Peluang Hakim Danish buru kejuaraan sulung
Peluang Hakim Danish buru kejuaraan sulungOleh Sukhairi Thani - Mei 7, 2025 @ 6:23pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/daniss_1746613388.jpg
Hakim Danish (belakang) akan kembali ke kancah saingan Kejuaraan Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025 hujung minggu ini.
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bakal mengharungi perlumbaan untuk minggu ketiga berturut-turut hujung minggu ini apabila kembali ke kancah saingan Kejuaraan Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025.
Hakim Danish yang masih segar dengan kejayaan penamat di tempat kedua di Kejuaraan Dunia JuniorGP di Litar Estoril, Portugal hujung minggu lalu akan meneruskan cabaran musim di Litar Le Mans, Perancis bagi mengharungi Pusingan 2 RBRC - pentas yang menyaksikan dirinya meraih dua penamat di tempat kedua pada Pusingan 1 di Litar Jerez, Sepanyol, 26 dan 27 April lalu.
Dalam tempoh tiga minggu lalu, pelumba berusia 17 tahun itu berjaya menunjukkan prestasi konsisten di kedua-dua kejuaraan berkenaan dan momentum berkenaan diharap dapat dikekalkan di Le Mans nanti.
"Harap dapat buat keputusan yang terbaik di Le Mans nanti dan saya sangat bersemangat untuk berlumba di sana," kata Hakim Danish yang kini mendahului carta pelumba RBRC dengan 40 mata kepada BH Sukan.
Hanya dua mata memisahkannya dengan pencabar terdekat di tempat kedua, Carter Thompson dan 15 mata di hadapan pemenang Pusingan 1 JuniorGP di Litar Estoril, minggu lalu, Brian Uriarte yang kini berada di tempat ketiga carta RBRC.
"Saya harap rakyat Malaysia dapat doakan kejayaan saya di Le Mans dan saya akan buat sehabis baik," kata pelumba dari Terengganu itu yang menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga dan keenam bagi Perlumbaan 1 RBRC di Le Mans musim lalu.
Selepas perlumbaan di Le Mans, Hakim Danish dijadual pulang seketika ke tanah air sebelum menyambung jadual padatnya dengan kembali ke saingan JuniorGP di Litar Jerez pada 1 Jun ini sebelum ke Aragon, Sepanyol seminggu selepas itu untuk Pusingan 3 RBRC.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/05/1393333/peluang-hakim-danish-buru-kejuaraan-sulung
Pages:
[1]