Zulfahmi mahu Hakim Danish kekal prestasi cemerlang
Zulfahmi mahu Hakim Danish kekal prestasi cemerlangOleh Khairil S Iswan - Mei 6, 2025 @ 6:53pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhkimimoto_1746529116.jpg
Hakim Danish meraikan kejayaan bersama kru pasukan. - Foto ZK Racing
KUALA LUMPUR: Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli diharap mengekalkan prestasi cemerlang apabila beraksi pada pusingan dua Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Le Mans, Perancis, hujung minggu ini.
Pelumba berusia 17 tahun itu akan mengharungi minggu perlumbaan ketiga berturut-turut selepas permulaan musim yang meyakinkan apabila menamatkan kesemua perlumbaan di pentas podium.
Pada pusingan pembukaan RBMRC di Jerez, Sepanyol dua minggu lalu, pelumba kelahiran Terengganu itu cemerlang meraih petak utama sebelum menamatkan kedua-dua perlumbaan sebagai naib juara.
Kejayaan itu diulangi pada pusingan pertama Kejuaraan Dunia FIM Junior GP (JrGP) minggu lalu di Estoril, Portugal yang menyaksikannya turut meraih tempat kedua.
Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata pihaknya sudah melakukan persiapan rapi bagi memastikan pelumba itu kekal kompetitif.
"Hakim Danish memulakan tahun ini dengan sangat konsisten. Fokus kami sekarang adalah mengekalkan momentum ini.
"Dua perlumbaan seterusnya sangat penting dan kami percaya dengan perancangan pasukan akan membantu. Kami juga banyak belajar daripada musim lalu," katanya.
Zulfahmi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong perjalanan karier Hakim Danish termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Litar Antarabangsa Sepang, Terengganu Inc dan RCB.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/05/1392926/zulfahmi-mahu-hakim-danish-kekal-prestasi-cemerlang
Pages:
[1]