sfhzuraz Publish time 5-5-2025 04:35 AM

Maxis perluas rangkaian gentian optik di Pulau Pinang

Maxis perluas rangkaian gentian optik di Pulau Pinang

Oleh BERNAMA - Mei 4, 2025 @ 9:47pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/BN050200890_1746366384.jpg
Kon Yeow (kiri) bersama Seow Eng (kanan) melancarkan Maxis Home Fiber di Pulau Pinang dalam satu majlis di Batu Kawan - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu utama di Malaysia melancarkan secara rasmi pengembangan rangkaian gentian optik berskala besar di Pulau Pinang yang disasar untuk menghubungkan lebih 100,000 rumah di seluruh negeri itu menjelang 2027.
Peluasan itu akan meliputi semua daerah di Pulau Pinang dengan tumpuan utama di kawasan bandar dengan permintaan tinggi seperti Jelutong, Georgetown, Batu Maung, Bayan Lepas dan Bayan Baru, di samping lokasi utama di Seberang Perai.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, berkata projek itu menyumbang kepada rangkaian gentian optik nasional syarikat yang kini menjangkau kira-kira 23,000 kilometer.
Beliau berkata, infrastruktur yang dipertingkatkan itu akan berskala kepada kelajuan sehingga 10 gigabit sesaat (Gbps).
"Kami bekerjasama dengan kerajaan negeri mengenai perancangan ini selama beberapa tahun dan kini kami teruja untuk memasuki fasa pelaksanaan.
"Pembinaan dijangka bermula suku ketiga tahun ini, sementara menunggu permit daripada majlis bandaran tempatan," katanya selepas majlis pelancaran Maxis Home Fiber di Pulau Pinang, di Batu Kawan yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Jumaat lalu.
Seow Eng berkata, Maxis menjangkakan pelancaran penuh gentian optik di seluruh Pulau Pinang akan mengambil masa 18 hingga 36 bulan untuk disiapkan bagi memastikan rumah, perniagaan dan institusi di seluruh negeri mendapat manfaat daripada akses internet berkelajuan tinggi yang mantap.
Menurutnya, pengembangan gentian optik Maxis di Pulau Pinang dapat dilaksanakan menerusi Garis Panduan Ketersambungan Last Mile yang diperkenalkan kerajaan negeri, inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyokong matlamat transformasi digital negara, tetapi juga meletakkan Pulau Pinang peneraju dalam kebolehcapaian internet berkelajuan tinggi dan pembangunan infrastruktur pintar," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow menerusi ucapannya berkata, pengembangan rangkaian gentian optik Maxis di negeri itu membuktikan pentingnya sinergi dan kerjasama antara sektor awam serta swasta dalam memacu transformasi digital secara inklusif dan mampan.
Beliau berkata, dalam dunia yang semakin dipacu teknologi dan ketersambungan digital, keperluan kepada infrastruktur komunikasi yang pantas, stabil dan meluas bukan lagi satu kemewahan, tetapi keperluan asas.
Justeru, beliau berkata, pelaburan Maxis dalam membina infrastruktur gentian optik itu merupakan contoh terbaik bagaimana sektor swasta dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan digital negeri.
"Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan asas digital dan mempercepatkan kemajuan ke arah masyarakat celik teknologi.
"Dengan menyediakan akses internet yang pantas, selamat dan boleh dipercayai, Maxis dapat membantu merapatkan jurang digital yang masih wujud dalam komuniti kita, seterusnya memperkasa rakyat untuk meneroka peluang dalam ekonomi masa depan iaitu sama ada dalam pendidikan, pekerjaan jarak jauh, keusahawanan digital di samping pembangunan inovatif," katanya.-BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/teknologi/2025/05/1392202/maxis-perluas-rangkaian-gentian-optik-di-pulau-pinang




Pages: [1]
View full version: Maxis perluas rangkaian gentian optik di Pulau Pinang


ADVERTISEMENT