sfhzuraz Publish time 9-5-2025 12:31 PM

CAP dakwa ada pelajar 'sarapan pagi' dengan vape

CAP dakwa ada pelajar 'sarapan pagi' dengan vape

Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mei 9, 2025 @ 12:22pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/hm335vapers_1746764518.jpg
Foto hiasan.


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu pihak pentadbir negeri yang masih belum mengharamkan penjualan vape dan e-rokok supaya segera berbuat demikian.
Tindakan itu demi menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan pelajar sekolah sebelum ia memusnahkan kehidupan mereka.
Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis antirokok, NV Subbarow berkata, kini individu yang masih muda dengan umur antara lapan hingga 16 tahun sudah mengamalkan tabiat menghisap vape dan e-rokok.
Malah, katanya, ada pelajar menghisap vape sebelum memasuki bilik darjah dan beberapa masalah sosial sudah wujud akibat pengambilannya.
"CAP kecewa dengan beberapa negeri yang masih tidak mengambil inisiatif pengharaman vape dan e-rokok berkenaan.
"Ada pelajar yang menghisap vape pada waktu pagi dan tidak mahu lagi mengambil sarapan pagi. Sarapan pagi bagi pelajar ini adalah cecair vape.
"Walaupun pihak sekolah mengharamkan vape dalam sekolah, mereka pandai membawa dan 'menyeludup' masuk ke dalam kawasan itu," katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Subbarow berkata, CAP merayu pihak berkuasa berkenaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil tindakan lebih tegas ke atas masalah itu dalam kalangan pelajar dan mahasiswa di negara ini.
"Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini menyarankan penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara sepenuhnya.
"Masalah vape bukan sahaja di Pahang tetapi seluruh negara. Diharap pemerintah negeri dan KKM akur dengan titah itu dengan segera demi menyelamatkan nyawa generasi akan datang," katanya lagi.
Subbarow berkata, pihaknya kesal video tular memaparkan sekumpulan pelajar sekolah di Selangor menghisap vape berhampiran surau baru-baru ini.
"Mereka masih di bangku sekolah dan belum tamatkan pengajian.
"Jika tindakan tegas tidak ambil, negara akan menghadapi masalah lebih besar dan tidak boleh diselesaikan," katanya.
Terdahulu, video berdurasi lebih satu minit memaparkan pelajar lengkap berbaju sekolah dengan bersahaja menghisap rokok elektrik atau vape di kawasan surau.
Pihak sekolah turut mengesahkan kejadian itu dan akan mengambil tindakan disiplin sewajarnya terhadap pelajar terbabit mengikut garis panduan ditetapkan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1393981/cap-dakwa-ada-pelajar-sarapan-pagi-dengan-vape




Pages: [1]
View full version: CAP dakwa ada pelajar 'sarapan pagi' dengan vape


ADVERTISEMENT