VM2026 misi nasional perlu sokongan semua pihak
VM2026 misi nasional perlu sokongan semua pihakSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
05 Mei 2025 04:07pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/05/3112354.webp
Soon Hin (kanan) menyampaikan sijil rakan strategik VM2026 kepada Hon Wai ketika merasmikan Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan VM2026 (Pulau Pinang) pada Isnin.
GEORGE TOWN - Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) perlu dilihat sebagai satu misi nasional yang memerlukan sokongan padu daripada semua pihak termasuk pemain industri pelancongan dan media.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, kejayaan kempen tersebut bergantung kepada kerjasama strategik pelbagai pihak dalam memastikan negara bersedia menerima kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.
“Saya menyeru semua pihak yang hadir pada hari ini untuk menyambut kempen ini sebagai satu misi nasional.
“Dalam hal ini, kita mesti memberi tumpuan kepada persiapan menerima pelawat domestik dan antarabangsa seperti kemajuan infrastruktur, kebersihan serta pembangunan produk dan pakej pelancongan baharu termasuk pakej minat khas di negeri masing-masing,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/05/3112353.webp
Soon Hin (tengah) dan Hon Wai (tiga dari kiri) merasmikan Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan VM2026 (Pulau Pinang).
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan VM2026 (Pulau Pinang) di sini pada Isnin.
Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai.
Menurut beliau, usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif semua pihak berkepentingan.
“Saya berharap Kempen VM2026 akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua pihak, terutamanya daripada rakan-rakan industri dan pihak media.
“Kerjasama strategik dengan semua pihak menjadi contoh yang baik dalam mengukuhkan pembangunan ekonomi dan memperluas portfolio pelancongan negara,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan VM2026 bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan aktiviti promosi yang berkesan dan terancang bagi menarik kehadiran pelancong ke negara ini.
"Dalam usaha memastikan matlamat tersebut tercapai, aktiviti promosi itu perlu disokong oleh kemudahan akses masuk ke Malaysia, terutamanya dari bandar-bandar peringkat kedua dan ketiga di negara-negara sasaran.
"Sehubungan itu, kita akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) serta syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan penerbangan ke negara ini," jelasnya.
Soon Hin berkata, langkah itu merangkumi usaha meningkatkan kekerapan penerbangan, membangunkan laluan-laluan baharu selain menambah kapasiti tempat duduk bagi pasaran utama seperti Asia Barat, China dan India.
"Usaha strategik ini diyakini mampu memberi impak besar terhadap pencapaian sasaran ketibaan pelancong dan seterusnya menjayakan VM2026.
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memperuntukkan sebanyak RM400 juta pada tahun ini bagi melaksanakan VM2026 yang meliputi aktiviti pemasaran, promosi serta penganjuran acara-acara utama," ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, sejumlah RM130 juta turut diperuntukkan dalam bentuk geran sokongan untuk merangsang pertumbuhan industri pelancongan negara.
"Peruntukan tersebut melibatkan pelbagai inisiatif seperti Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC).
"Sehubungan itu, satu sesi pembentangan khas berkenaan geran-geran sokongan pelancongan dan kebudayaan akan diadakan hari ini bagi memberi pendedahan lebih lanjut kepada pemain industri," ujarnya.
Tambah Soon Hin, penggiat industri pelancongan di Pulau Pinang disarankan agar memanfaatkan peluang itu sepenuhnya dengan mengemukakan permohonan geran bersesuaian untuk menganjurkan acara atau aktiviti promosi.
"Langkah itu penting dalam memastikan sambutan VM2026 lebih meriah dan memberi impak besar kepada ekonomi pelancongan negara," katanya.
Kempen VM2026 menyasarkan peningkatan jumlah pelancong asing ke negara ini melalui penawaran pakej pelancongan menarik yang merangkumi pelbagai segmen termasuk pelancongan ekologi, budaya, warisan dan gaya hidup.
https://www.sinarharian.com.my/article/726779/berita/semasa/vm2026-misi-nasional-perlu-sokongan-semua-pihak
Pages:
[1]