Kilang AT&S bernilai RM5 bilion di Kulim bersedia mulakan pengeluaran berteknologi tinggi
Kilang AT&S bernilai RM5 bilion di Kulim bersedia mulakan pengeluaran berteknologi tinggiOleh Adie Zulkifli - Mei 5, 2025 @ 8:42pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/AS050525WNN0878_1746448931.jpg
Kilang AT&S di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) -NSTP/ WAN NABIL NASIR.
KULIM: Kilang pengeluar cip Austria, AT&S yang bernilai RM5 bilion di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) kini bersedia untuk memulakan pengeluaran substrat Litar Terpadu (IC) berteknologi tinggi bagi menyokong pemproses berprestasi tinggi AMD, antara pelanggannya.
Pengeluar substrat IC moden kelima terbesar di dunia itu berkata, pelancaran Kampus Kulim akan mempercepatkan cita-cita mereka untuk menjadi antara tiga pemain utama global dalam industri ini.
"Ini mungkin satu rekod dunia baharu. Memulakan pengeluaran dalam jumlah besar bukan sahaja satu pencapaian besar bagi AT&S, tetapi juga satu langkah penting untuk Malaysia.
"Dengan memperkenalkan teknologi substrat IC berteknologi tinggi ke Kulim, kami berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan teknologi Malaysia secara mampan," kata Naib Presiden Eksekutif Unit Perniagaan Mikroelektronik AT&S, Ingolf Schroeder.
Beliau menambah bahawa pengeluaran substrat AT&S untuk AMD di Kampus Kulim dijangka berkembang dengan stabil berikutan peningkatan permintaan untuk Unit Pemprosesan Komputer (CPU) dan Unit Pemprosesan Grafik (GPU), terutamanya dalam bidang pusat data, Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Maya (VR), dan Realiti Terimbuh (AR).
"Dengan jangkaan pertumbuhan eksponen dalam jumlah data, permintaan untuk penyimpanan, pemindahan, dan analisis data terus meningkat.
"AT&S adalah rakan teknologi yang dicari, dan kami menjangkakan pertumbuhan ketara dalam pangkalan pelanggan kami di kilang Kulim, dengan lebih banyak pelanggan berprofil tinggi dijangka bergabung sepanjang tahun kewangan ini," katanya pada sidang media mengumumkan kelulusan Pengeluaran Volum Tinggi kilang Kulim daripada AMD hari ini.
Schroeder berkata, AT&S mendapat manfaat daripada 'Segitiga Substrat' yang terintegrasi secara strategik, terdiri daripada kemudahan mereka di Chongqing (China), Kulim (Malaysia), dan Leoben (Austria), dengan gabungan tenaga kerja seramai 13,000 orang.
"Kepakaran, teknologi, dan penyelidikan sentiasa dikongsi dan diperhalusi di ketiga-tiga tapak ini, membolehkan setiap kilang mencapai potensi penuhnya," katanya.
Beliau menekankan bahawa AT&S tidak terkesan secara langsung oleh tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
"Pertama, kami tidak – dan bukan hanya di Malaysia – terkesan oleh tarif tersebut kerana kami tidak membekalkan produk akhir. Kami tidak terkesan oleh tarif tersebut. Operasi kami di Kulim terus berjalan dan berkembang, begitu juga di Austria dan China," jelasnya.
AT&S Malaysia melabur sebanyak RM600 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), melengkapi kilang seluas 255,000 meter persegi itu dengan 500 mesin berteknologi tinggi.
"Kami menggaji kira-kira 1,500 pekerja tempatan dan telah melabur RM600 juta dalam R&D.
"Kami sudah memberikan sumbangan yang signifikan kepada ekosistem teknologi Malaysia. Pengilangan berteknologi tinggi memerlukan pelaburan yang besar, dan kami berterima kasih atas perkongsian kukuh dan boleh dipercayai yang telah kami bina dengan institusi tempatan. Bersama-sama, kami akan membentuk masa depan mikroelektronik," kata Schroeder
Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan AT&S Malaysia, Suan See Yap, mengaitkan kejayaan kilang itu dalam mendapatkan pensijilan pembuatan akhir AMD kepada dedikasi tenaga kerjanya.
"Dalam proses ini, kami juga telah memperoleh pensijilan ISO termasuk 9001, 14001, 27001, 45001, dan 50001.
"Kami kini mempunyai sekitar 1,448 pekerja. 883 pekerja kolar biru dan 565 pekerja kolar putih," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/05/1392593/kilang-ats-bernilai-rm5-bilion-di-kulim-bersedia-mulakan-pengeluaran
Pages:
[1]