui teruja menanti pengumuman senarai pemain yang bakal diturunkan menjelang aksi Malaysia menentang menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan depan.
Bekas penjaring gol terbanyak Piala Asia 2023 itu berpandangan peluang Malaysia untuk menewaskan Vietnam dalam pusingan kelayakan masih terbuka luas kerana saingan itu masih berada pada peringkat awal.
"Sudah tentu semua pemain menunggu senarai nama, saya pun tak pasti sama ada nama saya berada dalam skuad kebangsaan ataupun tidak tetapi saya bersedia memberi 100 peratus untuk pasukan jika diberi peluang.
"Sesiapa sahaja yang terpilih sudah tentu akan beri yang terbaik sebab (apabila) kita bermain di laman sendiri kita ibarat sudah ada satu kemenangan walaupun kita tahu Vietnam adalah antara pasukan terbaik.
"Tetapi dalam masa terdekat, pasukan Malaysia juga cuba menjadi pasukan terbaik dan saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk menunjukkan prestasi kita," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di sini, hari ini.
Faisal secara peribadi turut menyifatkan, peluang menyarung jersi kebangsaan sebagai anugerah terbesar dalam kerjayanya dan berasa bagai dilahirkan semula dalam situasi dirinya bergelut dan sentiasa bekerja keras untuk kembali kepada prestasi asalnya.
"Saya rasa ibarat macam baru lahir, walaupun orang nampak saya boleh bermain, saya ada 'speed' (kelajuan) tapi 'struggle' itu macam mana payah, keras dan sukarnya saya kembali saya percaya dengan usaha yang ikhlas, insya-Allah saya akan teruskan selagi mampu," katanya.
Terdahulu, penyerang Selangor FC itu berkata, kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim yang diadakan di kampung halamannya bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu yang sukar keluar menonjolkan diri sekali gus mengetengahkan bakat mereka.
Dia secara sukarela berkorban masa rehat menjadi jurulatih dalam tempoh dua minggu menjelang kejohanan berkenaan turut bertindak mengehadkan hanya tiga pemain dari akademi tunas (AT) boleh didafarkan dalam setiap pasukan dalam format pertandingan kalah mati itu.
"Sebelum ini apabila kita menganjurkannya secara bebas, semua peserta yang sudah ada kualiti seperti dari AT semua masuk main jadi pemain yang kurang kualiti terpinggir dan susah dapat peluang sedangkan bukan kemenangan yang kita cari tetapi mencungkil bakat.
"Apa yang saya boleh katakan 90 peratus peserta adalah anak-anak dari Kampung Mengkuang Titi dan saya dapat rasakan ada perubahan drastik walaupun tak mudah sebenarnya menjadi jurulatih tetapi ini rezeki mereka juga dapat berlatih dengan saya.
"Kalau ikutkan, lebih baik saya pergi bercuti tapi saya tinggal di kampung untuk memberi sedikit ilmu walaupun tak banyak untuk mereka dan saya rasa mereka pun gembira walaupun saya garang, mereka tak takut dengan saya," ujarnya.


Disiarkan pada: Mei 10, 2025 @ 4:31pm
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2025/05/1217139/faisal-rasa-bagai-dilahirkan-semula



Pages: [1]
View full version: Faisal rasa bagai dilahirkan semula


ADVERTISEMENT