sfhzuraz Publish time 10-5-2025 01:45 AM

Sultan Kedah titah jemaah haji jaga adab, kesihatan

Sultan Kedah titah jemaah haji jaga adab, kesihatan

ROSHILA MURNI ROSLI
09 Mei 2025 07:55pm




https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/09/3118761.webp
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencemar duli hadir ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji Kedah bagi musim haji 1446H/2025M di sini pada Jumaat.


ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan nasihat kepada para jemaah haji negeri ini agar menjaga adab, kesihatan dan memanfaatkan ibadah sebaiknya ketika berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah agar semua bakal haji mengambil peluang mengerjakan ibadah tersebut dengan penuh tertib dan disiplin.

“Beta berharap para jemaah dapat melaksanakan ibadah haji yang disyariatkan dengan sempurna seperti yang dipelajari semasa kursus haji.
“Elakkan pembaziran masa dengan perkara yang tidak berfaedah seperti berbual kosong atau bermain telefon,” titah baginda semasa Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji Kedah bagi musim haji 1446H/2025M di sini, pada Jumaat.

Baginda turut mengingatkan jemaah haji supaya menjaga nama baik negara dengan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Beta berharap jemaah menjaga adab dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara dan hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Patuhi dan hormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi, dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mencemar imej jemaah haji Malaysia, yang dikenali sebagai jemaah berdisiplin dan beradab.
“Beta turut menzahirkan penghargaan kepada Tabung Haji (TH) atas usaha berterusan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji saban tahun,” titah baginda.

Dalam titahnya, Sultan Sallehuddin turut menyeru jemaah haji agar mendoakan kesejahteraan dan keberkatan berpanjangan untuk negeri Kedah dan Malaysia, serta mendoakan saudara seagama di bumi Palestin dan negara-negara Islam lain yang sedang menghadapi kesukaran.


“Doakan agar mereka diberikan kekuatan dan kesabaran. Semoga Allah memberikan jalan penyelesaian terbaik buat mereka,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah dan mendoakan agar mereka pulang sebagai haji yang mabrur.
Dalam majlis berkenaan, seramai 143 orang bakal jemaah haji dari negeri Kedah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim, di sini, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijadualkan bertolak ke Tanah Suci pada jam 1.35 pagi keesokan harinya menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines.
https://www.sinarharian.com.my/article/727609/edisi/utara/sultan-kedah-titah-jemaah-haji-jaga-adab-kesihatan


Pages: [1]
View full version: Sultan Kedah titah jemaah haji jaga adab, kesihatan


ADVERTISEMENT