sfhzuraz Publish time 9-5-2025 03:19 PM

Pulau Pinang kaji semula bantuan i-Sejahtera

Edited by sfhzuraz at 9-5-2025 03:21 PM

Pulau Pinang kaji semula bantuan i-Sejahtera

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
09 Mei 2025 02:24pm



https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/09/3118148.webp
Kon Yeow (empat dari kanan) melancarkan The Malaysia Gold & Jewellery Trade Exhibition 2025 di Spice Arena pada Jumaat.


GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedang meneliti semula pelaksanaan program bantuan kebajikan sosial i-Sejahtera susulan peningkatan perbelanjaan setiap tahun serta keperluan untuk menyesuaikannya dengan situasi semasa.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, peuntukan untuk bantuan tersebut bagi tahun ini adalah kira-kira RM54 juta manakala RM52 juta bagi tahun 2024.

Menurutnya, satu kajian berhubung program itu telah disiapkan, namun sebarang keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan.
"Kajian tersebut dilakukan bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar yang memerlukan.

“Program i-Sejahtera melibatkan perbelanjaan besar. Jika mahu diteruskan sepenuhnya, komitmen kewangan kerajaan negeri juga perlu kukuh.
“Justeru, kajian ini turut mengambil kira kemungkinan untuk mengurangkan atau membatalkan beberapa kategori bantuan yang tidak lagi relevan, selain memperkenalkan inisiatif baharu yang lebih sesuai dengan keadaan semasa,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan The Malaysia Gold & Jewellery Trade Exhibition 2025 di Spice Arena di sini pada Jumaat.
Program i-Sejahtera merupakan sumbangan penghargaan dan keprihatinan Kerajaan Pulau Pinang yang berbentuk kewangan secara setahun sekali kepada rakyat Pulau Pinang iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan bayi berusia dua tahun ke bawah.
Sejumlah RM49,457,000 dibayar kepada 274,151 penerima di bawah Program i-Sejahtera Fasa 1 Tahun 2025 mulai Mac lalu.

Tambah beliau, Exco kerajaan negeri berkaitan akan mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu sebelum membentangkan hasil kajian kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, terdapat kemungkinan pertindihan dengan program bantuan kerajaan Persekutuan dan sekiranya berlaku, kerajaan negeri tidak perlu meneruskan program yang sama.
“Kita perlu menyusun semula sumber yang ada dan menggunakan peruntukan yang terhad dengan sebaik mungkin.
"Namun ini tidak bermakna bantuan sedia ada akan dikurangkan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, peningkatan bilangan pendaftaran setiap tahun terutama dalam kalangan warga emas turut menjadi faktor utama peningkatan kos perbelanjaan program berkenaan.
“Sebagai contoh jangka hayat yang semakin panjang menyebabkan lebih ramai warga emas mendaftar, sekali gus meningkatkan peruntukan diperlukan bagi kategori tersebut,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak bercadang membatalkan keseluruhan program i-Sejahtera, sebaliknya hanya menyelaraskan dan menyesuaikan pelaksanaan mengikut keperluan semasa serta kedudukan kewangan negeri.
“Kita sedang menilai semula dan akan membuat keputusan terbaik demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/727521/edisi/utara/pulau-pinang-kaji-semula-bantuan-i-sejahtera


Pages: [1]
View full version: Pulau Pinang kaji semula bantuan i-Sejahtera


ADVERTISEMENT