Kes simbah asid Faisal Halim diklasifikasikan NFA
Kes simbah asid Faisal Halim diklasifikasikan NFAOleh Syafiq Aznan - Mei 8, 2025 @ 12:15pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/faisalhalim322_1746679707.jpg
Pemain Selangor FC, Faisal Halim merasa sebak pada sidang media penampilan pertama selepas insiden simbah asid di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun tahun lalu. - Foto NSTP/Faiz Anuar
KAJANG: Kes serangan simbah asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim setahun lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkembangan itu disahkan peguam yang mewakili pemain itu, Nik Zarith Nik Moustpha dalam satu sidang media di Kajang, sebentar tadi.
Nik Zarith menjelaskan, kes itu diklasifikasikan sebagai NFA selepas siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membuahkan sebarang hasil.
"Kita menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). Surat itu bertarikh 18 Februari dan kita terima pada 20 Februari lalu.
"Surat terbabit menyatakan PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek," katanya.
Pada 5 Mei tahun lalu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Susulan itu, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey terpaksa menjalani pembedahan beberapa kali ekoran insiden itu.
Malah pada persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor Julai tahun lalu, menyaksikan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet diluluskan secara konsensus oleh kesemua ADUN.
Antara lain, ADUN Selangor turut mendesak supaya siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kes berkenaan dan dapatan kes didedahkan untuk pengetahuan awam.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/05/1393546/kes-simbah-asid-faisal-halim-diklasifikasikan-nfa
Pages:
[1]