sfhzuraz Publish time 7-5-2025 01:55 AM

Legenda Argentina, Luis Galvan meninggal dunia

Legenda Argentina, Luis Galvan meninggal dunia

AFP



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/FILES-FBL-ARG-WC-1978-GALVAN-DEATH_1746541246.jpg
GALVAN (berdiri tiga dari kiri) antara pertahanan berwibawa Argentina. FOTO AFP


Buenos Aires: Bekas pertahanan kental Argentina, Luis Galvan yang menjadi tonggak kejayaan skuad La Albiceleste menjulang Piala Dunia 1978, meninggal dunia semalam pada usia 77 tahun.
Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dalam satu kenyataan memaklumkan Galvan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Cordoba selepas beberapa minggu dirawat akibat masalah buah pinggang.
Galvan yang membentuk gandingan kukuh di benteng tengah bersama kapten Daniel Passarella, memainkan peranan penting dalam kesemua perlawanan Argentina sepanjang kempen Piala Dunia 1978 yang menyaksikan mereka menewaskan Belanda 3-1 selepas masa tambahan di final.
"Persatuan Bola Sepak Argentina, menerusi Presidennya Claudio Tapia, merakamkan ucapan takziah atas pemergian Luis Galvan, bekas pemain kebangsaan yang menjulang Piala Dunia 1978. Takziah diucapkan kepada keluarga dan semua yang mengenali beliau," kata kenyataan AFA.
Sepanjang karier kelab, Galvan paling dikenali menerusi lebih 250 penampilannya bersama Talleres de Cordoba, selain turut beraksi pada Piala Dunia 1982 di Sepanyol.
Namun pada edisi itu, ramai tonggak 1978 sudah dimamah usia, termasuk Galvan yang ketika itu berusia 34 tahun – menyukarkan mereka untuk bersaing menentang pasukan seperti Brazil dan Itali dalam pusingan kedua, apabila Argentina tewas 1-3 dan 1-2.
Penjaga gol legenda Argentina, Ubaldo Fillol – rakan sepasukan Galvan pada kedua-dua kempen Piala Dunia – menyifatkan mendiang sebagai insan istimewa.
"Beliau seorang pertahanan hebat, dan seorang manusia yang jauh lebih hebat. Satu penghormatan dapat bermain bersama kamu. Salam takziah buat keluarganya," kata Fillol.
Pemergian Galvan hadir hanya dua minggu selepas satu lagi ikon Argentina, Hugo Gatti, meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Gatti, yang digelar 'El Loco', dijangka menjadi penjaga gol utama Argentina pada Piala Dunia 1978 sebelum kecederaan lutut menyebabkannya digantikan oleh Fillol.
Beliau masih memegang rekod perlawanan terbanyak dalam liga utama Argentina, dengan 765 aksi dari tahun 1962 hingga 1988.
Disiarkan pada: Mei 6, 2025 @ 10:21pmhttps://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2025/05/1215760/legenda-argentina-luis-galvan-meninggal-dunia





Pages: [1]
View full version: Legenda Argentina, Luis Galvan meninggal dunia


ADVERTISEMENT