Tang Jie-Wen Tse mula langkah kanan di Terbuka Taiwan
Tang Jie-Wen Tse mula langkah kanan di Terbuka TaiwanOleh Helmi Talkah - Mei 6, 2025 @ 11:59pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/tsdgwnhr_1746547167.jpg
Chen Tang Jie bermula baik di Terbuka Taiwan dengan memenangi acara beregu campuran bersama Chan Wen Tse dan acara beregu lelaki bersama Wong Vin Sean. - Foto AFP
KUALA LUMPUR: Gandingan baharu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Chan Wen Tse mempamerkan permulaan cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Taiwan selepas menewaskan pasangan Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 21-17, 21-17 hari ini.
Kemenangan itu hadir pada penampilan sulung Tang Jie bersama Wen Tse, susulan perpisahan sementara Tang Jie dengan gandingan asalnya, Toh Ee Wei.
Seterusnya, mereka akan berdepan cabaran pasangan Indonesia, Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata pada aksi pusingan kedua Khamis ini.
Sementara itu, Tang Jie turut mencipta kejayaan dalam acara beregu lelaki bersama Wong Vin Sean apabila berjaya melepasi halangan pusingan kelayakan untuk mara ke undian utama.
Mereka terlebih dahulu menundukkan gandingan Republik Czech, Jiri Kral-Ondrej Kral 25-23, 21-18 dalam tempoh 37 minit sebelum mengatasi pasangan Choi Sol Gyu-Goh V Shem 21-18, 21-17 dalam perlawanan kedua kelayakan.
Tang Jie-Vin Sean dijadualkan menentang pasangan tuan rumah, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen pada aksi pusingan pertama esok.
Dalam acara perseorangan lelaki, Tan Jia Jie menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit dalam kedua-dua aksi kelayakan untuk menempah tempat ke undian utama.
Pemain ranking ke-83 dunia itu menewaskan pemain India, M Mithun 17-21, 21-19, 21-9 sebelum mengejutkan seorang lagi wakil India, Manraj Singh 9-21, 21-19, 22-20.
Jia Jie akan bertemu rakan senegara, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang menghuni ranking ke-50 dunia pada pusingan pertama esok.
Dalam acara beregu wanita, pasangan baharu negara, Cheng Su Hui-Tan Zhing Yi turut mara ke undian utama selepas mengetepikan dua pasangan Taiwan.
Mereka menewaskan Chen Hsuan Ni-Hsieh Yi Tsen 21-11, 21-18 dalam masa 27 minit sebelum menang ke atas Jiang Yi Hua-Wen Hao Yun 26-24, 21-15.
Su Hui-Zhing Yi akan berdepan pasangan Indonesia yang baru digandingkan, Apriyani Rahayu-Febi Setianingrum pada pusingan pertama.
Dalam saingan beregu lelaki, Goh Boon Zhe-Loo Bing Kun turut melangkah ke undian utama selepas menundukkan pasangan Taiwan, Ho Wen Hsun-Yang Yi Zhang 20-22, 21-17, 21-14.
Mereka bakal berdepan pasangan Jepun yang berada di ranking ke-40 dunia, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami.
Bagaimanapun, cabaran S Kisona dalam acara perseorangan wanita terhenti selepas tewas di pusingan kedua kelayakan kepada pemain tuan rumah, Lin Sih Yun 12-21, 14-21.
Turut tersingkir, pemain perseorangan lelaki, Jacky Kok yang menduduki ranking ke-80 dunia, apabila tewas kepada pemain Taiwan, Wang Po Wei 15-21, 21-23.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1392999/tang-jie-wen-tse-mula-langkah-kanan-di-terbuka-taiwan
Pages:
[1]