Spesies burung hijrah merosot, CAP gesa pastikan Malaysia kekal lokasi perlindungan selamat
Spesies burung hijrah merosot, CAP gesa pastikan Malaysia kekal lokasi perlindungan selamatOleh Zuhainy Zulkiffli - Mei 9, 2025 @ 11:15am
https://assets.bharian.com.my/images/articles/496001594_1100799955421695_6708349616344200318_n_193f12718f77433db015ba8dd7cb115_1746760500.jpg
Foto hiasan. - FB Consumer Association Penang/ Borneo Post
GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan sektor swasta berganding bahu melindungi laluan burung hijrah, selain memastikan Malaysia kekal sebagai tempat perlindungan selamat bagi spesis berkenaan.
Ia mengambil kira fungsi Malaysia sebagai tempat persinggahan penting kepada lebih daripada 50 juta burung air yang berhijrah, daripada lebih 250 populasi berbeza.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia terletak di sepanjang Laluan Terbang Asia Timur Australasia yang menjadi laluan burung hijrah utama di dunia.
Katanya, burung berkenaan menggunakan tanah lembap, paya bakau, kawasan lumpur, kukup dan kawasan berhutan di seluruh Malaysia untuk berehat serta mendapatkan makanan dalam perjalanan antara tempat pembiakan di utara seperti Siberia dan China, juga kawasan bukan pembiakan di selatan termasuk Australia dan Indonesia.
"Menurut penyelidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, data daripada Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menunjukkan kira-kira 44 peratus spesies hijrah di seluruh dunia mengalami kemerosotan dengan satu daripada setiap lima spesies menghadapi kepupusan.
"Kebanyakan burung ini melalui tapak utama di Malaysia seperti Kuala Gula di Perak, Tanjung Tuan di Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Selangor yang mana ia bergantung kepada kawasan lumpur, paya bakau dan tanah lembap pesisir pantai bagi meneruskan perjalanan yang panjang," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohideen berkata, pembandaran pesat, tebus guna tanah, akuakultur, pencemaran serta perubahan iklim yang menyusut mengecilkan ruang semula jadi diperlukan burung hijrah bagi berehat dan mendapatkan makanan.
Katanya, pencemaran cahaya dari bandar yang semakin berkembang seperti Kuala Lumpur juga mengelirukan burung terbabit pada waktu malam, manakala kehilangan habitat dan saliran tanah lembap mengurangkan bekalan makanan dan tempat berehat.
"Walaupun Malaysia menetapkan beberapa tanah lembap Tapak Ramsar bagi perlindungan termasuk di Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor, penguatkuasaan dan pembangunan mampan kekal kritikal.
"Antara burung hijrah terancam mengunjung Malaysia ialah Nordmann's Greenshank, dengan kurang daripada 1,000 ekor masih tinggal di seluruh dunia; the Spoon-billed Sandpiper (hanya beberapa ratus ekor lagi masih tinggal); dan Siberian (Snow) Crane iaitu spesies burung hijrah paling jarang di dunia.
"Burung ini sangat terdedah kepada gangguan habitat dan bilangannya semakin berkurangan," katanya.
Menurut Mohideen, Pertubuhan seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan CAP menerajui usaha kesedaran.
"Peranan Malaysia penting dan masa depan burung-burung ini bergantung kepada penyelidikan berterusan, pemantauan, perlindungan habitat dan pendidikan awam," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1393952/spesies-burung-hijrah-merosot-cap-gesa-pastikan-malaysia-kekal
Pages:
[1]